Sunday, April 18, 2010

Bicara lelaki Ash




ADA hati yang dibawa pergi jauh daripada kebiasaan. Ada jiwa lara yang merintih kesepian lalu mencari angin luar untuk diredakan. Begitu langkah Ash atau nama sebenarnya, Tengku Shafiz-Rullah As Syafiee Tengku Mohd. Shahidd, 27, yang membawa luka jiwa dan hatinya jauh ke Belanda untuk beberapa hari. Sempat juga dia menerima panggilan jauh bagi menjawab teka-teki berhubung status perkahwinannya.

Pelakon dan pengacara Khaidirah Abu Zahar atau mesra disapa Dira, 26, terdahulu membuat pengesahan bahawa dia diceraikan dengan talak satu oleh Ash dan kes itu telah diputuskan di sebuah mahkamah Syariah di Kajang pada 8 April lalu.

Dalam getar suaranya, Ash mengaku masih sayang dan merindui Dira serta anak mereka, Tengku Anggun Deandra, 2. Katanya, jauh-jauh di negara orang, dia terasa benar-benar sepi.

Bicara hati lelaki Ash berbaur duka dan luka serta meratap khilaf dirinya.

"Ini pemberian daripada Allah untuk saya (agar) menjadi lelaki yang lebih baik," ujarnya, mengaku melihat Dira semakin cantik sejak berjauhan daripada dirinya.

Perkahwinan mereka dibina atas dasar cinta pada 5 Januari 2007 di Melaka sebelum diraikan pada majlis resepsi di Dewan Felda, Kuala Lumpur pada 14 Januari 2007. Tiga tahun melayari musim-musim bunga bersama namun berakhir dengan kemarau perceraian. Ash yang merupakan pemuzik dan anggota kumpulan Bau mencungkil rasa sedih yang terbuku dalam jiwa.

Atas pertimbangan apa perceraian tersebut harus berlaku?

Biarlah ia menjadi rahsia kami. Saya takut jika punca penceraian kami diluahkan akan menyebabkan timbul pelbagai persepsi negatif terhadap kami.

Adakah kesibukan kalian atau peluang dalam kerjaya yang semakin banyak menyumbang kepada perceraian?

Sebenarnya, masalah sudah lama wujud. Kami cuba perbaiki namun tidak boleh. Saya sudah cuba, bukan tidak mencuba. Apa yang boleh saya katakan, jodoh sudah tiada. Sampai sekarang saya masih tertanya-tanya dalam hati tentang perceraian ini tetapi rasanya, saya perlu relaks.

Bunyinya seperti Dira merajuk?

Mungkin juga. Mungkin dia merasakan semua sudah terlambat untuk dibaiki. Mungkin juga, dia berfikir segala masalah kami sudah tidak boleh diperbetulkan. Tapi pada saya, kalau ada jodoh tidak akan ke mana.




Masih ada sisa cinta seperti dulu?

Saya masih cinta dan sayangkan dia. Tapi saya tidak tahu perasaan Dira sendiri bagaimana.

Mungkin perpisahan ini lebih mematangkan anda?

Tentulah saya menjadi semakin matang, terutamanya untuk melalui fasa yang paling teruk iaitu perceraian. Selama tiga tahun kami hidup bersama dalam susah dan senang. Bila dia tidak di sisi, saya sangat terasa. Anak tiada di sisi, isteri juga tiada. Sekurang-kurangnya dia masih ada anak menjadi peneman hidup.

Apa kesilapan anda yang mungkin boleh dikongsi?

Susah nak cakap. Mungkin kerana kami berkahwin pada usia yang mentah. Dalam masa yang sama, saya sepatutnya menjadi lelaki yang lebih peka terhadap kasih sayang dan kewajipan seorang suami termasuklah dari segi agama, solat perlu dijaga dan saya sebagai ketua keluarga perlu memberikan banyak tekanan terhadap perkara itu.

Saya akui ada kelemahan yang terlampau ketara dan tidak suka mengongkong. Lama kelamaan mungkin dia rasa saya tidak mempedulikan dirinya. Saya juga tidak pandai memujuk. Rasanya perkara-perkara seperti itu adalah kelemahan saya.

Ada peluang untuk kembali bersama?

Saya mahu perbaiki diri saya. Saya ingin mencuba untuk kembali tetapi Dira perlukan masa. Mungkin perpisahan ini sudah ditentukan agar kami sama-sama dapat melihat ke dalam diri masing-masing dan memperbaikinya. Masa yang akan menentukan semuanya dan jodoh di tangan Tuhan.

Rindu Dira?

Saya sangat-sangat rindukan dirinya. Saya juga rindukan anak saya, Anggun.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0418&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_02.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...