Monday, May 3, 2010

IRM hulur bantuan

Oleh Mohd Nasif Badruddin
mnasif@hmetro.com.my
2010/05/03

DUNGUN: Prihatin dengan penderitaan dihadapi ibu tunggal yang terpaksa bekerja keras mencari rezeki menyara tiga anaknya pada saat dia sendiri menghidap sakit saraf, Islamic Relief Malaysia (IRM) menghulurkan bantuan bagi meringankan beban ditanggung Jarah Rahim, 50, di Kampung Seberang Pintasan, di sini, kelmarin.

IRM, badan bukan kerajaan yang bernaung di bawah Islamic Relief Worldwide (IRW) berpangkalan di United Kingdom menyertai program Titipan Kasih diterajui Harian Metro sejak awal tahun ini dan berterusan buat kali keempat di daerah ini.


Ketua Operasi dan Kewangan IRM, Farouq @ Faraatika Zauji berkata, program Titipan Kasih dipelopori Harian Metro selaras aktiviti amal dijalankan pihaknya yang membantu golongan miskin mengharungi cabaran hidup.


Beliau memuji usaha Harian Metro kerana bukan sekadar mencari berita menyiarkan penderitaan orang miskin, tetapi mengambil inisiatif membantu mereka dengan menghulurkan pelbagai barangan termasuk keperluan harian menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR).


“Sebagai badan amal, IRM sentiasa prihatin dan bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak membantu meringankan beban dihadapi golongan sasar seperti dilalui Jarah yang mengambil alih tugas mencari rezeki selepas kematian suami dan anak sulung kudung kaki selepas terbabit dalam kemalangan.


“Sumbangan keperluan harian dan makanan yang diberikan diharap membantu mengurangkan perbelanjaannya dan sekiranya perlu kita terus membantu keluarga ini dari semasa ke semasa,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada Jarah, susulan paparan penderitaannya dalam ruangan Metro Prihatin menerusi Harian Metro, Jumaat lalu.


Sementara itu, Jarah berkata, dia berterima kasih dan bersyukur kerana banyak pihak membantu selepas kesusahan hidupnya dipaparkan Harian Metro dan apa diharapkan kini sumber kewangan tetap membiayai persekolahan dua anaknya, Mohd Helmi Awang, pelajar tingkatan satu dan Norsyafiqah pelajar tahun empat.


“Dengan pendapatan RM20 sehari, saya tidak mampu memberi wang saku yang mencukupi kepada anak, apatah lagi membayar tambang bas sekolah. Saya sedih apabila anak mengadu ditegur guru kerana lambat membayar yuran sekolah,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/IRMhulurbantuan/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...