Wednesday, June 10, 2009

17 mayat nahas Air France ditemui


BEBERAPA anggota tentera laut Brazil mengutip satu serpihan pesawat Air France di Lautan Atlantik kelmarin.


FERNANDO DE NORONHA, Brazil - Sebanyak 17 mayat yang ditemui di satu lokasi terpencil Lautan Atlantik di mana sebuah pesawat milik penerbangan Air France terhempas seminggu lalu dibawa ke kawasan kepulauan milik Brazil di sini, kata beberapa pegawai.

Semua mayat tersebut dan berpuluh-puluh komponen pesawat jenis Airbus A330 itu yang ditemui di laut dijangka tiba di kepulauan Fernando de Noronha hari ini.

Jurucakap tentera udara, Leftenan Kolonel Henry Munhoz berkata, mayat-mayat itu akan diterbangkan ke bandar pesisir pantai Recife, Brazil untuk proses pengenalan dengan menggunakan rekod pergigian dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) daripada saudara-mara mangsa.


SATU serpihan pesawat Air France yang ditemui di Lautan Atlantik dipamerkan kelmarin.


Setakat ini, tentera Brazil dan Perancis masih melakukan kerja mencari lebih banyak mayat dan serpihan di zon pesawat itu terhempas iaitu kira-kira 1,100 kilometer ke timur laut pantai Brazil.

Sebuah kapal selam nuklear Perancis dijangka tiba di kawasan itu esok untuk membantu mencari beberapa kotak hitam milik penerbangan AF 447 yang terhempas pada 1 Jun lepas bersama-sama 228 penumpang dan krew ketika dalam penerbangan dari Rio de Janeiro menuju ke Paris.

Kotak-kotak hitam itu yang menyimpan maklumat penerbangan pesawat tersebut dipercayai berada di dasar laut pada kedalaman 6,000 meter dan akan berhenti mengeluarkan isyarat dalam tempoh tiga minggu.

Tentera Laut Amerika Syarikat pula memberitahu, ia akan menghantar dua buah kapal bersama 20 krew ke lokasi itu minggu ini bagi membantu mencari kotak-kotak hitam tersebut.

"Kapal pertama akan bergerak pada Khamis ini. Ia boleh digunakan untuk menjejaki kapal selam atau sebarang benda di dalam laut yang mengeluarkan isyarat," kata jurucakap Pentagon, Komander Jeffrey Gordon. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0609&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...