Saturday, June 6, 2009

Harga minyak diramal cecah AS$85 setong

SINGAPURA 5 Jun - Harga minyak mentah dunia semakin menghampiri paras AS$70 setong (RM244.30) apabila permintaannya dirangsang oleh harapan pemulihan ekonomi global.

Kontrak utama di New York, minyak mentah berkualiti tinggi bagi penghantaran Julai, hari ini melonjak 53 sen ke paras AS$69.34 (RM241.99) setong.

Minyak mentah Brent North Sea untuk penghantaran Julai pula meningkat sehingga 40 sen ke paras AS$69.11 (RM241.19) setong.

Penganalisis Komoditi Kanan ANZ Bank di Melbourne, Mark Pervan berkata, laporan bank Amerika Syarikat (AS), Goldman Sachs bahawa minyak akan melonjak sehingga ke paras AS$85 (RM295.65) setong pada hujung tahun ini juga mendorong kenaikan harga komoditi itu.

"Ini mungkin memberi rangsangan tambahan terhadap pasaran," katanya sambil menambah, harga dijangka melebihi paras AS$70 (RM244.30) setong pada awal minggu depan.

Goldman Sachs membuat ramalan itu berdasarkan jangkaan bahawa ekonomi akan bertambah pulih.

Harga minyak jatuh mendadak daripada paras tertinggi melebihi AS$147 (RM513.03) setong tahun lalu setelah seluruh dunia dilanda krisis kewangan dan ekonomi pada penghujung beberapa bulan sehingga memperlahankan permintaan tenaga.

"Walaupun krisis kewangan semakin pulih, namun kami mungkin berdepan dengan kekurangan tenaga," kata Goldman Sachs.

Harga minyak yang semakin pulih baru-baru ini mungkin akan berlanjutan tetapi tahap pertama peningkatan harga minyak akan disusuli oleh pemulihan aktiviti ekonomi.

Faktor lain kenaikan harga minyak mentah yang diniagakan di AS pada hari Khamis adalah laporan menunjukkan kadar pengangguran di AS, ekonomi terbesar di dunia telah berkurangan.

Jabatan Tenaga Kerja AS berkata, angka pengangguran dalam minggu berakhir 30 Mei jatuh kepada 621,000 berbanding 625,000, minggu sebelumnya. - AFP

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0606&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_02.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...