Sunday, August 2, 2009

Tidak menepati piawaian

Oleh ISMA ISMAIL dan SHAMRAN SARAHAN
metahad@hmetro.com.my


GOMBAK: “Kita terpaksa ambil tindakan kerana mereka tidak menepati piawaian sebagai rumah perlindungan, terutama membabitkan pengurusan dan keselamatan penghuni,” kata Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, Adnan Abu Bakar, mengulas tindakan pihaknya melakukan serbuan ke Pondok Penyayang Raudhah (PPR), Khamis lalu.

Menurutnya, JKM berbuat demikian selepas menerima aduan daripada orang awam yang mendakwa pengurusan rumah terbabit mengabaikan kebajikan penghuni mereka.

Katanya, dakwaan itu termasuk ada penghuni berusia belasan tahun di rumah perlindungan berkenaan tidak pernah bersekolah serta sebilangan remaja wanita yang mengandung luar nikah tidak diuruskan dengan baik.

“Kami buat serbuan dan mendapati PPR memang tidak terurus. Tindakan kami juga berdasarkan pemeriksaan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Kesihatan yang mengesahkan PPR ‘tidak selamat’ didiami penghuni berkenaan.

“Hasil serbuan berkenaan, kami terpaksa mengambil penghuni terbabit yang membabitkan anak yatim dan remaja wanita bermasalah, kemudian menempatkan mereka ke rumah perlindungan di bawah seliaan JKM. Ada juga (penghuni) yang kembali ke pangkuan keluarga,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad.

Adnan berkata, dalam serbuan berkenaan, seramai 24 remaja berusia 18 tahun ke bawah dibawa ke JKM, seterusnya dihantar ke rumah kebajikan seliaan JKM, manakala sebahagian lagi kembali kepada keluarga masing-masing.

Sementara itu, pengasas PPR, Moktarudin Mohd Saaid, menafikan premisnya diserbu JKM, sebaliknya mendakwa pihaknya sendiri menyerahkan anak yatim dan gadis bermasalah terbabit kepada JKM bagi membolehkan mereka mendapat perlindungan lebih baik.

Beliau yang juga pelakon era 1980-an berkata, pihaknya memang sentiasa bekerjasama dengan JKM dan sudah berbincang mengenai penghuni terbabit untuk diselia sendiri oleh jabatan itu beberapa kali sebelum ini.

Katanya, JKM memaklumkan kepada pihaknya sebelum kehadiran mereka dan tindakan mengeluarkan penghuni PPR, terutama yang di bawah umur, dilakukan kerana polisi baru jabatan terbabit tidak membenarkan pusat perlindungan swasta ‘membela’ mereka.

“Saya sendiri menjadi tukang pujuk kerana kebanyakan anak di pondok ini tidak mahu pergi dengan JKM. Sebab itu kita guna psikologi supaya mereka pergi.

“Bagi saya, lebih baik jika perkara ini tidak digembar-gemburkan kerana kita dan JKM sentiasa bekerjasama kerana lebih penting adalah masa depan anak-anak itu lebih terjamin,” katanya ketika ditemui Metro Ahad, kelmarin.

Pondok Penyayang Raudhah diasaskan Mokhtaruddin lebih 18 tahun lalu dan terletak di Batu 11 Jalan Gombak-Bentong, dekat sini, dengan memberi perkhidmatan sukarela menjaga dan mendidik anak yatim dan anak yang terabai oleh ibu bapa mereka.

Selain memberi motivasi, penghuni di pondok berkenaan dikatakan diberi kemahiran untuk berdikari serta pengukuhan iman.

Moktarudin sebelum ini pernah membintangi filem Pasung Puaka, Si Luncai, Cahaya Sakti, Langit Tidak Selalu Cerah, Raja Laut, Ribut Barat, Pertentangan, Cikgu Sayang dan Jauh Di Sudut Hati.

Pengurus Pertubuhan Penyayang Raudhah, Mohd Bismi Adira Moktaruddin, pula berkata berikutan polisi baru JKM, pihaknya akan mengubah konsep dan melaksanakan program bagi remaja melebihi 17 tahun serta yang ada masalah gejala sosial saja.

”Kami juga akan mencari dana bagi memperkemas serta menyediakan kemudahan terbaik di pondok berkenaan mengikut spesifikasi ditetapkan JKM,” katanya.

“Usaha ayah saya adalah sukarela dan memang sumber kewangan kami terhad, tetapi ia tidak menghalang niat kami membantu remaja kita yang bermasalah,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Setempat/20090801192744/Article/index_html

1 comment:

pengubat cinta said...

bismillah..

sesungguhnya pondok raudah gombak penuh dengan penyelewangan serta banyak kebatilan yg berlaku.bolehkah seorang yg menggelar dirinya wali ALLAH berpimpim tangan dengan bukan muhrim menggunakan alasan dia ada katarak di mata? sedangkan ramai lagi lekai di situ yang boleh memimpinnya?ajran mokhtarudin adalah sesat dan sesungguhnya aku berdoa padamu ALLAH untuk tunjukkan keadilanMU kerana aku adalah hambaMU yang teraniaya dan dianiaya oleh mereka di pondok raudah gombak amin.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...