Sunday, March 29, 2009

Perdaya gadis kampung

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Bertopengkan agensi mencari jodoh di kalangan lelaki Malaysia yang kaya raya, beberapa ahli sindiket penyeludupan gadis warga Vietnam dikesan memperdaya gadis kampung di negara berkenaan untuk datang ke negara ini sebelum diserahkan kepada sindiket pelacuran.

Difahamkan, setiap gadis yang berjaya dipujuk `berkahwin’ di Malaysia sebaliknya akan dijual pihak sindiket kepada ‘bapa ayam’ yang menguruskan aktiviti pelacuran dengan harga RM3,000 seorang. 

Dalam kes terbaru, polis Vietnam memberkas seorang wanita selepas dikesan terbabit dalam kegiatan penyeludupan gadis negara itu ke Malaysia untuk dijadikan pelacur. 

Akhbar internet The Cong An NHan Dan dipetik berkata, suspek yang dikenali sebagai Nguyen Anh Dung, 43, ditahan di Lapangan Terbang Ho Chi Minh City, Ahad lalu ketika cuba menghantar tiga gadis muda berusia awal 20-an menaiki pesawat menuju ke Malaysia.

“Siasatan mendapati, Dung bersama dua rakannya termasuk dari Malaysia dikesan berkeliaran di kawasan pedalaman Tay Ninh untuk mencari gadis yang boleh dijadikan mangsa.

“Difahamkan suspek berusaha memperdaya mangsa dengan mendakwa mampu mendapatkan pasangan suami di kalangan lelaki Malaysia yang didakwa kaya dan mempunyai harta yang banyak,” katanya.

Menurut akhbar itu, janji manis itu biasanya mudah untuk menarik minat mangsa yang kebanyakannya berasal daripada keluarga miskin dan cuba mengubah hidup daif di pedalaman.

“Suspek yang berselindung di sebalik agensi mencari jodoh sebelum ini pernah dikesan menghantar keluar tiga gadis Vietnam ke Malaysia awal tahun lalu,” katanya.

Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Tay Ninh, Huynh Van Dung dipetik berkata, kebanyakan mangsa yang sampai ke Malaysia kemudian akan dijadikan mangsa sindiket pelacuran dengan dijual pada harga RM3,000 seorang.

Menurutnya, suspek dikenali sebagai Dung dikesan bekerjasama dengan rakannya, Nguyen Thi Deo, 27, yang berkahwin dengan lelaki Malaysia.

“Siasatan mendapati Deo membayar Dung sebanyak RM3,000 bagi setiap wanita yang berjaya diperangkap. Sementara itu, suspek ketiga yang dikenali sebagai Deo ditugaskan memproses pasport dan tiket kapal terbang bagi gadis-gadis yang ingin dibawa keluar dari negara berkenaan. 

“Jenayah penyeludupan manusia itu bagaimanapun berjaya dibongkar selepas seorang ibu gadis berkenaan membuat laporan kerana mengesyaki anaknya diperdaya untuk dijadikan mangsa. Berikutan itu polis menjalankan siasatan sebelum berjaya memberkas suspek,”
katanya.

Difahamkan, kewujudan agensi mencari jodoh di Vietnam dibenarkan mengikut undang-undang namun harus mendapat lesen khas dari pihak kerajaan.

Setakat ini, kerajaan Vietnam menganggarkan 10 daripada 1,000 gadis Vietnam menjadi mangsa penyeludupan ke luar negara sejak sedekad lalu dan bilangan masih terus meningkat sehingga kini.

Di bawah undang-undang Vietnam, individu yang ditahan kerana terbabit dalam aktiviti penyeludupan manusia boleh dihukum penjara antara dua hingga 20 tahun. 

Kejadian terbabit mengulangi kes sama apabila dua warga Vietnam ditahan selepas dikesan menyeludup puluhan wanita negara itu ke Malaysia sebelum dijual atau dipaksa melacurkan.

Suspek yang juga pasangan kekasih melakukan kesalahan menyeludup 69 wanita Vietnam ke Malaysia pada 2004 hingga 2006.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20090328093833/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...