"Jat (Shahrizat), kita ada bermusuh ke?"
Itulah soalan balas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz kepada naibnya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil ketika diminta oleh media supaya menjelaskan mengenai hubungan mereka berdua yang dikatakan kurang baik.
Shahrizat pula lantas menjawab: "Tak ada musuh-musuh".
Pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Praperhimpunan Wanita UMNO di sini hari ini, Rafidah sekali lagi memberi amaran supaya pihak luar tidak sewenang-wenangnya membuat tafsiran dan tanggapan yang tidak benar mengenai hubungannya dengan Shahrizat.
"Saya tak tahu nak bermusuh dengan orang. Jauh sekali. Hubungan saya dengan Shahrizat, macam biasalah. Apa yang susah ialah apabila orang lihat dan tafsir macam-macam fasal kami berdua.
"Jangan sesiapa di luar sana nak anggap macam-macam, seolah-olah kita ini nak pergi berperang. Kita bukan Israel dengan Palestin. Banyak sangat ramalan dan analisis, dah sebabkan Wanita UMNO tercemar," katanya.
Kata Rafidah, tanggapan negatif seperti itu sesungguhnya tidak baik untuk Wanita UMNO kerana hakikatnya pergerakan itu sebuah kumpulan yang berjuang untuk matlamat sama.
Jelasnya, apa yang lebih penting bagi Wanita UMNO sekarang ialah menumpukan sepenuh perhatian kepada usaha memulihkan parti dan bekerja untuk kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil di beberapa negeri selepas Perhimpunan Agung UMNO nanti.
Mengulas mengenai pertandingan jawatan nombor satu Wanita UMNO antara beliau dan Shahrizat, Rafidah berkata, sudah menjadi adat pertandingan 'ada yang menang dan ada yang kalah'.
"Menang kalah itu di tangan Tuhan... di tangan perwakilan (yang memilih). Nak berebut, menang ketua apa dapat? Dapat beban kerja, bukan harta karun. Orang dah tengok Wanita UMNO ni macam main poker pula, menang dapat kaut semua... tak ada macam itu.
"Ini soal menunaikan proses demokrasi dalam parti (pemilihan). Anggaplah kami Wanita UMNO ini sebagai pasukan yang menunaikan kehendak demokrasi dalam pemilihan," katanya.
Mengenai pemilihan, Rafidah menasihatkan para perwakilan supaya memilih calon pemimpin dalam suasana muhibah dan dengan hati terbuka.
Katanya, beliau yakin semua perwakilan sudah mengenali calon yang hendak dipilih dan telah membuat keputusan masing-masing dengan baik.
"Harapan saya pada pemilihan ini, menang kalah kita tetap dalam kumpulan yang sama iaitu Wanita UMNO," katanya.
Ditanya mengenai perasaan beliau untuk berhadapan pemilihan Wanita UMNO kali ini, Rafidah berkata:
"Saya tidur dengan baik, makan pun baik, cuma saya bimbang baju tak muat sebab makan banyak," katanya.
Sementara itu, Shahrizat ketika ditanya mengenai persaingannya dengan Rafidah berkata, semuanya berjalan baik.
"Saya menyerahkan kepada perwakilan untuk membuat keputusan mengenai siapa yang akan menerajui Wanita UMNO," katanya./Utusan
Bukan hendak berperang
No comments:
Post a Comment