NARATHIWAT - Kejadian serangan di Masjid Al-Furqan di selatan Narathiwat dekat sini, yang mengorbankan 11 orang malam Isnin lalu, telah mengundang rasa takut dan trauma di kalangan penduduk kampung sehingga ada yang nekad untuk berpindah.
Tindakan itu adalah ekoran kebanyakan penduduk yang rata-ratanya beragama Islam di situ merasa nyawa mereka semakin terancam sehingga ada yang nekad berhijrah ke kawasan berhampiran sempadan Malaysia.
Seorang penduduk Kampung Air Tempayan, Narathiwat, Farizwan Muhammad, 30, berkata, sejak peristiwa di Tak Bai lima tahun lalu, penduduk beragama Islam merasakan nyawa mereka seperti telur di hujung tanduk.
Katanya, hampir ratusan keluarga sudah berpindah dan memilih Malaysia sebagai penempatan untuk membina kehidupan baru.
"Tiap-tiap hari penduduk rasa takut hingga rasa itu sudah sebati tetapi saya tidak mampu untuk berpindah seperti yang lain. Saya sanggup lagi duduk di sini dan berharap sesuatu yang baik akan berlaku," katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.
Menurutnya, sebelum ini pun sudah ramai penduduk Kampung Air Tempayan yang 'angkat punggung' berhijrah ke tempat yang lebih selamat sejak siri keganasan yang membabitkan orang Islam sejak empat tahun lalu.
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0611&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm
No comments:
Post a Comment