hadzlihady@hmetro.com.my
2010/04/02
KUALA LUMPUR: Kerana terlalu percaya kepada pembantu rumahnya, seorang ahli perniagaan berputih mata apabila wanita terbabit melarikan pelbagai barang berharga termasuk harta pusaka yang semuanya bernilai hampir RM200,000.
DICARI... Sayani dicari majikan selepas didakwa melarikan pelbagai barang kemas bernilai RM200,000.
Namun, dalam kejadian awal bulan lalu di Seksyen 11, Shah Alam, dia melarikan diri bersama seorang lelaki yang juga rakan senegara bersama pelbagai barang kemas milik majikannya itu.
Ahli perniagaan terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Ali dari Kashmir, India berkata ketika kejadian, isterinya keluar ke pasar raya untuk membeli barang keperluan ditemani seorang lagi pembantu rumah, kira-kira jam 9.30 pagi pada hari kejadian.
“Namun, sejurus pulang, isteri saya mendapati wanita terbabit tiada di rumah dan dia cuba mencarinya di sekitar kawasan rumah, namun gagal.
“Selepas membuat pemeriksaan, isteri saya terkejut apabila mendapati beberapa barang kemas miliknya hilang dipercayai dilarikan pembantu rumah terbabit,” katanya.
Menurutnya, sebelum ini dia memang mempercayai pembantu rumahnya itu yang bekerja dengannya hampir enam bulan lalu.
“Namun, saya tidak sangka dia akan melarikan diri dan mengambil semua barang berharga dan ada antaranya harta pusaka yang bagi saya tidak ternilai harganya,” katanya.
Menurutnya, pembantu rumah terbabit yang dikenali sebagai Sayani itu sudah berkahwin dan juga mempunyai dua anak, namun semua mereka berada di Indonesia.
“Saya benar-benar berharap dia dapat pulangkan semula barang kemas berkenaan kerana itu harta pusaka yang memang tidak ternilai buat kami sekeluarga.
“Jika dia pulangkan kembali semua barang itu, saya akan maafkan wanita berkenaan dan tidak akan mengenakan tindakan kepadanya,” katanya.
Beliau yang sudah 16 tahun menetap di negara ini juga tidak menolak kemungkinan pembantu rumahnya itu sudah melarikan diri dengan seorang lelaki berikutan mereka berkawan rapat.
“Saya cuba menghubungi mereka, namun gagal,” katanya.
Mangsa membuat laporan di Balai Polis Seksyen 11, Shah Alam dan sesiapa yang mengenali atau mempunyai maklumat berkaitan wanita itu diminta menghubungi Ali di talian 03-29383588.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/AmahkebasRM200_000/Article
No comments:
Post a Comment