Friday, May 21, 2010

Genggam PhD usia 29 tahun

Oleh Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my
2010/05/21

SHAH ALAM: Tiga tahun lalu dia gagal merebut gelaran juara program realiti, What Women Want terbitan 8TV, namun 2010 menjadi tahun kebanggaan bagi Tom atau nama sebenarnya, Adzrool Idzwan Ismail, 29, apabila berjaya menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Seni Lukis dan Seni Reka (Fotografi) pada usia muda.

Adzrool Idzwan antara 488 lulusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang menerima ijazah masing-masing daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada sidang pertama Istiadat Konvokesyen UiTM ke-72, di sini, semalam.


Malah lebih membanggakan, dia penerima PhD paling muda dalam sejarah UiTM.


Adzrool Idzwan yang kini bertugas sebagai pensyarah di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM mengakui pelbagai halangan dihadapinya ketika proses menyelesaikan kertas kerja kajian.


“Saya pernah dikatakan tidak berkelayakan untuk mengambil PhD lantaran usia yang muda dan tidak mempunyai banyak pengalaman, namun hari ini, dengan kejayaan diterima sudah berjaya menutup mulut mereka.


“Malah, saya terpaksa berkorban masa bersama keluarga, wang ringgit serta tenaga untuk ke luar negara seperti Indonesia, Taiwan, Korea dan Jerman semata-mata mencari bahan rujukan berikutan sumber berkenaan terhad di negara ini,”
katanya yang berasal dari Simpang Empat, Kedah.


Menurut anak kedua daripada empat beradik ini, dia sangat bersyukur dan gembira apabila berjaya menunaikan hasrat bapanya, Ismail Ahmad, 69, yang inginkan dia bergelar doktor walaupun bukan dalam bidang perubatan seperti yang dihajati.


Adzrool Idzwan juga melahirkan penghargaan kepada keluarga serta pensyarah yang banyak membantu dan memberi sokongan sepanjang pengajiannya selama tiga tahun itu. Selain itu, impiannya untuk menerima skrol ijazah PhD daripada Tuanku Mizan tercapai.


Mengulas perancangan masa depan, pemuda yang bakal melangsungkan perkahwinan dengan seorang doktor di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, dekat sini, pada penghujung Mei ini, Adzrool Idzwan berkata dia bercadang melanjutkan pelajaran dalam bidang Forensik Fotografi di India, selewat-lewatnya tahun depan.

Sementara itu, Ismail turut bersyukur dengan kejayaan anak keduanya itu dan memberitahu, dia sentiasa berdoa untuk melihat semua anaknya mendapat pendidikan terbaik sebagai bekalan kehidupan masing-masing.


Pada majlis berkenaan, mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi turut dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pembangunan Modal Insan, daripada Tuanku Mizan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/GenggamPhDusia29tahun/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...