Saturday, February 20, 2010

Mangsa cinta terpendam

Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my
2010/02/20

AMPANG: Berang kerana cinta dipendamnya selama tiga tahun tidak berbalas, seorang lelaki mengamuk dengan menendang perut wanita pujaan hatinya itu sehingga mangsa pengsan dalam kejadian di tingkat bawah sebuah rumah kedai dua tingkat di sini, Isnin lalu.

Tidak cukup dengan itu, wanita malang berusia 22 tahun itu turut cedera di kepala dan telinga akibat diketuk dengan mangga kunci rumah kedai oleh lelaki gila bayang terbabit.


Difahamkan, insiden berlaku kira-kira jam 7 pagi ketika lelaki berusia lingkungan 20-an terbabit berkunjung ke rumah mangsa sebelum menjerit sekuat hati memanggil nama wanita itu dari luar kerana mahu mendapatkan kepastian mengenai cintanya kepada mangsa.


Sejurus selepas itu, wanita berkenaan keluar dan menemui lelaki terbabit di tingkat bawah rumah kedai itu sebelum memintanya pulang secara baik, namun sebaliknya dia dimarahi lelaki itu yang secara tiba-tiba naik angin.


Menurut sumber polis, tidak cukup dengan memarahi mangsa, lelaki terbabit yang naik berang kerana cintanya tidak dibalas kemudian mengetuk kepala mangsa berkali-kali dengan mangga kunci.


“Akibat ketukan itu, kepala serta telinga mangsa berdarah. Mangsa hanya mampu menangis sambil menahan kesakitan dan meminta dilepaskan namun rayuannya itu tidak dilayan lelaki terbabit,” katanya.

Katanya, lelaki itu yang hilang pertimbangan kemudian menampar muka mangsa dan kemuncaknya dia menendang perut wanita berkenaan sehingga menyebabkannya pengsan.


“Melihat mangsa rebah, lelaki terbabit segera beredar dari situ dengan meninggalkan wanita itu dalam keadaan tidak sedarkan diri.


“Mangsa kemudian dibantu beberapa jiran yang kebetulan ternampak mangsa terbaring di tingkat bawah rumah kedai itu,” katanya.


Difahamkan, mangsa mengenali lelaki terbabit sejak tiga tahun lalu dan dalam diam jejaka itu menaruh hati terhadap wanita berkenaan dan pernah meluahkan kata-kata cinta kepadanya.


Bagaimanapun, mangsa dikatakan tidak pernah melayan luahan cinta itu kerana tidak menyukai sikap lelaki terbabit membuatkan hampir setiap hari dia berkunjung ke rumah wanita berkenaan bagi mengganggunya. Kemuncaknya, pada Isnin lalu, lelaki terbabit dipercayai sudah hampir putus harapan mula naik angin apabila menyedari mangsa enggan melayan dan menerima cintanya menyebabkan dia mengamuk.


Wanita berkenaan membuat laporan polis berhubung kejadian itu sebelum mendapatkan rawatan di hospital.


Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan dan memberitahu, polis masih menjalankan siasatan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Mangsacintaterpendam/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...