am@hmetro.com.my
KUALA TERENGGANU: Kerana bimbang nyawanya dalam bahaya, seorang warga emas membuat laporan polis, kelmarin, berhubung ugutan bunuh yang dibuat anak kandungnya sendiri.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam 29 Mei lalu, mangsa berusia 60 tahun berasal dari Kampung Teluk Alor Lintah, Kampung Raja, Besut, didatangi suspek ketika berehat bersama keluarganya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Fauzi Abduri, berkata anak lelaki mangsa berusia 33 tahun itu yang bekerja sebagai pengimpal besi kemudian meminta wang RM2,000 daripadanya untuk membeli pil khayal.
“Bagaimanapun mangsa enggan melayan permintaan anak lelakinya itu kerana mengetahui niat buruknya untuk menjadi pengedar pil khayal,” katanya ketika ditemui, semalam.
Beliau berkata, suspek yang berang kerana permintaannya ditolak kemudian mengugut membakar rumah serta membunuh bapa kandungnya.
Menurut Mohd Fauzi, selain mengugut suspek turut bertindak ganas memecahkan cermin kereta mangsa menggunakan batu sebelum melarikan diri dari rumah berkenaan.
“Berikutan kejadian itu, mangsa yang bimbang nyawanya terancam kemudian membuat aduan di Balai Polis Kampung Raja pada jam 12 tengah malam Rabu lalu.
“Sebelum ini, pernah beberapa kali suspek bertindak mengugut bapanya termasuk diugut dengan menggunakan parang apabila permintaannya tidak dilayan, namun tindakan pantas anak-anaknya menyelamatkan warga emas itu terus dikasari suspek,” katanya.
Menurutnya, selepas aduan diterima pihak polis terus melancarkan operasi bagi menjejaki suspek yang menghilangkan diri dan akhirnya berjaya menahan lelaki itu di sekitar Kampung Raja, kira-kira jam 2.30 petang kelmarin.
Katanya, suspek kini direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menakutkan secara jenayah dengan ugutan hendak menyebabkan kematian atau cedera parah.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090610055142/Article/index_html
No comments:
Post a Comment