am@hmetro.com.my
2010/04/09
KUANTAN: “Saya terjaga dari tidur lepas terdengar bunyi bising di dapur dan terkejut apabila melihat keadaan emak yang parah akibat abah simbah cuka getah ketika mereka bertengkar.
“Saya cuba tolong emak yang mengerang kesakitan, tapi abah halang dengan melibas parang,” kata anak ketiga seorang tukang cuci yang parah disimbah asid oleh suaminya, dipercayai akibat menolak permintaannya untuk mengadakan hubungan kelamin di rumah mereka, kelmarin. Dalam kejadian jam 1 pagi di Felda Bukit Sagu Dua di sini, mangsa yang berusia 40 tahun terpaksa dirawat di Wad Terbakar, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, akibat cedera parah.
Lebih menyedihkan, mangsa yang bekerja di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Bandar Indera Mahkota di sini, bukan saja terpaksa menanggung azab paling perit dalam hidupnya, malah berhadapan dengan risiko cacat seumur hidup.
Menurut anak ketiga daripada enam beradik yang berusia 17 tahun itu, ketika kejadian dia bersama tiga lagi adiknya sedang tidur di ruang tamu apabila tiba-tiba terdengar bunyi bising di dapur.
“Saya terus bangun dan meluru ke dapur untuk memeriksa apa yang berlaku sebelum terkejut melihat keadaan emak. Malah, adik bongsu saya yang berusia tujuh tahun, juga cedera di muka terkena percikan cuka getah kerana dia yang bangun dulu ketika kejadian.
“Selepas itu, abah lari keluar rumah dan saya segera mengambil air paip membasuh muka dan badan ibu yang terkena cuka getah,” katanya.
Dia berkata, ibunya juga sempat menghubungi rakan sekerja yang hanya dikenali sebagai Kak Ani dan tinggal berhampiran rumah mereka bagi meminta bantuan menghantarnya ke HTAA.
“Saya masih trauma dengan kejadian ini kerana tak sangka abah sanggup melakukan sedemikian terhadap emak. Hubungan mereka memang dingin dan kerap bertengkar, malah emak empat kali menuntut cerai kerana tidak tahan dengan sikap panas baran abah.
“Mujurlah, dua lagi adik yang berumur 14 dan lapan tahun tidak cedera, manakala adik bongsu kini dirawat di hospital sama,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Zulkifli Taha berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila suspek yang juga peneroka rancangan Felda berusia 43 tahun itu berang selepas keinginannya untuk ‘bersama’ ditolak isterinya.
“Hubungan pasangan suami isteri terbabit memang bermasalah dan difahamkan mereka juga dalam proses untuk bercerai. Disebabkan masalah rumah tangga itu, mangsa enggan mengadakan hubungan kelamin.
“Bagaimanapun, tindakan mangsa mengundang kemarahan suaminya sebelum suspek yang berang kemudian mengambil sebotol cuka getah yang disimpan di dapur rumahnya lalu menyimbah isterinya,” katanya ketika dihubungi.
Zulkifli berkata, dalam keadaan kesakitan akibat kulit melecur, mangsa bagaimanapun sempat menelefon rakan sekerjanya yang tinggal berjiran dan memberitahu kejadian menimpanya.
“Rakan sekerja mangsa membawanya ke HTAA untuk rawatan sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan kira-kira jam 4.30 pagi. Bagaimanapun, suspek sudah menyerah diri di Balai Polis Panching jam 1.30 pagi.
“Polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar tindakan nekad peneroka terbabit, namun kami tidak menolak kemungkinan kejadian dipercayai berkaitan dengan masalah rumah tangga dan perselisihan faham,” katanya.
Beliau berkata, maklumat lengkap kecederaan dialami mangsa belum diperoleh dan kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah.
“Mangsa dan anaknya kini stabil dan polis belum mengambil keterangannya disebabkan keadaan kesihatannya yang belum mengizinkan,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Isteriparah__8216_mandi__8217_asid/Article
No comments:
Post a Comment