Tuesday, June 23, 2009

Cedera lawan peragut

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin
am@hmetro.com.my


GEORGETOWN: Sepasang kekasih warga Korea yang menaiki sebuah motosikal cedera apabila berani melawan seorang peragut yang turut menunggang sebuah motosikal di Jalan Gudwara, di sini, malam kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 7.20 malam ketika Kim Jun Sub, 25, bersama teman wanitanya, Kim Eun Hee, 23, kedua-duanya pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) dalam perjalanan membeli-belah di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar).

Jun Sub ketika ditemui berkata, dia sedang menunggang motosikal Honda C70 apabila sebuah motosikal dipercayai jenis Yamaha ditunggang seorang lelaki berkulit gelap menghampiri kenderaannya cuba menarik beg teman wanitanya yang berada dalam raga motosikal.

Menurutnya, dia yang terkejut dengan kejadian itu secara spontan menarik semula beg berkenaan menyebabkan berlaku tarik menarik antara dia dan peragut sehinggakan motosikal ditunggang bergoyang ke kiri dan kanan.

Katanya, dalam keadaan kelam-kabut motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan dan terjatuh lalu terseret sejauh 20 meter di atas jalan menyebabkan dia dan teman wanitanya cedera sebelum dibantu orang ramai yang melihat kejadian itu.

“Bagaimanapun, peragut itu tidak berjaya mengambil beg tangan teman wanita yang mengandungi wang tunai dan barangan penting lain.

“Kejadian itu cukup menakutkan dan saya mengambil keputusan tidak menunggang motosikal lagi dan berhasrat menjual motosikal ini,”
katanya.

Jun Sub berkata, dia berada di negeri ini sejak enam bulan lalu dan bersyukur kerana terselamat daripada maut kerana mereka mungkin terjatuh dan dirempuh kenderaan lain.

Mereka dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut oleh pasukan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Menurutnya, berikutan kejadian itu dia dan teman wanitanya cedera di badan, muka dan tangan dan satu laporan polis sudah dibuat berhubung kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Azam Abdul Hamid ketika dihubungi, berkata siasatan lanjut masih dijalankan.

“Kita akan memanggil kedua-dua mangsa untuk mendapatkan keterangan lebih lengkap dalam tempoh terdekat bagi membantu siasatan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090622064001/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...