Thursday, July 16, 2009

Dendam cinta OKU

Oleh Mohd Nur Asnawi Daud
asnawi@hmetro.com.my


BAHAU: Akibat tidak dapat menerima hakikat cintanya putus di tengah jalan, seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) dipercayai sanggup bertindak menyiarkan gambar ghairah teman wanitanya di dalam Internet.

Lelaki berusia 30-an terbabit berkenalan dengan teman wanitanya melalui internet hampir tiga tahun lalu dan sejak itu, mereka mula menjalinkan hubungan cinta.


Wanita berusia awal 30-an itu juga pernah berkunjung ke rumah suspek di Kampung Baru Mahsan, dekat sini, pada tahun lalu dan tinggal di situ selama beberapa hari.

Harian Metro difahamkan, ketika berada di rumah lelaki terbabit, pasangan itu ada merakamkan beberapa gambar untuk disimpan sebagai koleksi kenangan.

Bagaimanapun, pada awal tahun ini, mangsa mula melahirkan hasrat untuk memutuskan hubungan cinta dengan teman lelakinya atas sebab tertentu.

Akibat tindakan terbabit, teman lelaki mangsa begitu marah, lalu mengugut untuk menyebarkan gambar bogel wanita berkenaan di dalam Internet.

Difahamkan, lelaki itu mengalami lumpuh selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya, beberapa tahun lalu.

Sumber berkata, wanita berkenaan bagaimanapun akur dengan amaran teman lelakinya dan meneruskan semula hubungan cinta dengan suspek.

Menurutnya, mangsa bagaimanapun terkejut selepas rakannya memberitahu melihat gambar bogelnya dalam Internet.

“Suspek dipercayai masih berang dengan tindakan wanita berkenaan lalu menyebarkan gambar bogel mangsa di dalam internet,” katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam.

Katanya, berikutan itu, wanita malang berkenaan kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol kira-kira jam 1.30 tengah hari kelmarin supaya siasatan dapat dilakukan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Negeri Sembilan, Superintendan Ramli Mohd Nor, berkata bertindak atas laporan itu, sepasukan pegawai dan anggota JSJK negeri menyerbu rumah lelaki terbabit beberapa jam selepas laporan dibuat.

Menurutnya, dalam serbuan itu, polis menahan lelaki terbabit untuk membantu siasatan berhubung pengedaran gambar lucah terbabit.

“Polis turut merampas satu set komputer di rumah suspek untuk tujuan siasatan mengenai kejadian itu,” katanya memaklumkan kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

Katanya, lelaki itu bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan dan siasatan ke atasnya dilakukan.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090716070308/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...