[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berharap agar keputusan berhubung isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dibuat segera bagi mengelakkan tercetusnya isu yang lebih besar.
Abdullah mengeluarkan kenyataan di ibu negara beberapa jam selepas Gerakan Mansuhkan PPSMI mengadakan Perhimpunan 100,000 Rakyat membantah dasar tersebut.
GMP menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong sebentar tadi manakala beratus-ratus penyokongnya merempuh sekatan polis berhampiran Masjid Negara sebelum berarak ke Istana Negara tetapi berjaya disuraikan dengan tembakan gas pemedih mata.
Dipetik Bernama, Perdana Menteri berkata, kerajaan mengakui adanya desakan yang kuat daripada rakyat khusunya orang Melayu yang sedang memberi perhatian terhadap perkara terbabit.
"Saya harap keputusan ini akan dibuat segera. Kalau tidak nanti tekanantekanan dan tindakantindakan NGO (Badan Bukan Kerajaan) akan berterusan dan akan menjadi isu yang lebih besar," katanya kepada pemberita selepas melancarkan novel "Dragon Fire Hammer" di sini hari ini.
Abdullah berkata, Kementerian Pelajaran telah mengadakan beberapa perjumpaan dengan NGO bagi membincangkan perkara berkaitan PPSMI.
Bagaimanapun, katanya, Kementerian Pelajaran buat masa ini belum bersedia untuk mengumumkan bentuk keputusan yang telah diambil itu.
"Dengan adanya keputusan-keputusan peperiksaan yang boleh memberi asas kepada kementerian untuk membuat keputusan, maka saya percaya keputusan itu perlu menjadi keputusan yang baik bagi mengukuhkan kepentingan rakyat dan masa depan kita," katanya.
Pelaksanaan PPSMI sejak tahun 2003, telah mencetuskan kontroversi dan perdebatan, dan kebelakangan ini ia berkisar mengenai rasional sama ada dasar itu patut diteruskan atau sebaliknya.
Isu tersebut bertambah hangat apabila ahli akademik serta sasterawan menyertai ahli politik dalam menyuarakan bantahan mengenai penerusan dasar itu.
No comments:
Post a Comment