anbia@hmtro.com.my
2010/03/03
KUALA LUMPUR: Soalan kuiz dikemukakan seorang kanak-kanak perempuan berhubung nama penuh ibunya berjaya menyelamatkannya daripada menjadi mangsa culik yang didalangi seorang wanita misteri.
HAMPIR DICULIK...Pang bersama ibunya, Moh menceritakan saat cemas ketika cuba diculik kepada Chong, semalam.
Bagaimanapun, kegagalan wanita itu menjawab soalan kanak-kanak berusia sembilan tahun itu menyebabkan niat jahatnya terbongkar sebelum mangsa sempat melarikan diri.
Ibu mangsa, Moh Swee Koon, 53, berkata kejadian berlaku apabila anak perempuannya, Pang Soo Sin, 9, sedang menunggu bas sekolah untuk pulang ke rumah, kira-kira jam 4.30 petang Isnin lalu.
Menurutnya, anak perempuannya itu yang pintar dalam akademik menunggu bas dalam kawasan sekolah sebelum tiba-tiba dihampiri seorang wanita tidak dikenali.
“Wanita berusia 30-an berkenaan menyapa anak saya sebelum memberitahu kononnya diarah oleh saya untuk mengambilnya pulang dari sekolah.
“Wanita tidak dikenali itu yang memakai baju-T coklat dan seluar jeans biru memberitahu ingin membawa pulang anak perempuan saya ke rumah seperti diamanahkan saya,” katanya.
Menurutnya, dia bernasib baik kerana anaknya itu tidak terus mengikut arahan wanita terbabit sebaliknya mula berasa curiga terhadap identiti wanita yang tidak pernah ditemuinya sebelum ini.
“Justeru, anak saya cuba bertanya nama penuh saya kepadanya. Soalan itu menyebabkan penjenayah wanita terbabit tergamam dan tidak dapat memberikan jawapan,” katanya.
Menurutnya, anak saya kemudian cuba memperdaya suspek wanita terbabit dengan memberi alasan kononnya mahu menghubungi saya menggunakan telefon awam dalam kawasan sekolah.
“Pada masa sama, Pang sempat meminta suspek 50 sen dengan alasan mahu menghubungi saya. Difahamkan suspek memberikan anak saya 50 sen sebelum dia terus berdiri menunggu di luar sekolah terbabit.
“Namun, anak saya sebaliknya mengambil kesempatan itu melarikan diri sebelum naik ke dalam bas sekolah yang tiba tidak berapa lama kemudian.
“Cubaan culik itu diceritakan kepada saya ketika dia pulang dari kelas tambahan pada malam kejadian. Berikutan itu saya membuat laporan cubaan culik itu kepada guru besar sekolah terbabit,” katanya.
Dia yang bekerja sebagai penjaga di pusat penjagaan orang tua turut membuat laporan di Balai Polis H S Lee, Dang Wangi di sini, sejurus selepas bertemu pihak sekolah.
Sementara itu, Ketua Biro Aduan MCA, Datuk Micheal Chong berkata, pihaknya bimbang dengan kejadian cubaan culik murid sekolah rendah terbabit berikutan ia berlaku dalam kawasan sekolah yang diberi kawalan keselamatan.
Menurutnya, insiden itu harus diberi perhatian serius oleh pihak pengurusan sekolah berikutan ia dibimbangi boleh mengulangi beberapa siri kes culik pelajar oleh individu tidak dikenali di kawasan sekolah.
“Berdasarkan maklumat dari beberapa ibu bapa murid, ada yang mendakwa pernah melihat seorang wanita misteri yang kerap merayau dengan menaiki Proton Wira.
“Kejadian seumpama ini seharusnya dijadikan pengajaran supaya pihak sekolah dan ibu bapa sentiasa berwaspada terhadap keselamatan anak-anak sama ada di tempat awam, sekolah atau rumah,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Soalanbudakperangkapwanita/Article/index_html
No comments:
Post a Comment