Bermula dengan bintil halus atau tompok kecil bertekstur kasar di permukaan kulit, ketuat membawa kepada rasa jijik dan kegatalan jika sistem ketahanan tubuh tidak berupaya mengekang pertumbuhannya.
MUNGKIN kewujudannya tidak disedari. Kalau kelihatan pun, mungkin juga ia segera dilupakan kerana disangka tidak memberi apa-apa kesan berpanjangan.
Namun begitu, bagi kes-kes tertentu, kehidupan seseorang boleh berubah kerananya.
Perkara yang dimaksudkan itu adalah kutil dan ketuat. Variasi dengan ketumbuhan kecil yang bertekstur kasar sama ada di tangan atau di kaki, ia boleh merebak menjadi bintil-bintil bercecair seperti melepuh.
Lebih mendatangkan rasa khuatir adalah apabila kutil dan ketuat ini ditemui di bahagian lain pada tubuh seperti di dada, ketiak, kemaluan, leher dan juga tengkuk.
Kutil yang tumbuh pada kulit lelaki tua mungkin suatu yang dianggap biasa. Namun, kutil yang sama jika tumbuh di muka seorang wanita berusia dalam lingkungan 40-an, ia suatu cabaran kosmetik yang ‘menggemparkan’!
Ini berbalik kepada soal persepsi, maklumat, aspek kesihatan dan usaha untuk menghilangkannya.
“Kutil dan ketuat terjadi disebabkan virus papiloma manusia (HPV).
“Ada juga yang bukan disebabkan virus iaitu kutil seborrhoeic yang biasa terjadi pada kulit wajah,” kata Perunding Dermatologi, Pusat Perubatan Pantai Cheras, Kuala Lumpur, Dr. Ruban Nathan.
Walaupun terdapat lebih daripada 100 strain HPV, terdapat beberapa jenis yang lazim terjadi kepada seseorang seperti kutil biasa (verruca vulgaris), ketuat leper (verruca plana) atau ketuat filiform seperti yang terjadi pada muka terutamanya di kelopak mata dan bibir.
“Bergantung kepada sistem ketahanan tubuh dan juga prosedur klinikal untuk menghilangkannya, jangka hayat ketuat pada permukaan kulit berbeza.
“Ada yang akan hilang dengan sendirinya dalam tempoh beberapa minggu manakala ada yang kekal selama bertahun-tahun ataupun hilang dan muncul kembali,” terang Ruban.
Kutil dan ketuat mungkin bukan suatu masalah jika jumlah bintilnya wujud secara tunggal, sedikit dan tidak terasa sakit atau gatal.
Jika bernasib baik atau dalam erti kata lain sistem imunisasi tubuh dapat merencat pertumbuhannya, ia akan lenyap tanpa disedari.
Namun, ia bukan lagi satu perkara main-main jika kutil atau ketuat itu mengalami perubahan secara fizikal hingga membuatkan kulit kemerah-merahan, membengkak ataupun bintil-bintil kasar itu semakin merebak dan menyebabkan rasa gatal.
Bahagian sulit
Menurut Ruban, kegelisahan pasti akan bertambah bagi seseorang yang mempunyai ketuat di bahagian alat kelamin mereka. Ketuat jenis ini dinamakan condyloma, condylomata acuminata ataupun venereal.
“Ketuat alat kelamin, misalnya yang tumbuh pada kepala dan pangkal zakar, merupakan salah satu daripada penyakit yang merebak melalui hubungan kelamin (STD). Ia boleh mengganggu perhubungan intim antara pasangan suami isteri.
“Pada masa yang sama, risiko jangkitan boleh meningkat di kalangan mereka yang aktif melakukan hubungan seks berbilang pasangan,” jelasnya.
Ketuat kelamin tersebar melalui sentuhan langsung daripada kulit ke kulit ketika melakukan hubungan seks melalui faraj, dubur atau secara oral dengan seseorang yang telah pun dijangkiti penyakit tersebut.
“Mereka perlu sedar bahawa penggunaan kondom juga tidak dapat 100 peratus melindungi pasangan seks daripada kemungkinan mendapat jangkitan ketuat ini,” katanya.
Bagi wanita pula, ketuat dan kutil yang disebabkan HPV mempunyai kaitan secara tidak langsung dengan kemungkinan menghidap barah serviks.
Lebih teruk jika ketuat ini menjadi punca komplikasi barah di bahagian anus, faraj dan vulva (bahagian di sekeliling bukaan faraj).
Walaupun begitu, sekarang terdapat vaksin yang mengekang HPV daripada menjadi penyebab barah serviks dan ketuat kelamin.
Di negara-negara tertentu, suntikan rutin vaksin Gardasil diberi kepada anak perempuan dalam lingkungan usia 11 dan 12 tahun sebagai usaha mengelakkan komplikasi yang berkaitan dengan kanser serviks.
Wanita yang dalam lingkungan usia sehingga 26 tahun juga digalakkan mengambil Gardasil ini jika tidak pernah divaksin sebelumnya.
Rawatan terbaik
Terdapat banyak jenis rawatan dan prosedur yang berkaitan dengan pembuangan kutil dan ketuat yang disebabkan virus.
Antara yang paling popular dan sudah diterima ramai adalah penggunaan produk topikal yang lazimnya bersifat ‘membakar’ seperti podophyllin, asid salycilic dan fluorouracil.
“Pembedahan kecil memanfaatkan teknologi sejuk beku juga boleh dipilih. Kryosurgeri dan penggunaan nitrogen cecair boleh membantu mematikan sel ketuat dengan pencapaian suhu dingin melampau,” jelas Ruban.
Selain daripada kaedah tersebut, rawatan laser disifatkan sebagai pilihan yang paling efektif.
Pembuangan sel ketuat boleh dilakukan dengan pantas dan mudah kerana laser yang dijana dengan karbon dioksida (CO2) itu mampu bertindak secara khusus dan tepat ke atas ketuat.
“Bagi ketuat seborrheic yang sering tumbuh pada muka, rawatan laser ini mampu memberikan hasil terbaik,” kata Ruban yang memberi contoh ketuat pada kulit muka aktor veteran handalan Hollywood, Morgan Freeman.
Apabila bercakap tentang ubat pelenyap kutil dan ketuat yang ditawarkan di kaunter farmasi, Ruban menjelaskan bahawa seseorang mungkin akan tersilap cara penggunaannya.
Suatu yang berbahaya juga jika larutan asid yang didakwa dapat ‘membakar’ dan mengecutkan ketuat itu disalah kendali, misalnya disapukan di permukaan kulit yang sensitif dan peka rasa sakit seperti di kemaluan dan kelopak mata.
“Semua orang malu untuk menunjukkan ketuat mereka, apatah lagi jika ia tumbuh di sekitar bahagian sulit. Sebab itu mereka cuba merawat diri mereka sendiri.
“Bagaimanakah mereka benar-benar yakin bahawa itu adalah ketuat dan penyelesaiannya adalah dengan menggunakan ubat dari kaunter itu?
“Masalah ketuat mereka perlu mendapat perhatian doktor pakar kulit, dan bukannya mengambil keputusan sendiri di farmasi,” pesan Ruban.
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0117&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_01.htm
No comments:
Post a Comment