Sunday, March 8, 2009

Penduduk tinggal di khemah


BEBERAPA buah khemah didirikan di sebuah kawasan lapang di Sacramento.



SEORANG wanita memasak di luar khemah.


SACRAMENTO - Khemah-khemah setinggan tumbuh seperti cendawan selepas hujan di sini berikutan krisis kewangan Amerika Syarikat (AS) yang bertambah buruk, lapor sebuah akhbar semalam.

Khemah-khemah itu menjadi tempat tinggal penduduk di bandar Sacramento, California yang hidup melarat akibat hilang pekerjaan dan tidak mampu membayar ansuran rumah.

Pihak berkuasa tempatan berkata, sekurang-kurangnya 50 pendatang baru mendirikan khemah setiap minggu dan kawasan itu menjadi tempat tinggal lebih 1,200 orang.

"Sukar untuk menerima kenyataan pada zaman moden ini rakyat terpaksa tinggal di khemah seperti yang berlaku ketika Era Kemelesetan Ekonomi pada 1930-an," kata seorang aktivis AS, Joan Burke.

Bagaimanapun, bagi golongan tersebut, mendirikan khemah dengan menggunakan baki wang simpanan yang ada merupakan satu-satunya pilihan buat mereka selepas semua tempat perlindungan untuk penduduk jalanan di California penuh.

Keadaan tempat itu adalah tanpa bekalan air dan elektrik menyebabkan ramai penduduk terpaksa berjalan kaki hampir lima kilometer setiap hari untuk membeli air minuman di stesen petrol dan kedai runcit berdekatan.

"Kami mempunyai seorang anak lelaki berumur 35 tahun dan dia tidak pernah menghubungi kami. Kami menelefonnya sebulan sekali untuk menyatakan kami sihat dan baik. Kami tidak mahu membuatkan dia bimbang," kata sepasang suami isteri yang menetap di khemah tersebut.

Pada bulan lepas, Gabenor California, Arnold Schwarzenegger telah meluluskan beberapa langkah bantuan tetapi tidak banyak yang kerajaan dapat lakukan berikutan lebih 80,000 orang hilang pekerjaan di negeri itu setiap bulan. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0307&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...