Kata orang cinta di bangku sekolah, hanyalah cinta monyet, tetapi dua tokoh agama ini membuktikan cinta yang disulam dengan kasih sayang berlandaskan agama akhirnya sampai ke jinjang pelamin.
SEINDAH Semanis Kurma yang menjadi judul program televisyen yang dikendalikan bersama, semanis kurma jugalah senyuman dan bicara yang terpancar dari wajah pasangan yang saling melengkapi ini, Wan Akashah Wan Abdul Hamid dan Datuk Siti Nor Bahyah Mahamood.
Selain kebahagiaan hati dan perasaan, keluarga serta anak-anak, dalam lingkaran hidup pasangan ini, dakwah mengenal Allah dan ceramah ke arah pembangunan insan menjadi rutin hidup mereka.
Melabuhkan pertemuan pertama bersama dua nama bergelar ustaz dan ustazah ini, hati jadi terusik dek kemesraan dan keramahan mereka walaupun jam di tangan ketika sesi wawancara dimulakan sudah menunjukkan pukul 11 malam.
"Bulan Februari, kami sibuk sikit. Minta maaflah kerana tak dapat memenuhi permintaan anda untuk berkunjung ke rumah. Nantilah, ada masa, kita jumpa di Kajang," ujar Akashah lembut persis memujuk.
Walaupun hanya bertemankan dekorasi ala Inggeris di studioSeindah Semanis Kurma, rasanya isi cerita yang terluah dari bibir personaliti agama ini sudah cukup untuk menyempurnakan kekurangan lain.
Sangkaan penulis mereka bertemu atas jodoh pilihan keluarga ataupun ketika menuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir. Apa yang disangka jauh meleset apabila kisah cinta di bangku sekolah terlontar dari bibir Nor Bahyah atau sering dipanggil Ustazah Bahyah.
"Paling tak dapat saya lupakan semasa pertemuan yang tak disengajakan di bilik guru. Dia cakap pada saya: 'Siti Nor, saya tertarik dengan Siti Nor, Siti Nor pula bagaimana?'.
"Saya malu dan terus berlalu tanpa cakap apa-apa. Saya anggap pertanyaan dia serius, balik rumah dan buat solat sunat istikharah bagi memohon petunjuk," cerita Nor Bahyah tersenyum yang mendapat lampu hijau daripada ibu bapanya ketika mula hendak menerima salam perkenalan daripada Akashah.
Ketika itu, Akashah di tingkatan enam manakala Nor Bahyah pula di tingkatan empat, masing-masing pelajar popular di Maktab Mahmood, Alor Setar, Kedah.
"Pelajar perempuan dan lelaki diasingkan. Walaupun tak pernah jumpa, saya selalu dengar pasal ustaz, selaku Ketua Umum Pelajar Lelaki manakala saya pula, Ketua Umum Pelajar Perempuan.
"Kami cuma kenal antara satu sama lain apabila sama-sama naik pentas dalam satu majlis anugerah. Kebetulan kami sama-sama dapat anugerah pelajar terbaik.
"Kemudian dalam satu mesyuarat pengawas sekolah, ketika saya memberikan ucapan, dia berdiri dan mengedarkan kertas kepada pelajar lain. Dalam hati, saya fikir dia tak suka saya tetapi rupa-rupanya, dia minta setiap pelajar catat apa yang saya ucapkan," sambung ibu kepada empat cahaya mata itu panjang lebar.
Apabila soal hati Akashah sampai ke telinga bapa Nor Bahyah, dia diselidik seperti si tertuduh yang mahu didakwa. Bukan sahaja dicari di asrama tempat menginap, bahkan bapa Nor Bahyah sanggup merentas jalan tanah merah untuk ke Kampung Bendang Raja, Kubur Panjang di Alor Setar, Kedah dari Bayan Lepas, Pulau Pinang semata-mata mahu mengenali latar belakang pemuda yang mencuri hati anak gadisnya yang masih bersekolah.
"Keluarga saya memang begitu. Syukur hubungan kami direstui. Selepas habis tingkatan enam, ustaz menyambung pelajaran ke Mesir. Dua tahun dia di sana, sedangkan saya masih bersekolah.
"Sebelum saya juga menyambung pelajaran ke universiti yang sama di Mesir, kami bernikah. Tujuannya bukan untuk keseronokan tetapi lebih selamat wanita di perantauan berada di sisi suami," ujar Nor Bahyah lagi.
Dari pandangan suaminya sendiri, perkahwinan dalam tempoh pengajian sebenarnya banyak kebaikan. Selain menutup diri daripada perkara menjurus ke arah melakukan maksiat, perkahwinan juga boleh menjadikan diri lebih berdisiplin dan menghargai masa.
"Kalau belum kahwin, gaya berseronok tentulah lain. Melancong atau keluar bersama kawan-kawan adalah perkara biasa bagi pelajar bujang. Tetapi apabila sudah kahwin, kami jadi cepat matang. Masa belajar lebih banyak sebab kami lebih banyak duduk di rumah. Lagipun ketika di sana, hidup kami susah," jelas Akashah sedikit terharu.
Tambah Akashah, hidup mereka ketika di Mesir tidak ubah seperti yang berlaku terhadap P. Ramlee dan Sarimah dalam filem Ibu Mertuaku.
"Mula-mula, kami sewa rumah besar, kemudian pindah ke rumah lebih kecil dan semakin kecil. Sudahnya, kami hanya mampu menyewa bilik sahaja.
"Duit biasiswa yang diterima cukup-cukup sahaja, seganlah nak minta dari orang tua di kampung. Daripada kesusahan itulah, kami belajar tentang hidup, tabah dan sabar. Apabila tengok orang susah, kami teringatkan zaman susah dahulu," tutur Nor Bahyah yang masih mesra membahasakan dirinya ustazah walaupun sudah bergelar Datuk.
Bertamu depan mata, rugilah kalau perintis teknik Urutan Cakar Harimau dan Urutan Labah-Labah ini tidak diusik dengan persoalan popular itu. Kena benar dengan bingkisan cinta mereka ini, Nor Bahyah dan Akashah diajak berkongsi kemujaraban. Apa benar petua itu antara rahsia kebahagiaan mereka sejak lebih 20 tahun hidup berkelamin.
"Itu cuma satu pendekatan untuk merapatkan hubungan suami isteri melalui sentuhan dan urutan. Dari situlah nanti akan timbul motivasi," ujar Akashah.
Menyambung intro sang suami, Nor Bahyah bersedia dengan penjelasan yang terperinci. Katanya, sebagai wanita dan isteri, dia sendiri suka disentuh dan menyentuhi. Amalan itu bukan hanya terhad untuk suami isteri, bahkan antara ibu dan anak ataupun sesiapa sahaja asalkan tidak melanggar batasan agama.
"Saya memang suka disentuh, ustaz juga begitu. Sentuhan itu amat penting kerana dari situlah emosi kasih sayang akan terjalin erat. Anak-anak juga begitu.
"Mulanya, ia sekadar satu daripada teknik urutan tetapi saya perlukan istilah yang kuat dan boleh beri impak jika berceramah. Idea cakar harimau timbul kerana dari segi teknik dan cara, urutan itu hampir menyamai sifat harimau mencakar atau gerakan labah-labah. Tak sangka pula boleh meledak dan jadi fenomena," ujar Nor Bahyah menafikan teknik tersebut semata-mata bersifat adegan ranjang.
Manfaat teknik yang diperkenalkan, bukan sahaja perkongsian ilmu yang merentasi jarak bahkan profesion penceramah bebas menjadi lubuk rezeki buat Nor Bahyah sendiri.
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0227&pub=Kosmo&sec=Pesona&pg=ps_03.htm
No comments:
Post a Comment