Sunday, April 18, 2010

Lelaki anggap wanita 'lauk'


IBU empat orang anak, Nor Shamila A. Majid yang menjadi mangsa tetak suaminya Februari lalu.


REALITINYA, setiap hari sepuluh wanita menjadi mangsa dera di negara ini. Namun, itu hanya melibatkan kes yang dilaporkan kepada pihak polis.

Jumlahnya mungkin lebih tinggi, demikian menurut pendedahan pegawai polis Jabatan Siasatan Jenayah Bahagian D11 Bukit Aman, Superintendan Ong Chin Lan dalam satu seminar tidak lama dahulu.

Ujarnya, kejadian keganasan terhadap wanita boleh berlaku di banyak tempat termasuk rumah, tempat kerja, kawasan awam, jalan raya dan di dalam kenderaan.

"Laporan polis menunjukkan, keganasan terhadap wanita kebanyakannya dilakukan oleh individu yang paling hampir dengan wanita berkenaan seperti suami, ahli keluarga lain atau kekasih," katanya.

Bicaranya lagi, jenayah itu berlaku disebabkan mentaliti segelintir lelaki yang menganggap wanita serta kanak-kanak perempuan adalah insan lemah yang boleh disakiti.

"Gejala ini berlaku dalam semua budaya, bangsa, agama serta status atau kedudukan ekonomi.

"Sesuatu tindak-tanduk itu dianggap sebagai keganasan apabila ia menyebabkan kesakitan fizikal, kesakitan akibat senjata, kesedihan, tekanan minda, jenayah ugut, pengkhianatan hingga merendahkan keyakinan, rogol, liwat dan pembunuhan," katanya.


ISTERI kepada 'hartawan' Lebanon, Dr. Elie Yousef Najem, Farinnie Mohd. Farid mendakwa menjadi mangsa dera dan liwat suaminya.


Sementara itu, Ketua Wanita Pusat, Jemaah Islah Malaysia (JIM), Dr. Harlina Halizah Siraj pula berpendapat, sejak Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 diwujudkan serta dilaksanakan pada 1996 nasib wanita yang didera suami tidak banyak berubah.

"Pada tahun 2005 sahaja terdapat 18,079 kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan. Jika dibahagikan, terdapat 50 kes dilaporkan setiap hari sepanjang tahun itu.

"Saya yakin angka ini meningkat setiap tahun. Saya telah berjuang berhubung keganasan terhadap wanita ini lebih 10 tahun tetapi tidak banyak yang berubah," katanya.

Kata Harlina, semua pihak harus kembali kepada hukum Islam untuk menyelesaikan segala permasalahan manusia kerana agama ini lengkap dari segala aspek kehidupan dunia malah di akhirat jua.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0418&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...