Tuesday, April 20, 2010

Nikah berwali kakak

Oleh Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my
2010/04/20

KUALA LUMPUR: Bimbang dengan status perkahwinannya, seorang wanita memfailkan permohonan di Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam, untuk memfarakkan pernikahannya selepas mengaku menggunakan kakak kandungnya sebagai wali atas alasan tidak arif hukum syarak dalam Islam.

Nurul Farhana Azrin Jamas Abdullah, 30, yang berasal dari Sarawak, berkata dia juga tidak memaklumkan kepada suaminya, Ahmad Salim Moideen, 30, berhubung perkara itu kerana diugut akan dibuang keluarga oleh kakaknya itu supaya tidak membocorkan rahsia bahawa dia seorang wanita.


“Saya benarkan dia (kakak kandung) menjadi wali kerana tidak arif dan baru memeluk Islam pada 1997. Perkahwinan saya yang pertama juga diwalikan kakak sulung saya itu. Perkahwinan kali kedua dengan suami sekarang berlaku pada 17 April 2004.


“Semuanya kakak saya yang uruskan. Perkahwinan kedua saya dinikahkan jurunikah di sebuah masjid di Pantai Dalam, bagaimanapun saya tidak ingat namanya,”
katanya ketika menjawab soalan Hakim Syarie Mohd Yunus Mohamed Zain.


Menurutnya, dia kini tidak tahu di mana kakaknya itu berada kerana sudah menghilangkan diri selepas Ahmad Salim berang apabila mengetahui perkahwinan mereka diwalikan seorang wanita.


Sementara itu, Ahmad Salim berkata, ketika bernikah dengan Nurul Farhana dia percaya sepenuhnya dengan penampilan dan suara kakak iparnya yang dikenali sebagai Nawi a/k Ilai yang didakwa sudah memeluk Islam ketika itu sebagai lelaki.


“Penampilan dan suaranya macam lelaki, jika saya tahu dia wanita, saya tidak akan teruskan kerana ia membabitkan hukum dan menjadi masalah. Saya datang ke mahkamah untuk menyelesaikan masalah ini dan sanggup berpisah dengan isteri buat sementara waktu.


“Pada hari pernikahan saya mula was-was apabila melihat nombor kad pengenalan kakak, bagaimanapun jurunikah meneruskan pernikahan. Hanya selepas 2008, baru saya mendapat maklumat sebenar abang itu sebenarnya wanita,”
katanya.


Menurutnya, pada tahun itu dia pulang ke kampung mentuanya di Sarawak dan selepas disiasat dia mendapati benar lelaki yang sebelum ini disangka sebagai abang ipar adalah wanita.

“Saya minta maaf terpaksa bercakap kasar di mahkamah, tetapi pada tahun itu saya mengejar wanita terbabit dengan membawa parang sehingga sanggup membogelkan dia bagi memastikan dia wanita. “Saya kecewa kerana sudah buat majlis dengan cara yang betul iaitu berjumpa imam dan bernikah di masjid, tetapi pernikahan saya tidak sah,” katanya yang dikurniakan dua cahaya mata hasil perkahwinan itu.


Hakim Syarie Mohd Yunus dalam keputusannya memerintahkan kes itu dijalankan secara perbicaraan penuh dan meminta supaya kedua-dua pihak mencari imam masjid yang menikahkan mereka bagi memberi keterangan.


Mahkamah menetapkan 15 Jun ini untuk perbicaraan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Nikahberwalikakak/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...