GOMBAK: Hati ibu mana tidak resah apabila anak lelakinya yang berusia 12 tahun dipercayai menjadi mangsa culik lelaki menaiki lori sebelum gagal dikesan sejak 14 hari lalu.
Bapa mangsa, Ibrahim Muhamad, 45, berkata kehilangan anaknya hanya disedari selepas mangsa tidak pulang ke rumah pada 17 April lalu.
Menurutnya, Mazlan atau panggilan manjanya Awe sebelum ini memintanya supaya dia dihantar ke sebuah pusat beli-belah kira-kira 700 meter dari rumahnya.
“Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, saya akur dengan permintaan Mazlan yang mendakwa ingin bertemu rakannya di pusat beli-belah itu tanpa mengesyaki sebarang kejadian buruk bakal berlaku.
“Mazlan yang ketika itu memakai seluar jeans dan kemeja-T merah kemudian ditinggalkan di kawasan berhampiran pusat beli-belah berkenaan sebelum saya beredar pergi untuk meneruskan urusan perniagaan,” katanya.
Dia dan isteri, Darisah Ramli, 43, mula tidak sedap hati apabila Mazlan tidak pulang ke rumah sehingga jam 9 malam.
“Saya ada menghubungi telefon bimbitnya dan panggilan itu dijawab Mazlan sekitar jam 10 malam. Ketika ditanya di mana dia berada, Mazlan memberitahu berada bersama rakannya dan berjanji untuk pulang ke rumah tidak lama lagi.
“Namun, penantian itu makin meresahkan apabila Mazlan terus tidak pulang ke rumah sehingga keesokan harinya. Malah, telefon bimbitnya terus gagal dihubungi sehingga kini,” katanya.
Dia dan rakan berusaha menjejaki Mazlan di sekitar kawasan pusat beli-belah terbabit, termasuk di rumah rakan baiknya. Bagaimanapun, jejaknya seolah-olah hilang begitu saja.
“Yang saya tahu Mazlan tidak membawa sebarang dokumen, termasuk Mykad, selain wang RM5 yang diberikan saya sebelum itu.
“Susulan kejadian itu, saya membuat laporan polis di Balai Polis Selayang pada 22 April lalu,” katanya ketika ditemui wartawan Harian Metro di rumahnya semalam.
Selepas puas mencari, seorang jiran berhampiran mendakwa ada melihat kelibat Mazlan menaiki sebuah lori satu tan berhampiran pusat beli-belah berkenaan.
“Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan apa tujuan Mazlan menaiki lori itu selain rupa pemandu lori berkenaan. Apa yang kami khuatir jika Mazlan dilarikan individu tertentu yang berniat jahat,” katanya.
Ibrahim berkata, dia sudah puas berusaha, termasuk melakukan solat hajat bersama penduduk setempat, namun usaha berkenaan belum menampakkan hasil.
“Paling saya sedih apabila isteri saya tidak dapat melelapkan mata dan menangis apabila mengenangkan Mazlan.
“Kami terlalu rindukan Mazlan, malah adiknya, Mohd Alif, 4, dan kakaknya Mastura, 17, turut sering menyebut namanya,” katanya sayu.
Dia meminta orang ramai yang melihat anak lelakinya supaya segera menghubungi balai polis atau menghubungi telefonnya di talian 012-6659341.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Rosly Hassan, ketika dihubungi berkata, siasatan terperinci dilakukan berhubung punca kes itu.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Budakmangsaculik/myMA/myArticle/
No comments:
Post a Comment