Monday, May 3, 2010

'Terima kasih atas cintamu'

Oleh Mohd Rafi Mamat
am@hmetro.com.my
2010/05/03

PEKAN: Penantian seorang lelaki kurang upaya (OKU), Mohd Khairi Othman, 34, untuk mendirikan rumah tangga, akhirnya tercapai apabila dia berkahwin dengan Zaleha Mohd Nafis, 35, semalam.

Majlis pernikahan pasangan berkenaan dilakukan oleh Penolong Pendaftar Nikah dan Ceria Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Maip), Mohamed Sood Md Dahan di Masjid Al Takwa.


Lebih 50 ahli keluarga kedua-dua belah pihak menyaksikan majlis berkenaan, dengan sekali lafaz, Mohd Khairi sah bergelar suami kepada Zaleha.


Mohd Khairi berkata, dia bersyukur akhirnya impian mendirikan rumah tangga menjadi kenyataan.


“Saya mengucapkan terima kasih kepada Zaleha yang sanggup menerima saya sebagai suaminya walaupun saya seorang OKU.


“Sebagai suami dan ketua keluarga, saya akan berusaha memberi yang terbaik kepada isteri termasuk tiga anak tiri saya,”
katanya yang juga seorang penternak ikan sangkar di Kampung Tanjung Pulai.


Beliau berkata, perkahwinannya ini akan menjadi pendorong kepadanya untuk terus memperbesarkan projek ternakan ikan yang diusahakan lebih tujuh tahun lalu.


Sementara itu, Zaleha berkata, semangat dan kesungguhan yang tidak mengenal erti putus asa membuatkan dia begitu tertarik seterusnya bersetuju menerima lamaran Mohd Khairi.


“Saya berkenalan dengan suami selama setahun, selepas kami bertemu untuk menyelesaikan urusan insurans yang memerlukan saya membawa dia mendapatkan pemeriksaan doktor.

“Selepas daripada itu, perhubungan kami seperti biasa sebelum minggu lalu Mohd Khairi menyatakan dia ingin melamar saya sebagai isteri. “Saya hanya mengambil masa tidak sampai tiga hari untuk berfikir dan berbincang dengan keluarga sebelum mengambil keputusan menerima lamaran Mohd Khairi,” katanya yang mempunyai tiga anak hasil perkahwinan pertamanya.


Zaleha yang kini bekerja sebagai penyelia di Hotel Hyatt, Kuantan berkata, dia berharap perkahwinan keduanya ini kekal hingga ke akhir hayat kerana cinta dan sayang kepada Mohd Khairi begitu menebal.


Menurutnya, dia tidak pernah menganggap suami seorang OKU sebaliknya sama seperti lelaki lain.


Katanya, dia akan berusaha membantu suami memperbesarkan projek ternak ikan sangkar di Sungai Pahang.

“Saya akan memberi modal kepada suami untuk dia memperbesarkan projek ternakan ikan sangkar di Kampung Tanjung Pulai,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Terimakasihatascintamu/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...