Semangat Nadzirah dalam meneruskan kehidupan setelah patah dahan tempat bergantung harus dijadikan contoh. Lapor, NOOR HASLIZA NUSI.
BIARPUN pasrah dengan nasib yang menimpa, seorang ibu muda sanggup berkorban apa sahaja untuk membesarkan anak dengan kudrat yang dikurniakan Tuhan.
Siti Nadzirah Mohd. Nasir, 22, pernah mendapat liputan meluas media tempatan dan antarabangsa mengenai kisah layanan keluarga suaminya yang mahu memisahkan dia dan anaknya, Arman Khan, 2.
Konflik perebutan Arman bermula selepas Nadzirah mengambil keputusan pulang ke Malaysia kerana mendakwa tidak tahan dengan layanan keluarga mertuanya yang dikatakan hanya memberinya susu kerbau basi dan capati sebagai makanan harian sejak dia dibawa ke negara itu oleh suaminya, Fazal Azim Abdul Ahad, 26.
Bagaimanapun, Nadzirah berjaya membawa pulang anaknya ke Malaysia dari Pakistan melalui laluan sah pada 21 November 2007.
Episod duka perjuangannya merebut Arman akhirnya selesai setelah pihak Mahkamah Tinggi Syariah membenarkan hak penjagaan kekal terhadap anaknya pada 14 Julai 2008.
"Kini, saya bahagia di samping anak dan ibu bapa. Merekalah pendorong dan pembakar semangat saya selama ini," luah Nadzirah menceritakan perkembangan terkininya.
Setelah lebih setahun bergelar ibu tunggal, status itu tidaklah menjadi beban kepadanya.
Mengakui begitu selesa dengan kehidupan barunya, Nadzirah menjalani rutin harian sebagai ibu dan bapa dan tekad mahu berdiri di atas kaki sendiri.
"Walaupun saya pernah menghadapi pelbagai masalah, namun saya harus kuat untuk membina kehidupan baru agar segala kisah lampau dapat dilupuskan dalam fikiran," jelasnya yang kini sedang mengikuti pengajian dalam jurusan Diploma Perakaunan di sebuah kolej swasta di Rawang, Selangor.
Bakal menamatkan pengajiannya pada awal bulan April ini, Nadzirah mengakui hanya ilmu dapat menjamin masa depan dia dan anaknya.
Sebelum ini, dia pernah menuntut di kolej yang sama tetapi terpaksa menangguhkan pengajian untuk menyelesaikan proses membawa pulang anaknya dari Pakistan.
Bagaimana penerimaan rakan-rakan sekelas dan tenaga pengajar? Nadzirah memberitahu, mereka sentiasa menyuntik semangat kepadanya untuk meneruskan pengajian.
Mungkinkah Nadzirah merancang untuk berkahwin pada masa akan datang? "Buat masa ini, saya belum terfikir soal jodoh, biarlah Tuhan yang menentukan," katanya.
Jangan malu dapatkan sokongan
Mengulas isu Nadzirah, Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Mutiara Kuala Lumpur, Mariam Abdul berkata, ibu tunggal yang menetap di bandar mempunyai kelebihan berbanding mereka yang tinggal di luar bandar.
Ini kerana katanya di bandar, golongan ibu tunggal mempunyai banyak persatuan yang sedia menghulurkan sumbangan dan bantuan pada bila-bila masa.
Menurutnya, kehadiran persatuan itu tentunya memberi cahaya dan harapan kepada ibu-ibu tunggal untuk meneruskan kehidupan.
Tambahnya, selain dijadikan tempat berkumpul, persatuan tersebut berperanan mengeratkan hubungan sosial golongan ibu tunggal.
Ditubuhkan pada tahun 2003, persatuan tersebut telah membariskan ibu-ibu tunggal yang berpengalaman dalam menggerakkan persatuan.
"Penyertaan ahli mungkin kecil tetapi ini memberi kelebihan kepada persatuan untuk menggerakkan aktiviti dalam apa jua perkara. Malah, kami lebih saling mengenali dan hubungan sesama kami juga rapat," katanya kepada Kosmo!.
Justeru, Mariam menasihatkan supaya ibu-ibu tunggal tidak malu menampilkan diri bagi mendapatkan sokongan agar mereka tidak terus dibelenggu pelbagai masalah atau tertekan dengan tohmahan masyarakat sekeliling.
"Jangan takut atau malu untuk keluar dan mendapatkan khidmat nasihat. Ada ibu-ibu tunggal yang tidak dapat menerima status sebagai ibu tunggal, dan ada yang masih meratapi kesedihan akibat ditinggalkan suami.
"Kesannya, mereka akan berkurung di dalam rumah dan enggan bercampur dengan orang di sekeliling mereka. Tindakan ini hanya memudaratkan diri dan anak-anak," kata Mariam.
Menurutnya, ibu tunggal tidak seharusnya memendam segala masalah yang dihadapi. Mereka seharusnya berkongsi masalah dengan ibu-ibu tunggal yang lain.
"Selain berkongsi kisah sedih, kumpulan ini juga berkongsi kejayaan dan pencapaian. Dengan cara tersebut, ibu-ibu tunggal dapat memantapkan diri dari segi psikologi dan mental," ujar Mariam.
Mariam turut menjelaskan bahawa melalui persatuan itu juga, segala usaha yang dirancang dapat direalisasikan berbanding jika diusahakan secara peribadi atau persendirian.
"Jika dahulu, usaha untuk mendapatkan pinjaman modal, penubuhan kelas atau aktiviti tidak mendapat perhatian pihak atasan. Kini, dengan menggunakan nama persatuan, ibu-ibu tunggal tidak lagi terabai," kata Mariam yang bangga dengan pencapaian persatuan itu setakat hari ini.
Melalui perhimpunan tersebut, ibu-ibu tunggal dididik untuk tidak bergantung harap kepada pihak lain. Sebaliknya, mereka diajar untuk mencari sendiri peruntukan yang diperlukan keluarga dan anak-anak.
Mariam turut mengingatkan ibu-ibu tunggal lain agar belajar memahami kehidupan masa kini dan didik diri menjadi seorang yang berdisiplin.
"Menjadi ibu tunggal bermakna seseorang perlu mempunyai jati diri, berhati waja dan tidak mengharapkan bantuan daripada orang lain,"ujarnya.
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0227&pub=Kosmo&sec=Pesona&pg=ps_01.htm
No comments:
Post a Comment