Tuesday, April 20, 2010

Wabak H1N1 semakin reda

Oleh Maiamalina Mohamed Amin
maiamalina@hmetro.com.my
2010/04/20

KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai yakin penularan jangkitan Influenza A (H1N1) yang aktif ketika ini akan semakin berkurangan dan reda disebabkan beberapa faktor berkaitan.

Ini termasuk peningkatan tahap imuniti kebanyakan penduduk yang pernah dijangkiti virus membawa maut itu sebelum ini selain penyediaan vaksin pelali mencegah penularan virus dan rawatan antiviral yang baik.

Menurutnya, meskipun Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) masih mengekalkan tahap pandemik pada fasa enam, Malaysia dipercayai mampu pulih daripada kebimbangan itu bersandarkan kadar kematian sekitar 0.04 peratus.


Katanya, dibandingkan kadar kematian akibat selesema burung suatu ketika dulu yang meningkat kepada 60 peratus, wabak H1N1 bukanlah ‘menakutkan’, tetapi dalam masa sama tidak boleh dipandang ringan kerana angka jangkitannya meningkat.


“Kita tak anggap kadar kematian ini rendah atau tinggi tapi kita bimbang pada kadar jangkitannya yang masih tinggi kerana ia boleh menyumbang, namun dibandingkan selesema burung yang mencecah 60 peratus kematian ketika itu, lebih takut.


“Apapun, kementerian yakin (wabak H1N1) semakin reda cuma kita bimbang ada mutasi saja. Tapi kalau tiada mutasi kadarnya akan kekal sama ditambah pula sekarang sudah ada vaksin sekali gus meyakinkan rawatan dapat diberi dengan baik.


“Orang ramai juga kena selalu beringat, berhati-hati, waspada dan rajin mematuhi amalan kesihatan. Saya minta kerjasama orang ramai sekiranya mempunyai tanda-tanda segeralah mendapatkan rawatan di hospital,”
katanya di sini semalam.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Demonstrasi Penjagaan Kesihatan Medan Pertempuran di Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2010 yang bermula semalam hingga Khamis ini.


Sementara itu, Liow turut memberitahu sebanyak 31 kes baru H1N1 dilaporkan sehingga semalam menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 13,158 dengan 550 mangsa gejala seakan influenza (ILI) masih di rawat di hospital.


“Sebanyak 66 mangsa disahkan positif H1N1, manakala mereka yang berada di unit rawatan rapi (ICU) meningkat kepada 13 kes, dengan 10 daripada mereka tergolong daripada kumpulan mereka yang berisiko tinggi.

“Bagi kes kematian semalam (kelmarin) membabitkan kanak-kanak berusia empat tahun di Hospital Sibu, saya ingin nyatakan bahawa budak ini memang menghidap H1N1, tetapi dia juga berdepan komplikasi apabila diserang bakteria pneumonia dan jangkitan darah,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/WabakH1N1semakinreda/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...