KAJANG: Kisah hidup Maizawati Zainal, isteri yang membesarkan enam orang anak setelah ditinggalkan suami, penyanyi dan pendakwah Ustaz Akhil Hayy selama tiga bulan menarik perhatian Yayasan Pembangunan Nur Hikmah untuk melantiknya sebagai duta program BondaMama.com.
Program tersebut merupakan program kerja dari rumah yang diperkenalkan oleh Yayasan Pembangunan Nur Hikmah bagi membantu ibu-ibu tunggal dan wanita-wanita bekerjaya untuk bergantung antara satu sama lain dalam usaha membimbing, mendidik dan memberi kasih sayang sepenuhnya kepada anak-anak.
Maizawati atau Maiza menerima perlantikan itu dalam satu sidang media yang diadakan di pusat itu di sini, hari ini.
Majlis itu turut dihadiri oleh Pengasas dan Presiden Yayasan Pembangunan Nur Hikmah, Ameer Soekre Ishak, Ketua Pegawai Operasi, Norhisham Ishak dan Pengarah Program BondaMama, Normarliaty Omar.
Normarliaty berkata Bonda merupakan gelaran kepada surirumah sepenuh masa yang berhasrat untuk menjadi pengasuh bayi dan kanak-kanak di rumah mereka. Oleh itu, mereka akan diberikan latihan khas oleh Yayasan Pembangunan Nur Hikmah dengan kerjasama Universiti Malaya di bawah Unit Pendidikan Berterusan.
Sementara Mama pula adalah gelaran kepada ibu bapa yang memerlukan pengasuh untuk anak-anak mereka semasa mereka keluar bekerja.
Ditanya tentang tugas Maiza dalam program itu, dia akan ceritakan lebih kepada cerita positif tentang pengalamannya bergelar ibu kepada enam orang anak dalam tempoh suaminya bekerja di luar.
“Saya akan menceritakan tentang bagaimana saya besarkan anak-anak ketika suami keluar bekerja. Perkara seperti itu yang saya akan ceritakan.
“Apa yang saya ceritakan itu lebih kepada untuk memotivasikan diri tentang bagaimana saya menjadi seorang ibu yang perlu tabah dalam menghadapi apa-apa masalah seperti hidup tanpa suami,” kata Maiza dalam sidang media tersebut.
Ditanya tentang sasaran utamanya untuk menerima perlantikan itu, dia berkata lebih untuk memotivasikan diri.
“Saya boleh memotivasikan diri serta bertukar pengalaman dan fikiran dengan ibu-ibu di luar sana.
“Jadi, saya rasa bersyukur kerana dapat memberi ilmu untuk membantu ibu tunggal,” luahnya yang belum mengetahui tentang bayaran perlantikan itu dan berapa lama kontrak yang ditawarkan kepadanya.
Jelasnya, dia baru mengetahui dan membuat persetujuan untuk bergelar duta program itu pada semalam selepas diperkenalkan oleh rakannya, bekas anggota nasyid Raihan iaitu Nordin Jaafar.
Maiza juga menjawab tentang dakwaan yang menuduhnya tidak amanah dan membuka aib suami sejak dia memfailkan penceraian di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh, Perak pada awal Mei lalu.
“Sebagai wanita, saya ada hak untuk bersuara kerana saya bukannya berniat untuk membuka aib suami.
“Sekurang-kurangnya, saya dapat menutup cerita sedia ada yang panas dalam pasaran.
“Saya bukannya ‘create the story’ tetapi menjawab atas dasar kenapa saya menuntut cerai. Saya harap benda ni dapat betulkan balik keadaan.
“Ikutkan, saya ‘tidak’ mahu kes cerai kami dihebahkan kepada orang ramai tetapi akhirnya semua ini berlaku juga.
“Itulah, lain kali kita tak patut cakap ‘tidak’ kerana apabila kita berkata tidak, Allah akan menjadikan perkara itu suatu kenyataan untuk menguji kita,” ujarnya yang telah meminta persetujuan untuk menerima perlantikan itu dengan Akhil melalui peguamnya.
Maiza yang turut ditemani oleh anak sulungnya, Deanna Sofea, 16, bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung kes rumahtangganya dengan Akhil sehinggalah keputusan diberikan pada 15 Julai ini.
Bertanya lanjut mengenai pemilihan Maiza selaku duta program itu, Ameer Soekre berkata Maiza terpilih berdasarkan hal yang berlaku ke atasnya dan menepati ciri-ciri untuk bergelar duta.
“Sebelum ini kami pernah mencari ikon lain. Selepas apa yang berlaku sekarang, kita lihat Maiza layak untuk bergelar duta kerana dia seorang yang tabah dalam membesarkan enam orang anak tanpa suami serta seorang surirumah sepenuh masa.
"Kami bimbang juga seandainya masalah peribadi Maiza dan Ustaz Akhil akan turut dikaitkan dengan Yayasan. Diharap semoga imej Yayasan tidak akan tercalar kerana ramai ibu tunggal yang bergantung dengan Yayasan,” kata Ameer Soekre.
Menurut Ameer Soekre, Yayasan Pembangunan Nur Hikmah merupakan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang telah ditubuhkan sejak 2006 dan kini telah menempatkan 30,000 ahli melibatkan ibu tunggal termasuk 300 anak yatim.
Tambahnya, Maiza akan memberikan ceramah berkaitan BondaMama.com pada 20 dan 21 Jun ini di Hotel De Palma, Ampang.
Peluang terbuka kepada ibu tunggal dan surirumah dengan bayaran RM50.
http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2009/6/5/mstar_hiburan/20090605155840&sec=mstar_hiburan
No comments:
Post a Comment