Sunday, August 16, 2009

Niat tuntut ilmu


JOHOR BAHRU: Niat menuntut ilmu untuk memahirkan diri dan bukan hanya belajar untuk lulus peperiksaan menjadi kunci kejayaan Muhammad Zamir Othman, 21, yang dipilih penerima Anugerah Pelajaran Diraja dalam Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kali ke-43, semalam.

Graduan Sarjana Muda Sains (Kimia) itu berkata, sepanjang pengajiannya beliau tidak menghabiskan banyak masa untuk mengulangkaji pelajaran setiap hari tetapi mengikuti kuliah, membaca dan melakukan latihan semata-mata kerana keikhlasan untuk menambah ilmu di dada.

“Saya hanya mengulangkaji pelajaran kira-kira tiga jam seminggu, tetapi mungkin dengan sikap ikhlas untuk menambah ilmu itu saya mudah faham dan mengingati pelajaran bagi menghadapi peperiksaan.

“Saya berharap dapat melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah di Universiti Bristol, England, Januari depan untuk mendalami bidang berlian selepas mengambil tesis mengkaji struktur karbon ketika di peringkat Sarjana Muda.

“Saya berharap dengan mengkaji atom seperti karbon, saya berupaya menghasilkan berlian yang stabil seperti dihasilkan secara semula jadi,” katanya ketika ditemui selepas majlis konvokesyen di Dewan Sultan Iskandar, UTM Skudai, di sini, semalam.

Bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Jasin, Melaka yang juga anak bongsu daripada empat beradik kepada pasangan Othman Sadon, 62, dan Zahrah Rameli, 57, dari Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur itu memperoleh ijazah kelas pertama dengan Nilai Purata Gred Keseluruhan (CGPA) 3.92.

Seorang lagi penerima Anugerah Pelajaran Diraja, Chin Pui Ling, 24, juga mengakui gembira sepanjang menuntut di UTM dengan melakukan pelbagai aktiviti tanpa rasa tertekan untuk meraih kejayaan dalam pelajaran.

Beliau yang kini bekerja sebagai jurutera lapangan dengan syarikat minyak dan gas antarabangsa, Schlumberger, selepas memperoleh CGPA 3.89 berkata, ibu bapanya tidak pernah memaksa untuk belajar tetapi memintanya menikmati kehidupan menuntut ilmu ketika di kampus dengan sebaik-baiknya.

Sudah tentu saya memberi tumpuan kepada kelas, membuat nota dan mengemukakan soalan kepada pensyarah apabila tidak memahami untuk berjaya dalam pelajaran.

“Bagaimanapun, saya tetap aktif dalam kegiatan berpersatuan dengan menjadi Presiden Golden Key International Honour Society UTM 2008 dengan berpeluang mengikuti persidangan di New Orleans, Amerika Syarikat,”
katanya.

Secara keseluruhan, kemeriahan majlis konvokesyen itu sedikit terjejas akibat wabak Influenza A (H1N1) apabila kehadiran ibu bapa dan tetamu didapati berkurangan manakala semua yang hadir dibekalkan penutup mulut sebagai langkah berjaga-jaga.

Canselor UTM, Sultanah Johor, Sultanah Zanariah Almarhum Tuanku Ahmad, turut mengingatkan graduan dan ibu bapa supaya sentiasa menjaga kebersihan berikutan wabak berbahaya itu.

Seramai 5,692 graduan UTM menerima ijazah dan diploma masing-masing dalam majlis konvokesyen itu yang berlangsung selama lima hari bermula semalam.

Daripada jumlah berkenaan, seramai 39 adalah graduan Ijazah Doktor Falsafah (PhD), 636 graduan Sarjana, seorang graduan Diploma Lepas Ijazah, 3,945 graduan Sarjana Muda dan 1,442 graduan Diploma dengan 507 daripada graduan Sarjana Muda menerima kelas pertama.

Pada konvokesyen kali ini, UTM mengumumkan pelantikan bekas Naib Canselornya, Datuk Dr Muhammad Ridzuan Mohd Salleh sebagai Pro-Canselor ketiga UTM dengan watikan pelantikan disampaikan Sultanah Zanariah pada sesi pertama majlis konvokesyen berkenaan.

Selain itu, baginda menganugerahkan gelaran Profesor Emeritus kepada dua bekas tokoh akademik UTM, Prof Datuk Wira Ir Dr Mohammad Noor Salleh dan Prof Dr Azman Awang, serta mengurniakan Ijazah Doktor Kehormat kepada Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), Datuk Seri Prof Ir Dr Judin Abdul Karim.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...