Friday, March 5, 2010

Jual organ budak

Oleh Rashidi Karim
am@hmetro.com.my
2010/03/03

PADANG BESAR: Kementerian Dalam Negeri (KDN), mendedahkan wujud kegiatan menjual organ membabitkan rakyat Malaysia ke luar negara dengan kebanyakan mangsa terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.

Berikutan itu, KDN mengawasi kegiatan penjualan dan penyeludupan organ manusia dengan meletakkan kesalahan terbabit mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007.


Timbalan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Abdul Rahim Mohd Radzi, berkata menerusi akta terbabit, dalang terbabit dalam kegiatan penyeludupan organ boleh dikenakan hukuman lebih berat.


Bagaimanapun, beliau enggan mengulas mengenai tahap kegiatan itu menyatakan kegiatan terbabit memang berlaku di negara ini dengan mangsa dipaksa melakukan pemindahan organ dalaman.


“Kami sukar mengesan perbuatan penyeludupan organ ini. Ada mereka dibawa masuk sebagai pelancong dengan dokumen perjalanan sah, secara tiba-tiba dipaksa menjalani pembedahan pemindahan organ kumpulan sindiket.


“Bagaimanapun, KDN tidak memandang ringan kes terbabit dan tetap mengawasinya dengan meletakkan kesalahan terbabit mengikut akta baru kerana hukumannya lebih berat.

“Mangsa mungkin tidak sedar sewaktu pemindahan organ selepas diperdayakan kumpulan sindiket,” katanya pada sidang media selepas Pelancaran Kempen Antipemerdagangan Orang peringkat Kebangsaan di Taman Kastam 3, di sini, semalam.


Majlis anjuran bersama kerajaan Perlis, Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dan Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.


Hadir sama Timbalan Yang Dipertua NCWO, Faridah Khalid.


Abdul Rahim berkata, dalam tempoh dua tahun iaitu hingga 7 Februari lalu, seramai 186 orang didakwa mengikut akta terbabit yang mula dikuatkuasakan pada 2008 lalu.


Katanya, dalam tempoh terbabit, pihak berkuasa menyelamat 231 manusia daripada menjadi mangsa rangkaian sindiket pemerdagangan orang yang sebahagian besarnya membabitkan wanita, seramai 156 orang manakala 17 kanak-kanak.


“Sebahagian besar daripada 156 wanita selamatkan itu dipaksa menjadi pelacur dan mereka ditahan dalam operasi pihak berkuasa,” katanya.


Sementara itu, Md Isa pula menafikan sempadan darat Perlis-Thailand, terutama di Padang Besar menjadi laluan utama penyeludupan manusia ke negara ini.


“Tuduhan terbabit tidak berasas kerana pihak berkuasa di sempadan Padang Besar serta di Wang Kelian sentiasa meningkatkan kawalan bagi membendung kegiatan penyeludupan manusia,” katanya.


Beliau turut memuji langkah NCWO menganjurkan kempen anti pemerdagangan orang kepada orang ramai, termasuk pemimpin masyarakat bagi menyedarkan mereka supaya tidak terperangkap dengan kegiatan penyeludupan manusia.


“Kami harus menghargai usaha keras NCWO yang bertungkus lumus menganjurkan program ini untuk memberi kesedaran kepada rakyat pentingnya pemahaman mengenai isu pemerdagangan orang ini. Beliau difahamkan dua wanita di Perlis sudah menjadi mangsa selepas diperalatkan untuk menyeludup dadah sehingga terpaksa merengkok dalam penjara di Australia dan Pakistan baru-baru ini.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Jualorganbudak/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...