Monday, May 25, 2009

Penyokong 'rasa tertipu' mainan Umno

Muda Mohd Noor | May 25, 09 5:28pm
Bekas ketua penerangan Umno Perlis mendakwa ramai ahli parti itu termasuk di kalangan Pemuda bersedia meninggalkan parti itu jika beliau berbuat demikian.

"Respons awal ialah mereka akan meneliti perkara itu dan sedia bersama saya.

"Mereka berkata kalau Datuk Hashim lompat, mereka akan lompat juga," kata Datuk Hashim Suboh hari ini.

Beliau mendakwa, kebanyakan mereka juga "berasa tertipu" dengan permainan politik Perlis sekarang bawah barisan kepemimpinan baru sejak Mac tahun lalu.

Beliau juga mendakwa, ketua penerangan Umno negeri yang baru Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad "tidak pandai menjalin hubungan dengan orang lain".

hashim suboh umno perlisKatanya, keadaan ini boleh menjejaskan imej parti terutama ada kumpulan yang tidak senang dengan kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seru Md Isa Sabu.

"Umno Perlis menjadi kacau bilau kerana tindakan-tindakan bekas setiausaha agung Umno itu," katanya ketika dihubungiMalaysiakini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Radzi di sebuah akhbar hari ini yang menganggap laporan di internet bahawa ramai ahli Umno Perlis menyertai pembangkang adalah "gimik politik murahan demi meraih populariti peribadi sebagai membantah kepemimpin Umno negeri".

Hashim berkata, perkara ini akan menjadi lebih besar jika ia tidak diselesaikan dengan segera.

Orang kanan bekas menteri besar Datuk Seri Shahidan Kassim itu juga kecewa dengan dakwaan Radzi bahawa laporan media bahawa ramai ahli Umno Perlis telah dan akan menyertai pembangkang "didalangi oleh individu tertentu yang mensabotaj parti ketika kempen pilihanraya umum tahun lalu".

Hashim menambah, untuk membuktikan dakwaan tersebut benar atau tidak, ahli parlimen Kangar perlu bertemu dengan mereka yang berpaling tadah.

"Tanya mereka sendiri mengapakah mereka keluar Umno. Jawabannya, kerana (mereka) meluat dengan Radzi," katanya.

Malaysiakini sejak minggu lalu melaporkan keluh kesah ahli-ahli Umno terhadap parti itu, termasuk ingin menyertai pembangkang beramai-ramai, antaranya akibat dipecat daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung.

http://www1.malaysiakini.com/news/105062

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...