rudy@hmetro.com.my
2010/05/21
KUCHING: Ikatan yang dibina atas dasar cinta berakhir dalam keperitan bagi seorang ibu tunggal apabila dia kini bersendirian membesarkan empat anak yang masih kecil selepas ditinggalkan suami sejak dua tahun lalu.
Bagi Kartini Ahmad, 27, dia perlu meneruskan hidup walaupun tanpa suami yang sebelum ini pernah berjanji sehidup semati demi memastikan masa depan anak mereka terbela.
“Dengan gaji RM450 sebulan sebagai pembantu kedai kopi, ia jauh daripada mencukupi untuk kami lima beranak. Tapi apakan daya, semua itu mesti saya harungi kerana tak mahu memperjudikan masa depan anak yang sedang membesar,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Sungai Midin, Semeriang, di sini, semalam.
Menurut Kartini, dia kini tinggal di sebuah rumah pondok yang dibina bapa tirinya, Yaacob Naraie, 55, di atas tanah milik kerajaan kerana tidak mampu menyewa.
“Sejak suami menghilangkan diri, hidup saya berubah kerana perlu memikul dua tanggungjawab sebagai seorang ayah yang sepatutnya mencari rezeki dan menjaga anak yang masih kecil,” katanya.
“Pendapatan bulanan yang tidak pernah mencukupi, kami lima beranak terpaksa hidup dalam serba kekurangan,” katanya.
Anak sulung Kartini, Mohd Izamri Samadi, 11, dan adiknya, Nor Arina, 9, bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Semerah Padi, di sini, manakala Nor Diana, 5, dan Nor Fiana, 2, dijaga ibunya ketika dia keluar bekerja.
Menurutnya, kerana kesempitan hidup, pakaian sekolah dua anaknya tidak dapat disediakan, malah mereka terpaksa berkongsi beg untuk ke sekolah.
“Kadang-kadang mereka tidak ke sekolah kerana tiada wang belanja, malah yuran sekolah pun saya belum jelaskan lagi,” katanya.
Lebih memeritkan buat Kartini, Nor Diana dan Nor Fiana turut menghidap penyakit asma dan keadaan mereka menjadi lebih teruk ketika demam menyebabkannya terpaksa menyimpan sebahagian daripada pendapatan untuk membeli ubat mereka.
Kartini berharap nasib dirinya diringankan dengan bantuan dalam bentuk tempat tinggal yang lebih selesa supaya anaknya dapat belajar dengan lebih baik.
“Rumah yang kami diami sekarang sering bocor apabila hujan.
“Selagi mampu, saya akan pastikan anak mendapat pendidikan sempurna kerana saya sedar hanya ilmu mampu mengubah nasib kami sekeluarga pada masa depan,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Anakkongsibegsekolah/Article
No comments:
Post a Comment