am@hmetro.com.my
BENTONG: Kejam apabila seorang penyamun wanita sanggup menikam tengkuk golongan sejenisnya yang juga pelancong dari Singapura ketika cuba merentap beg tangannya menyebabkan mangsa koma dan terlantar di Hospital Kuala Lumpur (HKL), sejak Khamis lalu.
Silap pelancong asing berusia 56 tahun itu hanyalah kerana dia cuba melawan penyamun terbabit dalam usaha menghalangnya melarikan beg digalasnya itu.
Dalam kejadian jam 7 pagi, mangsa disamun ketika berjalan seorang diri menuju ke bilik penginapannya di sebuah hotel di sini, sebelum ditemui orang ramai dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Rosli Abdul Rahman, berkata mangsa yang juga ibu tunggal dua anak berada di negara ini kerana menghabiskan percutian seminggu berhibur di sebuah pusat peranginan terkenal di negeri ini.
Menurutnya, mangsa yang dirawat di HKL sedar dari koma kelmarin, sebelum keterangannya diambil bagi membantu siasatan dan keadaannya kini stabil.
“Polis menahan suspek hasil maklumat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di hotel terbabit. Suspek ialah seorang wanita berusia 42 tahun dari ibu negara yang turut menginap di hotel sama.
“Dia ditahan jam 1.30 tengah hari kejadian ketika cuba bersembunyi dalam bilik penginapan hotel itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Rosli berkata, siasatan awal mendapati suspek mengekori mangsa dan mengeluarkan sebilah pisau untuk mengugut mangsa menyerahkan begnya.
Bagaimanapun, keengganan mangsa menyerahkan beg miliknya menyebabkan berlaku tarik menarik sebelum suspek yang berang menikam tengkuk mangsa.
“Suspek yang panik melihat mangsa terbaring berlumuran darah segera melarikan diri ke hotel untuk bersembunyi dan tidak sempat mengambil beg mangsa.
“Polis sudah merekodkan keterangan mangsa berhubung kejadian terbabit mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun mendatangkan kecederaan,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090804074504/Article/index_html
No comments:
Post a Comment