|
Penguatkuasaan enakmen syariah di Selangor melalui dasar baru membenarkan pegawai masjid untuk menahan orang Islam yang minum arak dan tidak berpuasa "boleh dimulakan pada bila-bila masa" selepas menerima kad kuasa jabatan agama. Seorang imam yang diberikan kuasa itu berkata, taklimat berkaitan prosedur dan kaedah penahanan pelaku kedua-dua kesalahan tersebut diadakan semalam. Dihubungi Malaysiakini hari ini, imam 2 Masjid Jalan Kebun, Klang, Mohd Hafiz Mohd Hussain berkata, dalam taklimat sehari di Masjid Negeri di Shah Alam, kesemua imam dimaklumkan mengenai pendekatan baru itu. "Kita juga diberitahu, kad kuasa telah siap dan boleh diambil pada bila-bila masa sahaja di pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)," katanya. Exco hal-ehwal Islam Selangor, Datuk Dr Hasan Ali semalam mengumumkan nazir, imam, bilal dan siak di lebih 370 masjid di negeri berkenaan diberikan surat kuasa untuk membantu menguatkuasa Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995. Surat kuasa itu dilaporkan telah diberikan dua minggu lepas. Kesalahan yang diberi penekanan untuk dibanteras pada bulan Ramadhan ini antaranya makan, minum dan menghisap rokok di khalayak ramai - kesalahan bawah Seksyen 19 enakmen tersebut. Dr Hasan dipetik berkata pegawai masjid yang mempunyai surat kuasa itu bagaimanapun tidak boleh menangkap pesalah tetapi hanya mengambil butiran diri dan jenis kesalahan serta barang kes untuk diserah kepada pegawai penguatkuasa agama untuk tindakan lanjut. Pegawai masjid juga boleh menangkap orang Islam yang meminum arak tetapi perlu menyerahkan mereka kepada polis atau pegawai penguatkuasa agama. http://www1.malaysiakini.com/news/111339 |
No comments:
Post a Comment