Saturday, May 15, 2010

Kes nusyuz senator 8 Julai

2010/05/14

SHAH ALAM: Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam menetapkan 8 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes permohonan nusyuz (derhaka) yang difailkan Mohd Suffian Abdul Aziz terhadap isterinya, yang juga Exco Wanita Umno, Senator Datin Paduka Norhayati Onn.

Hakim Syarie, Atras Mohamad Zin menetapkan tarikh itu selepas mahkamah diberitahu peguam Mohd Suffian, Muhammad Buruk, bahawa peguam Norhayati (defendan) sebelum ini, Akhbardin Abdul Kader, berhasrat untuk menarik diri.

Mahkamah juga menetapkan tarikh sama bagi mendengar pernyataan balas Norhayati, 47, terhadap bantahan awal yang difailkan Mohd Suffian, 52, berhubung kes permohonan cerai secara taklik yang difailkan terhadap suaminya pada 19 April lalu.


Kedua-dua kes itu sepatutnya disebut di hadapan hakim semalam, namun Norhayati yang juga Naib Ketua Wanita Umno Selangor itu gagal hadir dan tidak diwakili peguam.


Manakala, peguam Syarie, Rubiah Jaffar mewakili Norhayati selaku plaintif dalam kes permohonan cerai secara taklik. Mohd Suffian yang masih bekerja sebagai jurutera pula hadir ditemani dua anaknya, Ahmad Razali, 26, dan Siti Hasmah, 23, hasil perkongsian hidup selama 19 tahun bersama Norhayati. Pada 18 Februari 2008, Mohd Suffian memfailkan permohonan nusyuz terhadap isterinya mengikut Seksyen 60(2)(3) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...