am@hmetro.com.my
KOTA BHARU: “Tergamak dia memperlakukan anak saya sebegitu,” kata ibu kepada remaja perempuan malang berusia 15 tahun yang diperkosa bapa tirinya sebelum ditikam dan disimbah asid di sebuah ladang getah di Felda Aring Enam, dekat Gua Musang, Ahad lalu.
Wanita yang enggan namanya disiarkan berkata, kejadian itu disifatkan sebagai episod paling malang dalam hidupnya apabila suami yang dikahwini kira-kira lima tahun lalu sanggup melakukan perbuatan terkutuk itu terhadap anak sulung mereka.
Menurutnya, tiada siapa menyangka perkara itu akan menimpa mereka terutama apabila arwah suaminya selama ini dilihat sebagai bapa tiri penyayang hingga dianggap seperti bapa kandung oleh tiga anak tiri lain.
“Saya mendirikan rumah tangga dengannya kira-kira lima tahun lalu sebagai isteri kedua. Selama hidup bersama, hubungan kami tidak mempunyai masalah, malah semua anak saya hasil perkongsian dengan suami terdahulu menganggapnya seperti bapa kandung.
“Saya dan arwah tidak mempunyai masalah, apatah lagi memukul saya. Sebaik mendapat tahu kejadian ini, saya terfikir bagaimana dia boleh tergamak berkelakuan seperti itu,” katanya ketika ditemui di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), di sini, semalam.
Selain itu, wanita berusia 33 tahun itu memberitahu, ketika kejadian, anaknya yang berada dalam kesakitan sempat membuat panggilan telefon kira-kira 15 minit menyebabkannya panik sebelum terus bergegas menaiki motosikal pergi ke ladang getah terbabit.
Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, anaknya berada dalam keadaan kesakitan dan menyayat hati sambil dibantu penduduk kampung di kawasan berkenaan.
“Sambil menangis teresak-esak, dia memberitahu berada dalam kesakitan. Saya tidak dapat membayangkan bagaimana keadaannya ketika itu apabila terpaksa menanggung kesakitan bersendirian.
“Ketika dalam perjalanan, fikiran saya hanya mengenai keselamatan anak dan sudah tidak kisah lagi mengenai arwah walaupun diberitahu dia sudah mati,” katanya.
Berikutan kejadian itu, katanya, anaknya kini terlantar di Unit Rawatan Rapi (ICU) HUSM dengan kira-kira 42 peratus bahagian muka dan badannya melecur akibat disimbah asid.
Wanita itu berkata, dia hanya menghabiskan masa di hospital sambil menemani anaknya setiap hari sambil memikirkan masa depan yang bakal dihadapi mereka.
“Saya nekad memulakan kehidupan baru bersama empat anak tetapi pada masa sama sedih memikirkan nasib anak dengan keadaannya yang tidak akan normal seperti dulu,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090814065728/Article/index_html
No comments:
Post a Comment