Kes jenayah asid semakin meningkat hari ini. Mengapakah ia sering menjadi pilihan suspek yang cemburu dan iri hati? Adakah masih ada harapan untuk mangsa kembali hidup normal?
KHODEZA Begun masih lagi trauma mengingati peristiwa lapan tahun lalu, apabila beliau dan anak perempuannya disimbah asid oleh seorang penyerang yang tidak dikenali ketika sedang tidur di rumahnya.
"Cecair asid tersebut menghakis permukaan kulit muka saya agak teruk dan kepala anak saya.
"Malangnya, saya tidak dapat sebarang pembelaan daripada polis atau mahkamah bagi mengenalpasti pesalah terbabit," kata wanita berumur 30 tahun yang menutupi wajahnya dengan sehelai selendang merah akibat kecacatan kesan simbahan asid yang mencacatkan wajahnya.
Khodeza mendedahkan peristiwa hitam dalam hidupnya itu pada satu persidangan ulang tahun yang ke-10 Pertubuhan Mangsa Asid (ASF) di Dhaka, Bangladesh baru-baru ini.
ASF, polis dan mangsa-mangsa serangan asid mengatakan, kebanyakan kejadian simbahan asid yang berlaku di Bangladesh adalah disebabkan keengganan mangsa melakukan hubungan seks.
Ini kerana, kebanyakan mangsa tergolong di kalangan wanita muda. Selain itu, permintaan mas kahwin yang tinggi daripada keluarga atau perebutan tanah juga adalah salah satu sebab kejadian seumpama itu berlaku.
Kejadian yang meninggalkan ketakutan dan psikologi trauma pada mangsa tidak dapat dielakkan.
Pengelola persidangan itu memberitahu, ramai mangsa seperti Khodeza dinafikan keadilannya. Ada sesetengahnya, hanya memencilkan diri dan juga dipulaukan keluarga akibat kesan parut yang melekat di wajah mangsa.
"Saya bernasib baik kerana suami tidak meninggalkan kami anak beranak walaupun keadaan kami seperti ini.
"Berbeza dengan nasib kebanyakan mangsa asid yang ditinggalkan kerana wajah mereka yang hodoh dan cacat," kata wanita yang berasal dari daerah selatan Satkhira, Bangladesh itu.
Justeru apakah perkara pertama yang boleh dilakukan apabila seseorang terkena simbahan asid?
Profesor Taufiq Yap Yun Hin dari Fakulti Sains Jabatan Kimia, Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang, menjelaskan tindakan segera dengan mencurahkan air yang banyak pada kawasan yang terkena asid amat penting.
Ini kerana, asid adalah sejenis sebatian kimia yang terkenal dengan sifat masam dan menghakis.
Jelasnya, asid dalam bentuk pepejal tidak begitu kuat berbanding asid dalam bentuk cecair yang sangat cepat menghakis.
"Terdapat asid lemah dan asid kuat. Ia juga disebut sebagai asid organik dan asid mineral.
"Asid organik banyak terdapat dalam industri pemakanan, manakala asid mineral ialah asid yang kuat dan terdiri daripada asid sulfurik yang sangat mudah menghakis," katanya kepada Kosmo!ketika ditemui baru-baru ini.
Mencederakan mangsa
Lelaki berketurunan Cina itu memberitahu, satu petunjuk mudah yang dapat menentukan keasidan sesuatu sebatian ialah dengan menggunakan meter pH.
"Jika buka penutup botol yang mengandungi asid dan ia berasap, itu menandakan nilai pHnya terlalu tinggi. Kebanyakan asid jenis tersebut digunakan oleh suspek untuk mencederakan mangsa sehingga kecederaan kronik.
"Ini kerana, cecair tersebut boleh menghakis bukan sahaja permukaan epidermis (lapisan paling luar kulit yang terletak pada lapisan atas dermis).
"Malah, ia juga boleh ke peringkat dermis (lapisan kedua kulit yang mempunyai ketebalan kira-kira 0.25 milimeter ke 2.55 milimeter daripada kulit), jika tiada tindakan segera diambil," tegasnya.
Persoalannya, bagaimana penyimbah asid memperoleh cecair tersebut dengan begitu mudah?
"Sebenarnya bahan tersebut mudah diperoleh daripada industri kimia. Kegunaan utama adalah dalam penghasilan baja (ammonium sulfat).
"Bahan itu juga digunakan dalam pembuatan kimia seperti asid hidroklorik, asid nitrik dan pelbagai lagi.
"Bukan itu sahaja, cecair asid juga digunakan di dalam industri petroleum untuk membersihkan bahan asing," kata penyelaras Pusat Kecemerlangan Sains dan Teknologi Katalisis, Fakulti Sains UPM tersebut.
Trauma emosi
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Jabatan Sains Kemanusiaan dan Pembangunan Fakulti Psikologi, UPM, Prof. Dr. Haslinda Abdullah memberitahu, mangsa simbahan asid bakal mengalami trauma mahupun kecelaruan emosi berpanjangan (posttraumatic stress disorder (PTSD).
"Kebiasaannya ia berlaku selepas seseorang itu berdepan dengan tragedi dalam kehidupan mereka.
"Ia berkemungkinan trauma yang sangat menakutkan, mengancam nyawa atau membahayakan individu terbabit," katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Jelasnya, kebanyakan mangsa akan merasai kembali trauma. Individu tersebut dapat merasakan seolah-olah trauma tersebut berlaku kembali terhadap dirinya.
Ini termasuk mengalami mimpi ngeri, atau imbasan tentang trauma yang sentiasa menyelubunginya.
"Apa yang penting, masyarakat sekeliling terutamanya keluarga dan rakan-rakan sentiasa memberikan sokongan.
"Bantu mereka menghadapi trauma tersebut dengan baik. Jangan pula masyarakat mencemuh atau meminggirkan mereka kerana ia boleh mendatangkan kesan yang lebih teruk," katanya.
Sementara itu, pakar bedah kosmetik salah sebuah klinik swasta, Dr. Nini Sutina Nordin pula memberitahu, jika kecacatan tersebut tidak dibaiki, ia akan menyukarkan pesakit dan menyebabkan mereka berasa tertekan dengan persepsi masyarakat.
"Terdapat dua jenis pembedahan iaitu pembedahan kosmetik dan pembedahan rekonstruktif.
"Pembedahan kosmetik bertujuan memperbaiki bentuk struktur wajah yang normal bagi meningkatkan tahap keyakinan dan harga diri.
"Pembedahan rekonstruktif pula bertujuan untuk memperbaiki bentuk wajah dan fungsi tubuh yang cedera akibat kemalangan atau kecederaan, penyakit dan kecacatan kelahiran," katanya.
Tegasnya, ia akan memberikan mangsa peluang untuk menjalani hidup yang normal tanpa dipandang rendah oleh orang ramai.
Ia juga akan memberikan mereka peluang untuk bergaul dan diterima oleh komuniti.
Namun, Nini memberitahu pembedahan rekonstruktif yang dilakukan juga memerlukan doktor melihat tahap keseriusan kesan simbahan asid tersebut.
"Ia kemungkinan memerlukan bukan sekali dua pembedahan sahaja malah, pesakit juga harus menerima hakikat bahawa mereka mungkin tidak boleh pulih sepenuhnya," katanya.
Di Malaysia kebanyakan kes jenayah melibatkan simbahan asid berpunca daripada perasaan tidak puas hati, cemburu dan hasad dengki.
Antara kes yang paling klasik dan mendapat liputan luas media adalah kes seorang wanita, Siti Khalifah Sulong, 57, yang menyimbah asid ke muka suaminya Tuan Azman Tuan Ludin, 35, yang sedang tidur selepas suaminya menyatakan hasrat mahu berkahwin lagi.
Kes itu sangat sensasi mungkin disebabkan jarak umur pasangan terbabit selain tahap kecederaan teruk yang dialami Tuan Azman dan keputusan bakal isteri kedua Tuan Azman yang kemudian menukarfikiran menolak perkahwinan itu.
Siti Khalifah yang mengaku bersalah mencederakan Tuan Azman dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada tahun 2006.
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0706&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm
No comments:
Post a Comment