PIZA adalah antara sajian yang sentiasa mendapat tempat di hati kanak-kanak dan kebanyakan daripada kita. Ia berasal dari Itali dan sungguh popular sebagai makanan segera. Malah, ia boleh didingin beku dengan mudah untuk disimpan selama beberapa minggu di dalam peti pembeku.
Ada tiga langkah utama dalam menyediakan piza. Pertama, bahagian dasar. Memandangkan doh menggunakan yis, ketelitian perlu bila mengadunnya. Yis adalah bahan yang amat sensitif dengan suhu. Pastikan yis yang digunakan masih baru dan aktif.
Yis yang tidak aktif atau mati tidak mampu mengembangkan adunan. Hasilnya, piza akan menjadi keras dan tidak gebu. Yis menjadi tidak aktif jika ia terkena garam. Jadi, hendaklah dimasukkan garam ke dalam tepung terlebih dulu. Dengan cara ini, ia tidak akan tersentuh secara langsung dengan yis.
Jangan gunakan air panas kerana fungsi yis akan terbantut. Hanya gunakan air suam. Namun begitu, jika anda menguli dengan mesin, lebih sesuai menggunakan air sejuk. Ini kerana kepanasan doh meningkat dengan sendirinya bila diuli dengan mesin dalam jangka masa yang agak lama.
Teknik ulian mesti betul bila membuat doh piza. Lakukan di atas papan pencanai yang ditaburkan dengan tepung. Tolak doh dengan tapak tangan secara terus-menerus. Tarik dan tolak doh sehingga ia menjadi lembut, licin dan halus permukaannya. Jangan lupa gunakan tepung roti atau tepung berprotein tinggi kerana kandungan gluten memudahkan doh kembang.
Pelembut roti akan membuat doh piza lebih lembut.
manakala bread improver mempercepatkan proses mengembangkannya. Doh mesti diletak di tempat hangat supaya mudah kembang. Tempat paling baik adalah di dalam kereta yang diletakkan di bawah matahari terik.
Cara lain ialah menyediakan bekas besar atau periuk pengukus berisi air mendidih. Letak mangkuk berisi doh dengan penutup tuala. Kemudian tutup pengukus itu dan biarkan. Untuk menjimatkan masa, boleh gunakan sos piza di dalam botol. Anda juga boleh menyediakannya sendiri dan menyimpannya untuk digunakan pada waktu lain. Sos ini jugalah asas kepada sos tomato untuk spageti bolognese dan lasagne. Jika tidak cukup masa, campurkan sos tomato dan sos cili. Kemudian sapukan di atas doh piza.
Bahan atas untuk piza boleh diubahsuai mengikut selera masing-masing. Jika menggunakan daging atau ayam cincang, anda hendaklah memasaknya terlebih dulu. Tambahkan cili Benggala atau lain-lain sayuran yang anda gemari. Untuk menjimatkan masa, boleh gunakan sardin atau tuna di dalam tin.
Hirisan sosej atau salami lembu adalah pilihan yang sesuai. Salami adalah daging atau ayam dalam bentuk sosej yang sudah dicampur rempah dan disalai atau diproses hingga masak. Bagi penggemar sayur-sayuran pula, boleh mencelurnya sebelum digunakan.
Selain keju mozarela, anda boleh gunakan parutan keju cheddar. Sebaik-baiknya anda parut terus ke atas piza untuk mengelakkan ia berketul atau bergumpal.
Jika sukar mendapatkan oregano kering dalam botol, boleh gantikan dengan Italian seasoning. Herba seperti ini adalah penting untuk memberikan rasa asli atau autentik piza. Sekiranya anda boleh memperoleh daun basil segar, taburkan di atas piza sebaik saja ia dikeluarkan dari ketuhar.
Untuk menyimpan piza secara dingin beku, bakar sehingga separuh masak. Kemudian biar sejuk. Bungkus dengan plastik nipis sebelum diletak di dalam bekas bertutup. Anda juga boleh membungkus dengan kertas timah. Kemudian barulah disimpan dalam peti pembeku. Biar piza kembali ke suhu bilik semula sebelum dibakar seperti biasa.
Bagi yang tidak mempunyai masa atau kesabaran untuk menguli doh piza sendiri, boleh gunakan roti pitta. Selain menjimatkan masa, anda juga boleh mempelbagaikan bahan atasnya mengikut bajet dan kreativiti sendiri.
No comments:
Post a Comment