Sunday, February 21, 2010

Imuda nikah

Oleh KALIDEVI MOGAN KUMARAPPA dan RUDY SYAREME SHERIFFUDIN
am@hmetro.com.my
2010/02/21

GEORGETOWN: Dengan sekali lafaz, pelakon komedi, penyanyi dan pelukis terkenal, Abdul Rahim Muda atau Imuda, 50, sah bergelar suami kepada penolong pengurus bank, Zabarina Haja Mushadi Ali, 28.


Saya berharap perkahwinan ini kekal hingga ke akhir hayat,” katanya. Imuda berkata, pada pertemuan pertama, beliau bukan saja terpikat kecantikan isterinya yang persis pelakon hindustan era 1950-an, Rajes tetapi juga peribadinya yang penyabar dan sungguh istimewa dalam hidupnya.

“Dalam pertemuan pertama, saya bukan saja terpukau dengan kecantikan Zabarina, malah ketika itu wujud satu persoalan dalam diri adakah Zabarina akan menjadi suri dalam hidup saya yang kesepian. “Sikapnya yang berterus terang, berfikiran terbuka dan penyayang menyebabkan saya selesa dengannya,” katanya.

Beliau berkata, berita gembira itu juga disambut baik dua anaknya, Raihana, 17, dan Mohd Redza, 9, hasil perkahwinan pertamanya. “Tiada apa yang menggembirakan saya selain anak merestui perkahwinan kali ini, malah isteri saya bersedia menerima kehadiran anak dengan hati terbuka,” katanya.

Sementara itu, Zabarina berkata, sebagai wanita dia berpendapat tiada salahnya berkahwin dengan selebriti kerana mereka juga manusia biasa, malah dirinya tertarik pada Imuda kerana sifatnya yang unik dan menarik.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Imudanikah/myMA/myArticle/

Suami isteri terkejut

Laporan dan foto MD FUZI ABD LATEH
mdfuzi@hmetro.com.my
2010/02/21

BUKIT BERUNTUNG: “Saya merayu kepada mama, jangan buat begini. Usah lempar tuduhan melulu dan tidak berasas kepada suami saya,” kata Siti Fairunnisa Aziz, 22, isteri kepada penyanyi era 1980-an, Rashid Abdul Wahab yang juga dikenali sebagai Shidee.


Malah, dia ada merancang untuk menjodohkan saya dengan orang lain. “Tuduhan suami saya mempunyai tabiat buruk dengan kerap berjudi dan menghabiskan harta ibu adalah keterlaluan. Ini tidak benar.

Sepanjang empat tahun lalu, suami saya menyara kami keluarga kerana ibu tidak mempunyai kerja selepas kematian ayah, Aziz Awang pada 2006,” katanya ketika ditemui wartawan Metro Ahad, di sini, semalam.

Semalam, Harian Metro melaporkan, ibunya membuat pengakuan tidak merestui perkahwinan Shidee dengan anaknya dengan mendakwa penyanyi terbabit mempunyai tabiat buruk dan tidak sesuai menjadi menantunya.

Siti Fairunnisa berkata, Shidee memberi RM800 setiap bulan bagi membayar ansuran kereta dan rumah ibunya di Bukit Beruntung sejak beberapa tahun lalu. Malah, katanya, perbelanjaan lain, termasuk belanja mengurus keluarga setiap hari, turut ditanggung suaminya.

Dia menyedari ibunya ada menyimpan perasaan cinta terhadap Shidee kerana sering dimarahi supaya segera melupakannya, namun dia tidak dapat mengikut kehendak itu. “Mama ada mengirim SMS menyatakan dia terlebih dulu mengenali Shidee dan menjalin hubungan cinta.

Beberapa SMS mempunyai ayat kesat dan kasar turut dihantar mama bagi menghalang cinta suci kami. “Lantaran itu dia membuat tiga laporan polis mengenai kejadian saya lari dari rumah untuk bertemu Shidee di Bukit Beruntung,” katanya.

Siti Fairunnisa, anak bongsu daripada tiga beradik, berkata dia juga membuat laporan polis pada 31 Januari lalu di Balai Polis Bukit Sentosa bagi memaklumkan kejadian sebenar bahawa dia membawa diri penuh kerelaan hati, bukan dilarikan Shidee.

Katanya, sebelum bernikah, ibu dan bapa saudaranya, Jamaluddin Hassan, 50-an, berbincang mengenai perkara berkenaan di rumah abang angkat Shidee, Shaharuddin Shaari, 52 bagi mencapai persetujuan bersama.

“Mama restu kami bernikah. Saya hairan mengapa kini dia membuat kenyataan sebaliknya pula.

Dia marah kepada Shidee kerana tidak memilihnya sebagai suami.

Tolonglah...

saya sedih dengan perkara ini.

Kami menyayangi mama.

“Marilah kembali seperti dulu. Kita bina kebahagiaan bersama. Terimalah Shidee sebagai menantu mama yang sah.

Dia juga ada maruah dan harga diri,” katanya.

Dia dan suaminya berjanji akan membawa ibunya menghadiri majlis persandingan di rumah Shidee di Bagan Datoh, Perak pada 11 April depan. Katanya, dia yakin dapat membina mahligai bahagia dengan memilih Shidee sebagai suami sah selepas menjalin hubungan percintaan dalam diam itu.

“Saya berdoa mama berubah sikap.

Usah mengikut perasaan marah.

Beri peluang kami bina hidup baru seperti pasangan lain.

Kami juga akan menemuinya secepat mungkin bagi menjernihkan keadaan demi membina kerukunan hidup bahagia,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Suamiisteriterkejut/myMA/myArticle/

Isteri didera kerana cemburu

Oleh MOHD FIRDAUS IBRAHIM
mfirdaus@hmetro.com.my
2010/02/21

KUALA LUMPUR: Malang buat seorang wanita berusia awal 20-an apabila dia dikatakan sering didera secara fizikal dan mental oleh suaminya sejak enam bulan lalu.


Malah, marahnya tidak akan hilang dalam masa singkat. “Sebaliknya, setiap kali berlaku pergaduhan, saya akan dibelasah,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. Menurutnya, lelaki itu juga pernah menjerut lehernya menggunakan selendang, menyebabkannya sukar bernafas. “Dia kemudian mengambil pisau dan menikam tilam beberapa kali selain mengugut melakukan perbuatan itu kepada saya.

Saya bagaimanapun berjaya melarikan diri dari rumah,” katanya. Selepas beberapa hari, mangsa berkata, dia menerima SMS daripada suaminya yang mengugut akan membunuhnya.

Mangsa yang ketakutan kemudian membuat laporan polis sekali lagi di Balai Polis Cheras. Difahamkan, lelaki itu kini menghilangkan diri kerana menyedari diburu pihak berkuasa.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Othman, ketika dihubungi mengatakan pihaknya sedang melakukan siasatan..

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Isterididerakeranacemburu/myMA/myArticle

Saturday, February 20, 2010

Jalanraya Bukan Untuk Upacara Agama

Rentetan daripada isu perarakan Maulidur Rasul yang timbul baru-baru ini, maka saya dengan ini mencadangkan agar semua agama tidak benarkan menggunakan jalanraya untuk sebarang upacara keagamaan sehingga mengganggu pengguna jalanraya yang lain.

Semua agama bererti bukan sahaja orang Islam, tetapi juga Hindu, Buddha, Kristian dan lain-lain. Berikut adalah alasan-alasan kepada cadangan ini;

a) Jalanraya tidak diwujudkan untuk upacara keagamaan. Sebaliknya untuk kemudahan penggunanya yang ingin menuju ke destinasi masing-masing. Juga di Malaysia rakyat membayar cukai jalan untuk tujuan itu, bukan untuk upacara keagamaan.

b) Tiada teks mana-mana agama yang menyatakan disuruh menggunakan jalanraya untuk melakukan upacara agama. Upacara agama yang hanya membabitkan pengikut agama masing-masing sepatutnya dibuat di tempat ibadah agama masing-masing, atau tempat yang dimiliki atau disewa untuk upacara tersebut.

c) Menggunakan jalanraya untuk upacara keagamaan boleh menyebabkan kesesakan, atau ditutup laluan. Ini mengganggu, bahkan merampas hak pengguna lain yang tidak terlibat dengan upacara tersebut.

d) Kesesakan jalanraya yang disengajakan seperti ini boleh menyebabkan pembaziran minyak, waktu, menghalang rawatan orang sakit, menghalang urusan penting orang lain dan berbagai lagi. Islam tidak membenarkan penganutnya berbuat demikian, juga semua agama yang menghormati masyarakat awam tidak mungkin boleh membenarkan hal seperti ini.

e) Gangguan kepada pengguna jalanraya yang lain boleh menimbulkan perasaan tidak senang, atau kebencian terpendam antara penganut agama. Seorang muslim mungkin akan tidak puas hati apabila perjalanannya terhenti disebabkan upacara agama lain yang dibuat atas jalanraya raya. Demikian juga perasaan penganut agama-agama lain.

f) Sesetengah upacara keagamaan telah mengotor atau mencemari kebersihan jalanraya yang mengganggu pemandangan orang awam. Juga menyusahkan pihak majlis perbandaran untuk membersihkan upacara agama yang tidak kongsi oleh semua masyarakat itu.

g) Tenaga pihak Polis, Perbandaran, RELA dan berbagai lagi terpaksa digunakan untuk menjaga upacara keagamaan seperti ini. Sedangkan kita tahu bahawa bukan semua anggota-anggota yang bertugas itu seakidah, atau seagama dengan upacara tersebut. Ia boleh mengganggu perasaan dan rasa kurang senang dari masa ke masa.

Dengan alasan-alasan ini, juga beberapa rasional yang lain, saya berpendapat amat tidak wajar jalanraya dijadikan tempat perarakan keagamaan mana-mana agama. Jika perhatian ini cuba diberikan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya melihat Kerajaan Selangor patut memberikan perhatian yang sama terutama di Kawasan Batu Caves. Ini bukan kenyataan yang berat sebelah, tetapi terpakai untuk semua agama.

Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin.
Bukit Mertajam, S. Perai Pulau Pinang
17 Feb 2010

http://drmaza.com/home/?p=1015

Maulid: Antara Sejarah Dan Amalan

Para sarjana sejarahwan Islam berbeza pendapat tentang tarikh sebenar kelahiran Nabi s.a.w. Hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim hanya menyebut bahawa baginda lahir pada hari Isnin tanpa menyebut haribulannya.

Sesiapa yang membaca karya-karya sejarah Islam yang besar seperti al-Bidayah wa al-Nihayah oleh al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H) akan melihat berbagai pendapat tentang haribulan dan bulan kelahiran baginda s.a.w.

Bagi yang berpendapat baginda lahir pada Bulan Rabi’ul Awwal, mereka berbeza pendapat pula dalam menentukan haribulannya. Ada yang menentukan pada 8 haribulan, ada yang pada 9 haribulan, ada pula pada 12 haribulan seperti yang menjadi anggapan ramai, ada juga pada 17 haribulan dan seumpamanya.

Di samping di sana ada pula sarjana Islam yang menyatakan baginda lahir pada Bulan Ramadan dengan hujah-hujah mereka yang tersendiri.

Apa pun yang penting, sejarahwan Timur atau Barat, Utara atau Selatan tidak pernah berbelah pendapat tentang lahirnya seorang insan bernama Muhammad bin ‘Abdillah yang diikrarkan oleh umat Islam sebagai rasul terakhir yang diutuskan Allah. Hal ini berbeza dengan Jesus yang berada dalam gambaran Barat. Setengah ahli kajian mereka mempertikaikan tentang kelahiran Jesus itu sendiri.

Kelahiran Nabi s.a.w adalah peristiwa yang amat penting kerana ia peristiwa yang memulakan episod baru bagi kehidupan manusia sejagat. Penentuan haribulan atau bulan secara tepat bukanlah faktor utama.

Tidak dapat menentukan tarikh lahir yang pasti, bukan bererti seseorang itu tidak wujud. Entah berapa ramai para nabi, tokoh, individu yang gagal dikesan tarikh kelahiran mereka, tetapi mereka wujud dan telah mewarnai sejarah.

Kegagalan sarjana untuk mengetahui hari dan bulan sebenar kelahiran Nabi s.a.w antaranya berpunca daripada tindakan para sahabah Nabi s.a.w yang tidak merayakan tarikh tersebut.

Walaupun dalam sejarah Islam, merekalah generasi yang paling mencintai Nabi s.a.w namun mereka tidak membuat perayaan khas hari kelahiran baginda disebabkan kerana mereka tidak melihat baginda melakukan hal yang demikian.

Bahkan Ibn Kathir menceritakan bagaimana Saidina ‘Umar apabila dicadangkan permulaan tahun Islam dikira pada tahun kelahiran Nabi s.a.w, beliau menolaknya. Sebaliknya khalifah agung itu memilih tahun hijrah baginda sebagai permulaan kiraan.

Bukan kelahiran tidak penting, tetapi hijrah adalah permulaan kejayaan dan sejarah perjuangan.

Perkara yang paling utama buat seorang rasul ialah baginda diikuti, bukan sekadar dirayakan. Saban tahun orang Kristian Barat merayakan kelahiran Jesus, namun apakah kehidupan mereka sama seperti yang diajar oleh Jesus?

Hari berganti dan bertukar. Dunia Islam beralun dengan berbagai krisis politik yang akhirnya mencetuskan mazhab. Antaranya Mazhab Syiah yang asalnya merupakan mazhab politik, bertukar menjadi mazhab agama dengan segala macam aliran di dalamnya.

Islam sepatutnya mencorakkan politik telah bertukar menjadi‘politik mencorakkan Islam’. Lalu kefahaman agama dibina di atas blok-blok politik, bukan reka fikir politik itu diwarnakan oleh Islam. Maka perebutan kuasa berlaku atas agenda politik yang dimasukkan unsur Islam ke dalamnya. Maka berselerakanlah umat Islam akibat agenda politik berbagai aliran.

Di Mesir, Syiah Fatimiyyah pernah menguasai tampok kuasa. Berbagai agenda agama dilaksanakan dalam kerangka pemikiran mazhab politik yang bertukar menjadi agama. Berbagai perayaan agama dibuat dengan tujuan untuk mencapai matlamat politik yang tersendiri.

Dalam Fatawa al-Azhar diakui bahawa ahli sejarahwan Islam tidak mengetahui sesiapa pun yang memulakan perayaan Maulid Nabi s.a.w melainkan Kerajaan Syi’ah Fatimiyyah di Mesir yang mengadakannya secara besar-besaran.

Mereka turut meraikan hari kelahiran tokoh-tokoh Ahlil Bait dan kelahiran Nabi Isa a.s. Kemudian pada tahun 488H dihentikan oleh Khalifah mereka al-Musta’la billah. Kemudian dihidupkan kembali oleh sesetengah kerajaan dan negeri. Demikianlah sejarahnya.

Ya, saya fikir, perasaan bersyukur mengenangkan sejarah kelahiran Nabi s.a.w dengan semangat untuk mengikuti baginda adalah wajar. Di samping kita perlu sedar fakta-fakta yang disebutkan tadi.

Jika Bulan Rabi’ul Awwal ini dikatakan bulan kelahiran Nabi s.a.w, maka tidak salah untuk kita berceramah menceritakan sejarah perjuangan dan prinsip-prinsip Islam yang dibawa oleh baginda. Sama ada pada bulan ini atau selain. Sama seperti apabila kita melintas suatu tempat bersejarah, kita mengenang sejarah tersebut.

Cuma janganlah kita ini menjadi manusia bermusim yang hanya mengenang rasul dan ajaran baginda pada hari-hari tertentu, tetapi kita seakan sudah tidak mengingati baginda selepas itu.

Di samping itu, hendaklah kita sedar, jika kita mengikuti Nabi s.a.w, maka pastikan kita tidak menokok tambah ajaran baginda apa yang baginda tidak izinkan. Baginda bersabda:

“Sesiapa yang membuat perkara baru dalam urusan kami ini (Islam) apa yang bukan daripadanya maka ia tertolak” (Riwayat Muslim).

Oleh kerana baginda tidak pernah menunjukkan kita ibadah khas sempena kelahiran baginda samada solat khas, atau puasa khas atau bacaan khas, maka kita tidak boleh mengadakannya. Jalan yang patut diikuti dalam masalah ini adalah jalan para sahabah baginda s.a.w. Sabda baginda s.a.w:

“..Sesungguhnya Bani Israil berpecah kepada 72 puak, dan umatku akan berpecah kepada 73 puak. Kesemua mereka dalam neraka kecuali satu puak”. Mereka bertanya: “Apakah puak itu wahai RasululLah?” Jawab baginda: “Apa yang aku dan para sahabahku berada di atasnya”. (Riwayat al-Tirmizi dinilai sahih oleh al-Diya al-Maqdisi).

Perlu diingat, antara keistimewanya sejarah Nabi s.a.w kerana ia dapat dikenal pasti antara yang tulen dan tokok tambah. Ini berbeza dengan sejarah pengasas-pengasas agama dalam dunia ini yang hampir keseluruhan sejarah mereka dibina atas sangkaan atau perkhabaran yang tidak pasti.

Ilmu hadis yang menapis sanad dan matan telah memelihara fakta sejarah nabi kita Muhammad s.a.w. Hanya sejarah yang pasti sahaja yang menjadi ikutan kita, bukan yang direka.

Kata al-Sayyid Sulaiman al-Nadwi:

“Sesungguhnya sirah yang berhak diikuti oleh manusia sebagai contoh yang baik dan teladan yang tinggi disyaratkan terlebih dahulu mestilah bersifat tarikhiyyah (sejarah). Adapun sirah yang tertegak diatas dongengan dan cerita-cerita khurafat yang tidak disokong oleh riwayat-riwayat yang dipercayai kesahihannya, adalah menjadi tabiat insan tidak akan terpengaruh dengan apa yag diceritakan kepadanya tentang sirah peribadi yang direka sedangkan sejarah tidak pernah mengenalinya” (Sulaiman al-Nadwi, al-Risalah al-Muhammadiyyah, m.s. 41, Saudi: al-Dar al-Sa`udiyyah).

Buku Maulid al-Barzanji yang banyak dibaca dalam masyarakat kita ketika majlis kenduri-kendara atau selainnya mempunyai sumbangan yang tersendiri. Banyak sirah yang sahih dicatatkan oleh penulis karya tersebut iaitu Ja’far bin Hasan bin `Abd al-Karim al-Barzanji (meninggal 1187H).

Namun satu hakikat yang diboleh dinafikan dari segi ilmu hadis bahawa terdapat fakta-fakta yang tidak sahih dalam buku al-Barzanji tersebut. Antaranya, beliau menyebut:

“Telah hadirlah pada malam kelahiran baginda (Nabi s.a.w.) Asiah (isteri Fir`aun yang beriman) dan Maryam (ibu Nabi Isa a.s.) dalam kumpulan wanita dari syurga)”.

Tiada satu riwayat yang sahih daripada Nabi s.a.w yang mengakui peristiwa seperti ini. Sehingga seorang pengkaji sejarah Muhammad Muhammad Hasan Syurrab menyebut:

“Wajib kita berhati-hati ketika memetik dari buku-buku sirah terutamanya buku-buku sirah yang terkemudian. Para rawinya (periwayat) banyak menokok tambah cerita dan sirah Rasulullah. Mereka mengaitkan kepada baginda mu’jizat dan perkara-perkara luar biasa sejak kelahiran sehingga kepada kewafatan baginda dengan perkara yang tidak ada sanad yang boleh dipegang. Seakan-akan para rawi ini melihat tujuan penambahan perkara-perkara luar biasa ini untuk memberikan kepada Rasul a.s. mu’jizat-mu’jizat yang tidak ada pada para nabi sebelum baginda (Muhammad Muhammad Hasan Syurrab, Fi Usul Tarikh al-`Arab al-Islami, m.s. 84, Damsyik, Dar al-Qalam).

Kita semua bersyukur dan bergembira dengan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Namun kita wajib pastikan cara kita ikut dan faham mengenai baginda.

Saban tahun banyak pihak yang meraikan maulid, apakah umat Islam bertambah dekat dengan baginda?

http://drmaza.com/home/?p=1017

Mengenang Al-Imam Al-Syafi'i

Isnin Februari 15, 2010

AL-IMAM Muhammad bin Idris al-Syafi’i (150H-204H) merupakan salah seorang tokoh ilmuwan agung yang pernah dilahir oleh sejarah kegemilangan Islam.

Beliau sebaris dengan jaguh-jaguh ilmu seperti al-Imam Abu Hanifah, al-Imam Malik bin Anas, al-Imam Ahmad bin Hanbal, Ibn Abi Laila, Abi Thaur, al-Imam al-Auza’i, al-Imam Sufyan al-Thauri dan ramai lagi tokoh-tokoh agung dalam sejarah perkembangan fekah Islam.

Beliau berketurunan Rasulullah s.a.w. Nasabnya bertemu dengan Nabi s.a.w. pada ‘Abd Manaf. Syafi’ bin al-Saib (nenek ketiganya) pernah berjumpa Nabi s.a.w., namun teragak-agak untuk menerima Islam.

Adapun al-Saib adalah pemegang bendera Bani Hasyim menentang tentera Islam pada hari peperangan Badr.

Beliau lalu ditawan oleh tentera Islam dan telah menebus dirinya sendiri, kemudian menganut Islam.( Ibn Khallikan, Wafayat al-A’yan, 2/312).

Telah disepakati bahawa beliau lahir di Ghazzah, sebuah bandar yang berada di selatan Palestin.

Bapanya meninggal semasa muda. Maka beliau hidup yatim di bawah jagaan ibunya.

Ibunya bimbang gagal mendidiknya, maka ketika beliau berumur dua tahun ibunya memindahkannya ke tempat asal keturunannya iaitu Mekah (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala, 10/6).

Semasa kecilnya beliau begitu gemar memanah, sehingga berjaya mengatasi saingannya.

Kemudian berminat dengan bahasa ‘Arab dan sya‘ir, sehingga menjadi pakar dalam bidang tersebut. Selepas itu beliau mencintai ilmu fekah, sehingga mengepalai manusia pada zamannya. (ibid, 10/6.)

Beliau terkenal dengan keikhlasannya terhadap ilmu. Walaupun amat menyayangi gurunya al-Imam Malik bin Anas dan gurunya juga menyayanginya, namun tidak pernah membuat beliau fanatik atau taksub kepada mazhab atau aliran fekah gurunya itu.

Bahkan sejarah telah mencatatkan beliau telah menyanggahi pendapat-pendapat al-Imam Malik. Apabila al-Syafi’i datang ke Mesir, pada awalnya dia disambut oleh para pengikut Mazhab Malik kerana dia adalah seorang murid utama al-Imam Malik.

Namun lama-kelamaan apabila mereka dapati dia menyanggahi Mazhab Malik mereka meninggal dan membantahnya.

Bahkan ada di kalangan mereka yang mendoakan agar Allah mematikannya demi memelihara Mazhab Maliki (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala` , 10/71-72).

Namun bagi al-Imam al-Syafi’i nilai taksub ini tiada padanya. Kebenaran lebih dicintai walaupun terpaksa menyanggahi gurunya sendiri. Penghormatan bukan bermaksud mengikuti setiap perkataannya.

Kata al-Zahabi: “Tidak syak sesungguh al-Imam al-Syafi’i apabila tinggal di Mesir lalu menyanggahi dan melemahkan beberapa pandangan fekah para ulama semasa dari Mazhab Maliki dengan dalil-dalil al-Sunnah, maka mereka terasa perit kerananya dan mereka menyakitkannya kembali. Berlakulah antara mereka ketegangan. Semoga Allah mengampunkan kesemua mereka..”( Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala` , 10/95).

Kata Muhammad Abu Zahrah: “Sesungguhnya keikhlasan al-Syafi’i dalam menegakkan kebenaran sentiasa bersamanya sepanjang hayatnya. Sehingga dia menegakkan kebenaran di mana sahaja dia berada.

Jika bertembung keikhlasannya itu dengan apa yang menjadi kebiasaan fahaman orang ramai, dia tetap akan menjelaskan pandangan-pandangannya dengan berani.

Jika bertembung keikhlasannya kepada kebenaran dengan keikhlasannya kepada guru-gurunya, dia tetap akan mendahulukan kebenaran.

Keikhlasannya pada gurunya al-Imam Malik tidak pernah menghalang beliau menyanggahinya selepas beliau teragak-agak untuk mengistiharkannya.

Namun setelah sampai berita kepadanya bahawa ada pihak di Andalus yang meminta hujan dengan menggunakan (tawassul dengan) kopiah al-Imam Malik maka dia mengistiharkan bukunya untuk orang ramai.

Tujuannya agar mereka tahu bahawa al-Malik adalah manusia yang terdedah kepada salah dan betul.” (Abu Zahrah, Tarikh al-Mazahib al-Islamiyyah, m.s.455).

Fanatik mazhab telah menyebabkan dalam kalangan penduduk Andalus ada yang apabila berlaku kemarau atau kelewatan hujan, maka mereka akan solat istisqa` (minta hujan) dengan meletakkan kopiah al-Imam Malik di hadapan dan bertawasul dengannya.

Bahkan di kalangan pengikut Malik di Mesir ada yang apabila dibaca hadis Nabi s.a.w., mereka menjawab dengan menyebut “berkata imam dan syaikh kami Malik..” Mereka menolak hadis demi membela pendapat imam mereka (lihat: ‘Abd al-Rahman al-Syarkawi, Aimmah al-Fiqh al-Tis’ah, www.qudsway.com/Links/Islamiyiat).

Al-Imam al-Syafi’i menulis kitab menjawab pandangan-pandangan al-Imam Malik demi memahamkan pengikut mazhab tersebut bahawa imam mereka tidak maksum.

Penampilannya dengan hujah dan ilmu menjadikan beliau tokoh ilmuwan yang tidak diragui kehandalannya. Bahkan beliau tersenarai dalam kalangan mujaddid yang diiktiraf umat.

Namun, seperti biasa setiap tokoh mempunyai penyokong dan musuh. Dalam kalangan musuh dan penyokong itu pula ada yang melampau dan ada yang sederhana. Golongan yang melampau dalam sokongan akan memuji melebihi batasan yang patut.

Demikian juga yang memusuhi apabila melampau akan menuduh dan mencipta tuduh yang bukan-bukan. Antara yang melampau memuji menyatakan di kuburnya ada tapak kaki Rasulullah s.a.w menziarahi al-Imam al-Syafi’i.

Ini juga beberapa kali disiarkan di stesyen televisyen kita. Sedangkan beliau meninggal dunia selepas hampir 200 tahun Rasulullah wafat. Jika beliau membantah kemelampauan tindakan pengikut al-Imam Malik bin Anas, apakah beliau akan redha dengan dakwaan yang seperti ini ?!

Saya agak tertarik dengan ulasan Muhammad Na’im al-Irqususi terhadap riwayat mimpi Abu Ja’far yang menceritakan: “Aku lihat dalam mimpiku Nabi s.a.w. dalam masjid baginda di Madinah.

Seakan aku datang dan memberi salam kepada baginda dan berkata: “Aku tulis pendapat Malik?. Jawab baginda: Tidak!. Aku bertanya: “Aku tulis pendapat Abu Hanifah?” Jawab baginda: Tidak!. Aku bertanya: “Aku tulis pendapat al-Syafi’i?. Baginda mengisyaratkan dengan tangan baginda begini –seakan baginda mengherdikku- “Kau kata pendapat al-Syafi’i?!!

Itu bukannya pendapat, tetapi jawapan kepada sesiapa yang menyanggahi sunnahku”. Al-Irqususi mengulas: “Bila pulak mimpi menjadi hujjah di sisi ahli ilmu?!!. Malik, Abu Hanifah dan selain mereka adalah dari kalangan para imam yang adil lagi dipercayai (thiqah).

Mereka berijtihad. Mereka menepati sebahagian besar apa yang mereka ijtihadkan dan tersilap dalam sesetengah perkara. Setiap orang boleh diterima dan ditolak pendapatnya. Maka apa lagi?!! (Siyar A’lam al-Nubala, 10/43). Namun riwayat mimpi seperti ini selalu dijadikan hujah oleh golongan fanatik.

Dalam kalangan fanatik permusuhan kepada imam yang agung ini ada yang menuduhnya sebagai syiah dan beberapa tuduhan yang lain. Sehingga di zamannya beliau ditanggap dan digari. Al-Zahabi (meninggal 748H) menyebut: “Sebahagian manusia mencercanya, namun itu semua menaikkan ketinggian dan kemuliaannya.

Ternyata bagi yang mereka yang insaf bahawa ulasan mereka yang menyaingi beliau (al-Syafi’i) mengandungi hawa nafsu. Jarang sekali seseorang yang muncul keimamannya (ketokohan ilmunya) dan menjawab sesesiapa yang berbeza pandangan dengannya melainkan dia akan dimusuhi. Kita memohon perlindungan dengan Allah dari hawa nafsu”. (Siyar A’lam al-Nabala, 10/9).

Bahkan ada yang mencipta hadis palsu kerana fanatik kepada Mazhab Abu Hanifah lalu mencerca al-Imam al-Syafi’i. Disebut dalam hadis palsu itu, kononnya Nabi s.a.w bersabda: “Akan ada dalam kalangan umatku seorang lelaki yang dipanggil Muhammad bin Idris (al-Syafi’i), dia memberi mudarat kepada umatku lebih daripada iblis.

Akan ada pula seorang lelaki di kalangan umatku dipanggil Abu Hanifah, dia adalah lampu umatku, dia adalah lampu umatku). Hadis ini direka oleh Makmun bin Ahmad al-Harawi yang hasad dengan perkembangan pengikut al-Imam al-Syafi’i di Khurasan (Al-Sayuti, Tadrib al-Rawi, m.s. 182).

Kata al-Jarahi (meninggal 1162H): “Tiada suatu pun hadis sahih mengenai pujian atau cercaan terhadap Abu Hanifah dan al-Syafi’i. Semua yang disebut mengenai hal berkenaan adalah palsu lagi dusta” (al-Jarahi, Kasyf al-Khafa,, 2/420).

Sementara kisah bohong lain seperti dalam buku al-Rihlah ila al-Rasyid pula memfitnah al-Imam Abu Yusuf dan Muhammad bin Hasan al-Syaibani, dua tokoh dalam Mazhab Abu Hanifah berusaha membunuh al-Imam al-Syafi’i.

Demikianlah timbulnya buruk-memburuk disebabkan fanatic mazhab.Al-Imam al-Syafi’i ialah imam yang mulia seperti para imam tokoh ilmuwan silam yang lain. Mereka tidak maksum, tetapi mereka semua sarjana besar.

Kita tidak perlu fanatik kepada mana-mana dalam kalangan mereka, sebaliknya membaca dan cuba memahami penghujahan mereka secara terbuka dan membaca alasan-alasan mereka secara perbandingan. Tidak pernah mereka mengajar untuk kita berkata “siapa tidak ikut mazhab aku maka dia sesat”.

Bahkan mereka menggalakkan penerokaan ilmu. Kesemua kemelampauan itu datang dari golongan fanatik yang selepas mereka. Bahkan ramai yang mendakwa mazhab Syafi’i atau Hanbali atau Hanafi atau Maliki, tidak pula meneliti sendiri tulisan dan perkataan imam-imam itu, sebaliknya sekadar mengajuk dakwaan orang lain yang mendakwa demikian.

Lalu ada yang menuduh orang lain tidak mazhab Syafi’i hanya kerana menyanggahi pendapatnya, padahal belum tentu pendapatnya itu sama dengan al-Imam al-Syafi’i yang sebenar. Fanatik sentiasa membuta mata ramai orang.

http://mstar.com.my/kolumnis/cerita.asp?file=/2010/2/15/mstar_kolum_minda_mufti/20100215162821&sec=mstar_kolum_minda_mufti

Shidee: Saya Tak Pernah Cintakan Ibu Mertua Saya

Sabtu Februari 20, 2010

Shidee dan Siti Fairunnisa bernikah pada 1 Februari lalu.

PERKAHWINAN penyanyi popular era 80-an Shidee, 51, dan Siti Fairunnisa Aziz, 22, khabarnya tidak direstui oleh ibu mertuanya, Jamaliah Hassan.

Lantaran itu, Jamaliah telah membuat tiga laporan polis sebelum pasangan berbeza usia 29 tahun itu dinikahkan pada 1 Februari lalu di pejabat Agama Islam Hulu Selangor, Kuala Kubu Bharu dengan berwalikan bapa saudara Siti Fairunnisa.

Ayah Siti Fairunnisa sudah meninggal dunia empat tahun lepas.

Jamaliah Hassan membuat laporan yang pertama pada 26 Januari lalu di Balai Polis Salak Selatan dan dua jam selepas itu, dia membuat laporan di Balai Polis Sungai Besi berhubung isu anaknya keluar daripada rumah tanpa keizinannya.

“Pada 26 Januari lalu, anak saya keluar dari rumah dan membawa kunci rumah kedua saya di Bukit Beruntung.

“Pada mulanya saya sangka dia tinggal di sana tetapi empat hari selepas itu baru saya mendapat berita daripada abang ipar saya, Razali Awang, yang anak saya mahu berkahwin dengan Shidee.

“Dia dan Shidee meminta Razali menjadi wali. Pada mulanya Razali enggan tetapi akhirnya terpaksa bersetuju kerana mereka mengugut mahu wali hakim,” kata Jamaliah kepada mStar Online.

Kemudian, pada 30 Januari lalu, Jamaliah membuat laporan yang ketiga di Balai Polis Bukit Sentosa, Bukit Beruntung kerana tidak mahu anak bongsunya berkahwin dengan Shidee. Jamaliah mahu anaknya pulang ke pangkuannya.

Jamaliah mendakwa penyanyi lagu Sayang Semuanya Sudah Terlambat itu seorang penipu, penganggur dan kaki judi.

Sementara itu, Shidee dalam temubual yang berasingan mengesahkan tentang laporan polis yang dibuat oleh ibu mertuanya. Namun begitu dia berkata tiada bukti yang mengesahkan dia membawa lari dan memaksa Fairunnisa berkahwin dengannya.

“Memang polis ada datang ke rumah saya. Tetapi tiada bukti yang mengatakan saya membawa lari anaknya. Nisa sendiri mengakui kepada polis yang dia mencari saya. Mendengar penjelasan itu, polis pun terkejut dan terus pulang.

Menurut Shidee, pada 30 Januari lalu, dia dan isteri telah membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Sentosa kerana mendakwa ibu mertuanya mengugut untuk memukulnya dan isteri.

"Ibu mertua saya mengugut untuk memukul saya dan isteri sekiranya isteri saya tidak pulang ke rumah,” ulas Shidee yang mengenali Jamaliah dan Fairunnisa sejak empat tahun lalu.

Shidee beranggapan insiden laporan polis itu dibuat disebabkan Jamaliah cemburukan hubungannya dengan Fairunnisa.

“Bukan sahaja dia yang mencintai saya tetapi adiknya juga mempunyai perasaan yang sama terhadap saya.

“Demi Allah, saya tidak pernah mencintainya. Tetapi mereka tidak boleh menerimanya apabila saya memilih Fairunnisa,” tambahnya lagi.

Namun dakwaan Shidee ini ditangkis oleh Jamaliah. Lain pula terkeluar dari mulut ibu berusia 45 tahun ini yang menafikan dakwaan penyanyi popular tahun 80an ini.

“Saya tidak cemburu dan langsung tidak kecewa kerana dia mencintai anak saya tetapi saya cuma berharap anak saya mendapat suami yang terbaik.

“Shidee bukan sahaja penipu, kaki judi, dan penganggur tetapi dia juga berhutang RM5,000 dengan saya. Dia sudah banyak menghabiskan harta saya kerana dia tidak bekerja.

“Adik saya juga membenci dia, jadi mana datang cerita kami mencintai dia?,” jelasnya dalam nada marah.

Perasaan benci jelas kedengaran dari nada suara Jamaliah.

Jamaliah menafikan kenyataan Shidee dan anaknya bahawa mereka akan melangsungkan resepsi perkahwinan di rumahnya di Cheras pada bulan Mac.

“Saya nak buat pembetulan di sini. Sebenarnya tidak akan ada apa-apa kenduri sebab saya tidak merestui perkahwinan mereka. Sudahlah anak saya kahwin percuma. Lepas ni saya hanya hendak menjaga diri-sendiri,” luah wanita yang pernah menaja pembikinan lagu-lagu Shidee termasuk lagu 'Jamilah' yang dihasilkan mengambil sempena namanya pada tahun 2008.

Perkenalan Jamaliah dan Shidee terdetik sejak wanita itu menyertai salah sebuah kelab stesen radio kira-kira empat tahun lalu.

Sejak dari perkenalan itu, mereka berkawan dan Shidee diajak tinggal bersama dengannya.

Pada mulanya Jamaliah akui dia pernah menaruh perasaan terhadap Shidee sehingga sanggup melaburkan wang ringgit untuk membiayai kos pembikinan album Shidee yang turut memuatkan lagu Jamilah.

Selepas itu, dia juga mengajak ‘menantunya’ itu membuat bisnes secara online bersama tetapi akhirnya duit itu disalahgunakan oleh lelaki itu.

Namun begitu, Jamaliah masih berharap agar Shidee bekerja untuk menyara anaknya dan mendoakan kebahagiaan mereka berdua pada masa akan datang.

http://www.mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2010/2/20/mstar_hiburan/20100219200458&sec=mstar_hiburan

Piza


PIZA adalah antara sajian yang sentiasa mendapat tempat di hati kanak-kanak dan kebanyakan daripada kita. Ia berasal dari Itali dan sungguh popular sebagai makanan segera. Malah, ia boleh didingin beku dengan mudah untuk disimpan selama beberapa minggu di dalam peti pembeku.

Ada tiga langkah utama dalam menyediakan piza. Pertama, bahagian dasar. Memandangkan doh menggunakan yis, ketelitian perlu bila mengadunnya. Yis adalah bahan yang amat sensitif dengan suhu. Pastikan yis yang digunakan masih baru dan aktif.

Yis yang tidak aktif atau mati tidak mampu mengembangkan adunan. Hasilnya, piza akan menjadi keras dan tidak gebu. Yis menjadi tidak aktif jika ia terkena garam. Jadi, hendaklah dimasukkan garam ke dalam tepung terlebih dulu. Dengan cara ini, ia tidak akan tersentuh secara langsung dengan yis.

Jangan gunakan air panas kerana fungsi yis akan terbantut. Hanya gunakan air suam. Namun begitu, jika anda menguli dengan mesin, lebih sesuai menggunakan air sejuk. Ini kerana kepanasan doh meningkat dengan sendirinya bila diuli dengan mesin dalam jangka masa yang agak lama.

Teknik ulian mesti betul bila membuat doh piza. Lakukan di atas papan pencanai yang ditaburkan dengan tepung. Tolak doh dengan tapak tangan secara terus-menerus. Tarik dan tolak doh sehingga ia menjadi lembut, licin dan halus permukaannya. Jangan lupa gunakan tepung roti atau tepung berprotein tinggi kerana kandungan gluten memudahkan doh kembang.

Pelembut roti akan membuat doh piza lebih lembut.

manakala bread improver mempercepatkan proses mengembangkannya. Doh mesti diletak di tempat hangat supaya mudah kembang. Tempat paling baik adalah di dalam kereta yang diletakkan di bawah matahari terik.

Cara lain ialah menyediakan bekas besar atau periuk pengukus berisi air mendidih. Letak mangkuk berisi doh dengan penutup tuala. Kemudian tutup pengukus itu dan biarkan. Untuk menjimatkan masa, boleh gunakan sos piza di dalam botol. Anda juga boleh menyediakannya sendiri dan menyimpannya untuk digunakan pada waktu lain. Sos ini jugalah asas kepada sos tomato untuk spageti bolognese dan lasagne. Jika tidak cukup masa, campurkan sos tomato dan sos cili. Kemudian sapukan di atas doh piza.

Bahan atas untuk piza boleh diubahsuai mengikut selera masing-masing. Jika menggunakan daging atau ayam cincang, anda hendaklah memasaknya terlebih dulu. Tambahkan cili Benggala atau lain-lain sayuran yang anda gemari. Untuk menjimatkan masa, boleh gunakan sardin atau tuna di dalam tin.

Hirisan sosej atau salami lembu adalah pilihan yang sesuai. Salami adalah daging atau ayam dalam bentuk sosej yang sudah dicampur rempah dan disalai atau diproses hingga masak. Bagi penggemar sayur-sayuran pula, boleh mencelurnya sebelum digunakan.

Selain keju mozarela, anda boleh gunakan parutan keju cheddar. Sebaik-baiknya anda parut terus ke atas piza untuk mengelakkan ia berketul atau bergumpal.

Jika sukar mendapatkan oregano kering dalam botol, boleh gantikan dengan Italian seasoning. Herba seperti ini adalah penting untuk memberikan rasa asli atau autentik piza. Sekiranya anda boleh memperoleh daun basil segar, taburkan di atas piza sebaik saja ia dikeluarkan dari ketuhar.

Untuk menyimpan piza secara dingin beku, bakar sehingga separuh masak. Kemudian biar sejuk. Bungkus dengan plastik nipis sebelum diletak di dalam bekas bertutup. Anda juga boleh membungkus dengan kertas timah. Kemudian barulah disimpan dalam peti pembeku. Biar piza kembali ke suhu bilik semula sebelum dibakar seperti biasa.

Bagi yang tidak mempunyai masa atau kesabaran untuk menguli doh piza sendiri, boleh gunakan roti pitta. Selain menjimatkan masa, anda juga boleh mempelbagaikan bahan atasnya mengikut bajet dan kreativiti sendiri.

Isteri curang tuduh suami nafsu songsang

2010/02/20

KUALA LUMPUR: Berkenalan lapan tahun namun berkahwin hanya dua bulan. Itulah yang berlaku pada seorang ahli perniagaan apabila isterinya curang dan melarikan diri mengikut kekasih baru selain menuduh mangsa gagal memuaskan nafsunya.

Lebih menyedihkan, wanita terbabit sanggup memfitnah lelaki berkenaan menerusi laman sosial kononnya dia mempunyai nafsu songsang semata-mata mahu menutup kesalahannya bersekedudukan bersama kekasih gelapnya.


Pendedahan itu diceritakan mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Fadli, 33, yang berdiam diri dan bersembunyi hampir setahun kerana tertekan dan malu apabila perkahwinannya dengan wanita terbabit yang mendapat jolokan ‘Wedding of The Year’ oleh rakan-rakan, berakhir dengan kegagalan.


“Terasa hina apabila perkahwinan yang dilangsungkan dengan kos mencecah ratusan ribu ringgit semata-mata mengikut kehendak bakal isteri ketika itu, akhirnya musnah apabila dia sendiri memfitnah saya sebagai seorang gay selain dituduh gagal memuaskan nafsunya ketika bersama.


“Walaupun diajak berbincang, isteri saya enggan sehingga tembelangnya pecah apabila mendapati sebenarnya dia mempunyai kekasih dan menjalin hubungan beberapa bulan sebelum kami bernikah,”
katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.


Fadli berkata, maruahnya kini tercemar apabila isterinya sanggup menggunakan laman sosial Internet untuk melemparkan pelbagai dakwaan palsu sehingga dirinya dipersalahkan kerana gagal mendidik isteri.

“Selain mengeluarkan keluhan rasa berbentuk sindiran kononnya tertekan dengan perkahwinan yang baru dibina, tembelangnya pecah apabila menemui mesej 'chatting' bersama kekasihnya mengenai kejahilan saya tidak pandai beraksi bersamanya.


“Lebih parah lagi, perbualan mereka di laman sembang itu berbaur lucah mendedahkan sikap isteri yang tidak pernah berubah dan pernah tidur bersama kekasihnya itu,”
katanya yang menganggap semua itu berpunca daripada kesilapannya memilih gadis 'liar' sebagai isteri.


Menurutnya, perkenalan mereka bermula sebagai seorang rakan perniagaan selama lapan tahun sebelum masing-masing bersetuju menamatkan persahabatan dengan ikatan pernikahan.


“Selain faktor umur mencecah 30-an, dia bersungguh-sungguh mengajak saya berumah tangga dengan alasan saya mengetahui sikapnya yang suka bersosial dan menyatakan hanya saya mampu mengubahnya menjadi wanita baik,” katanya.


“Terpedaya dengan janji itu, saya mengaturkan perkahwinan dengannya yang berasal dari Pantai Timur dan dilangsungkan awal tahun lalu mengikut segala kehendaknya termasuk hantaran mencecah puluhan ribu ringgit,”
katanya.


Kira-kira sebulan melayari kehidupan berumah tangga, Fadli berkata dia berasakan ada sesuatu tidak kena apabila isterinya tiba-tiba enggan tidur bersama.


Menyangka isterinya mungkin mengalami sindrom kehamilan, dia hanya membiarkan perubahan itu sehingga tembelang pecah apabila menemui mesej pada akaun laman sosial Internet milik wanita terbabit.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Istericurangtuduhsuaminafsusongsang/Article

Wanita disah mati hidup semula

2010/02/20

BOGOTA: Seorang wanita berusia 45 tahun yang disahkan mati oleh doktor, mengejutkan pekerja rumah pengurusan mayat apabila dia hidup semula.

Noelia Serna dihantar ke hospital selepas diserang sakit jantung dan bergantung kepada mesin bantuan hayat sebelum doktor mengesahkan dia mati.


Di rumah pengurusan mayat, seorang pekerja mendapati Noelia bergerak dan kemudian bernafas sebelum dia dihantar semula ke hospital.


Wanita itu dipercayai mengalami Sindrom Lazarus, keadaan yang menyebabkan pernafasan dan degupan jantung jatuh ke paras paling rendah sebelum kembali normal. - Agensi


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Wanitadisahmatihidupsemula/Article


Mangsa cinta terpendam

Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my
2010/02/20

AMPANG: Berang kerana cinta dipendamnya selama tiga tahun tidak berbalas, seorang lelaki mengamuk dengan menendang perut wanita pujaan hatinya itu sehingga mangsa pengsan dalam kejadian di tingkat bawah sebuah rumah kedai dua tingkat di sini, Isnin lalu.

Tidak cukup dengan itu, wanita malang berusia 22 tahun itu turut cedera di kepala dan telinga akibat diketuk dengan mangga kunci rumah kedai oleh lelaki gila bayang terbabit.


Difahamkan, insiden berlaku kira-kira jam 7 pagi ketika lelaki berusia lingkungan 20-an terbabit berkunjung ke rumah mangsa sebelum menjerit sekuat hati memanggil nama wanita itu dari luar kerana mahu mendapatkan kepastian mengenai cintanya kepada mangsa.


Sejurus selepas itu, wanita berkenaan keluar dan menemui lelaki terbabit di tingkat bawah rumah kedai itu sebelum memintanya pulang secara baik, namun sebaliknya dia dimarahi lelaki itu yang secara tiba-tiba naik angin.


Menurut sumber polis, tidak cukup dengan memarahi mangsa, lelaki terbabit yang naik berang kerana cintanya tidak dibalas kemudian mengetuk kepala mangsa berkali-kali dengan mangga kunci.


“Akibat ketukan itu, kepala serta telinga mangsa berdarah. Mangsa hanya mampu menangis sambil menahan kesakitan dan meminta dilepaskan namun rayuannya itu tidak dilayan lelaki terbabit,” katanya.

Katanya, lelaki itu yang hilang pertimbangan kemudian menampar muka mangsa dan kemuncaknya dia menendang perut wanita berkenaan sehingga menyebabkannya pengsan.


“Melihat mangsa rebah, lelaki terbabit segera beredar dari situ dengan meninggalkan wanita itu dalam keadaan tidak sedarkan diri.


“Mangsa kemudian dibantu beberapa jiran yang kebetulan ternampak mangsa terbaring di tingkat bawah rumah kedai itu,” katanya.


Difahamkan, mangsa mengenali lelaki terbabit sejak tiga tahun lalu dan dalam diam jejaka itu menaruh hati terhadap wanita berkenaan dan pernah meluahkan kata-kata cinta kepadanya.


Bagaimanapun, mangsa dikatakan tidak pernah melayan luahan cinta itu kerana tidak menyukai sikap lelaki terbabit membuatkan hampir setiap hari dia berkunjung ke rumah wanita berkenaan bagi mengganggunya. Kemuncaknya, pada Isnin lalu, lelaki terbabit dipercayai sudah hampir putus harapan mula naik angin apabila menyedari mangsa enggan melayan dan menerima cintanya menyebabkan dia mengamuk.


Wanita berkenaan membuat laporan polis berhubung kejadian itu sebelum mendapatkan rawatan di hospital.


Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan dan memberitahu, polis masih menjalankan siasatan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Mangsacintaterpendam/Article

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...