Monday, July 6, 2009

Penipu umpan gadis jelita

Oleh Mohd Amin Jalil
am@hmetro.com.my


SEREMBAN: Pelbagai taktik dan cara halus digunakan termasuk mengumpan gadis jelita bagi memerangkap mereka yang berduit untuk meraih keuntungan hasil penipuan licik yang dilakukan.

Itu adalah sebahagian taktik digunakan individu pembelit yang mendakwa mempunyai kenalan rapat dalam kalangan pegawai kanan Kastam Diraja Malaysia (KDRM).

Biasanya, gadis cantik yang digunakan berperanan untuk menghiburkan selain bagi memujuk supaya mangsa terpedaya dengan tipu muslihat yang dirancang.

Pendedahan itu dibuat seorang daripada mangsa yang kerugian kira-kira RM25,000 selepas terpedaya dengan tipu muslihat seorang lelaki yang menawarkan barangan rampasan kastam dengan harga murah.

Antara barangan ditawarkan adalah telefon bimbit berjenama, televisyen plasma dan kereta mewah jenis BMW dan Mercedes.

Bagaimanapun, lelaki terbabit menghilangkan diri tanpa dapat dikesan selepas mangsa menyerahkan wang untuk mendapatkan barangan seperti dijanjikan.

Presiden Persatuan Pengguna Negeri Sembilan (Nesca), Khairuddin Yunus, ketika mengulas mengenai perkara itu, berkata pihaknya ada mengesan ramai individu menggunakan pelbagai pendekatan bagi menarik perhatian ramai bertujuan mengaut keuntungan, termasuk menggunakan perkhidmatan gadis cantik.

Beliau berkata, ramai kalangan mereka yang sudah menjadi mangsa penipuan hingga mengakibatkan kerugian puluhan ribu ringgit disebabkan terpedaya dengan tindakan individu yang menawarkan peluang perniagaan yang tidak jelas sedangkan hakikatnya adalah untuk memperdayakan mangsa.

“Kes individu ditipu hingga membabitkan nilai kerugian ribuan ringgit bukanlah perkara baru kerana ramai yang sudah menjadi mangsa akibat tindakan licik yang dilakukan.

“Sikap orang ramai yang ingin mendapatkan keuntungan tinggi dalam masa terdekat tanpa perlu bersusah payah antara faktor menyebabkan aktiviti penipuan seperti itu terus berlaku dalam masyarakat,”
katanya di sini, semalam.

Beliau mengulas mengenai dua individu dari daerah ini yang mendakwa mengalami kerugian antara RM25,000 hingga RM33,000 selepas ditipu pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan di atas kelemahan orang lain.

Khairuddin berkata, orang ramai seharusnya tidak mudah percaya dengan tawaran yang diberikan segelintir pihak terutama membabitkan sesuatu tawaran atau keuntungan yang tidak munasabah, kerana kemungkinan hanyalah untuk tujuan memperdayakan mangsa.

Menurutnya, kejadian seperti itu mungkin boleh dielakkan jika mereka tidak terburu-buru menyerahkan wang kepada individu tidak dikenali itu sebaliknya menyiasat terlebih dulu sebelum mengambil sebarang tindakan atau membuat sesuatu pelaburan serta pembelian.

Katanya, Nesca sudah banyak mengadakan kursus dan seminar kepada orang ramai bukan saja berkaitan tanggungjawab sebagai pengguna, malah turut memberi fokus kepada usaha menangani kegiatan penipuan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

“Tindakan itu bertujuan bagi menytenedarkan mereka supaya tidak mudah terperangkap dengan kegiatan segelintir pihak yang menjalankan aktiviti di luar batasan undang-undang hingga menyebabkan ramai yang menjadi mangsa dan mengalami kerugian.

“Kita berharap kejadian penipuan terhadap beberapa individu itu dijadikan pengajaran oleh individu lain dan mereka yang melakukannya dihukum,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090706071222/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...