KUALA LUMPUR: Akibat cemburu, seorang lelaki yang di bawah pengaruh dadah dipercayai telah memukul isterinya sampai mati kerana mengesyaki isterinya mempunyai hubungan dengan lelaki lain.
Kejadian awal pagi itu berlaku di sebuah hotel di Jinjang apabila lelaki berusia 34 tahun itu, mengamuk dan bertengkar dengan isterinya yang berusia 30 tahun, serta mencederakannya menggunakan cerek elektrik yang terdapat di hotel tersebut.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan berkata mayat mangsa ditemui terbaring di tepi katil oleh pekerja hotel tersebut kira-kira pukul 5.30 pagi dalam keadaan bogel dan hanya ditutupi sebahagian badannya dengan selimut tebal.
"Kejadian berlaku antara 12 tengah malam dan 4 pagi. Berdasarkan siasatan awal, polis percaya suspek memukul isterinya menggunakan cerek itu dan daripada senario kejadian tidak menolak suspek di bawah pengaruh dadah," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) itu, hari ini.
Beliau berkata polis juga percaya pergaduhan antara suami isteri itu berlarutan sehingga menyebabkan lelaki berkenaan tidak dapat mengawal diri sehingga memukul dan menghentak isterinya ke dinding.
Zakaria berkata pasangan suami isteri itu yang berasal dari Slim River, Perak tiba di Kuala Lumpur Jumaat lepas dan menginap di hotel berkenaan.
Seorang rakan wanita mangsa, turut tinggal di bilik yang sama sejak Ahad lepas, katanya.
"Polis sedang mengambil keterangan dari rakan wanita mangsa yang turut menginap di bilik hotel tersebut dan siasatan awal mendapati rakan wanita itu turut menyaksikan pergaduhan tersebut dan beliau juga dicederakan suspek," katanya.
Beliau berkata selepas pergaduhan itu, lelaki tersebut memaksa rakan wanita itu keluar bersamanya ke sebuah gerai berhampiran hotel tersebut pukul 4 pagi tadi dan apabila pulang ke bilik hotel kira-kira 5.30 pagi, pintu bilik hotel itu berkunci.
"Apabila pekerja hotel membuka pintu, mangsa terbaring dan sudah meninggal dunia. Suspek kemudian melarikan diri bersama barang peribadi isterinya dengan menaiki sebuah van berwarna biru bernombor plat WNB 5698," katanya.
Beliau berkata motif pembunuhan masih disiasat dan begitu juga hubungan antara saksi yang dalam lingkungan usia 20an itu dengan pasangan berkenaan.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, katanya.
Sementara itu, seorang anggota keluarga mangsa yang tidak mahu dikenali berkata mangsa pernah membuat laporan polis beberapa kali kerana suaminya sering menderanya sepanjang sembilan tahun perkahwinan mereka.
"Kerana sayang dia tarik balik laporan itu walaupun tahu suaminya seorang penagih dadah. Saya bersama empat saudara lain termasuk bapanya baru datang pagi ini dari Gemas (Negeri Sembilan) untuk mencari dia di hotel berkenaan selepas dia menghubungi bapanya malam tadi.
"Tiba di hotel kami dapati ramai polis dan mengetahui dia telah meninggal dunia di hotel itu," katanya yang ditemui di IPD itu. BERNAMA
No comments:
Post a Comment