IPOH – Setelah ‘berkubu’ lebih tiga minggu di kediaman rasmi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Muhammad Nizar Jamaluddin akhirnya mengosongkan rumah itu bersama keluarganya semalam.
Mohammad Nizar bersama isteri dan enam orang anaknya meninggalkan kediaman rasmi itu kira-kira pukul 11.40 pagi bersama beg pakaian dan barangan keperluan milik peribadi yang lain.
Beliau meninggalkan rumah itu dengan menaiki kenderaan Naza Ria miliknya bersama keluarga sambil diiringi anggota unit amal dari parti Pas menuju ke sebuah rumah dua tingkat di Rapat Setia di sini.
Isterinya, Datin Seri Fatimah Taat kelihatan sedih dan termenung ketika mereka meninggalkan kediaman rasmi itu dan Nizar yang kelihatan tenang sentiasa senyum serta melambai tangan ke arah penyokong setia dan pengamal media yang berkumpul sejak awal pagi.
Proses pemindahan itu dibantu oleh anggota unit amal Pas yang mengemas dan memunggah barang-barang peribadi milik Nizar sekeluarga sejak awal pagi ke dalam lori yang terletak di pekarangan kediaman tersebut.
Bekas Menteri Besar Perak ke-10 itu meninggalkan kediaman tersebut sambil mengucapkan selamat tinggal kepada penyokongnya dan menyatakan beliau tidak menyesal atau sedih berbuat demikian dan menyifatkan ia sebagai rumah yang membawa kenangan manis kepada keluarganya sepanjang 10 bulan lalu.
“Saya tidak berat hati mengosongkan kediaman ini kerana akan kembali ke pangkuan rakyat secepat mungkin dan di rumah ini, saya berpeluang bermesra dengan rakyat pelbagai kaum yang singgah ke sini dan saya membawa kenangan manis berkenaan bersama keluarga.
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0223&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm
No comments:
Post a Comment