am@hmetro.com.my
TANJUNG MALIM: “Mak usah risau, saya akan bina rumah baru menggantikan rumah kita sekarang bila saya sudah mengajar nanti.”
Luahan kata-kata itu pernah disuarakan bakal penerima Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Khas Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Rosmarinda Mat Yusof, 24, kepada ibunya, Rahimah Ab Razak, 55, yang tidak kesampaian apabila dia yang dirawat di Hospital Pasir Mas, Kelantan meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada 22 Mei lalu.
Rahimah ketika ditemui berkata, arwah anaknya yang sentiasa menitikberatkan kebajikan keluarga juga berhasrat membelikan pakaian raya untuknya dan adiknya menggunakan wang biasiswa pengajian biayaan Kementerian Pelajaran Malaysia.
“Hari ini saya hanya dapat melihat ijazah ini dan tak tahu macam mana menyambut Ramadan tanpa dia di sisi kami lagi,” katanya sebak.
Suasana sayu dan memilukan itu menyelubungi suasana Dewan SITC, UPSI pada sesi keempat hari ketiga Istiadat Konvokesyen Ke-11 Sidang Kedua ketika majlis penyampaian Anugerah Anumerta berlangsung semalam.
Rahimah yang juga ibu tunggal tidak mampu menahan kesedihan dan menangis sambil melangkah ke atas pentas menerima Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Khas untuk Rosmarinda yang memperoleh Purata Nilaian Gred Keseluruhan (PNGK) 3.42 .
Rahimah yang hadir bersama adik-adik Rosmarinda dan saudara-mara dari Rantau Panjang, Kelantan, ketika ditemui berkata anak ketiga daripada enam beradik itu sememangnya menjadi harapan mengubah nasib keluarga.
Allahyarhamah menjalani latihan amali di Sekolah Menengah Taman Tasik Permaisuri, Cheras, dan sebelum menerima tawaran melanjutkan pelajaran di UPSI, Rosmarinda pernah ditawarkan kerjaya pramugari dan polis.
“Dengan kudrat yang ada, saya akan terus menyara anak dengan bekerja mengambil upah membawa barangan peniaga Malaysia dari Thailand di Rantau Panjang,” katanya.
Rahimah berkata, Rosmarinda adalah anak yang amat baik dan berbudi bahasa serta bertanggungjawab kerana setiap kali pulang ke kampung dia akan membeli pelbagai barangan dapur.
“Walaupun Rosmarinda sudah tiada, kami sanggup datang menerima anugerah untuknya dengan menyewa kereta dan van. Kami berterima kasih kepada UPSI yang menyediakan penginapan untuk kami sekeluarga di sini,” katanya.
Rahimah mahu anaknya yang lain, Muhd Redzuan, 21, yang sedang menuntut di semester tiga bidang Pengajian Melayu di Universiti Malaya; Noraini, 15, serta Amir Syafik, 10, mencontohi kesungguhan Rosmarinda mengejar cita-citanya.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090814065501/Article/index_html
No comments:
Post a Comment