mfirdaus@hmetro.com.my
2010/05/14
KUALA LUMPUR: “Saya juga mangsa dan bukan penipu seperti tuduhan segelintir pelabur...nama saya digunakan individu tertentu untuk meraih keuntungan mudah,” kata legenda rock, Suhaimi A Rahman, 51, atau lebih dikenali sebagai Amy Search.
Penyanyi itu mengulas mengenai tuduhan kononnya dia melesapkan lebih RM1.5 juta milik seorang ahli perniagaan dan lebih RM10 juta milik puluhan mangsa lain yang melabur dalam satu skim dikelolakannya, namun statusnya tidak diketahui sehingga kini.
Difahamkan, kebanyakan mangsa berdiam diri bagi membolehkan Amy menjelaskan semula wang mereka selain bimbang dia melarikan diri jika terus didesak.
Menurut Amy, dia juga ditipu penganjur skim pelaburan yang didakwanya didalangi beberapa tokoh korporat membabitkan wang RM450,000 dan menegaskan dia bukanlah individu yang mengasaskan skim pelaburan berkenaan.
“Selepas terpengaruh dengan penerangan tokoh korporat itu, saya melabur wang simpanan yang bakal digunakan untuk membina sebuah pusat tahfiz di Johor.
“Sekarang cita-cita dan niat murni saya itu tergendala. Namun, saya masih berusaha menunaikannya.
“Saya sudah membuat laporan polis berhubung kejadian itu beberapa bulan lalu dan difahamkan, siasatan lanjut sedang dilakukan,” katanya.
Terdahulu, seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Roslan, 33, mendakwa dia diperdaya Amy menyertai satu pelaburan ala skim cepat kaya.
“Saya menyertai pelaburan itu sejak 2008 dan sehingga kini tiada perkembangan mengenai pelaburan itu.
“Bukan sikit wang saya laburkan, sebaliknya lebih RM1.5 juta,” katanya ketika ditemui di Balai Berita di sini, semalam.
Menurutnya, selepas beberapa kali mendesak, Amy membayar RM272,000 dan berjanji membayar baki seterusnya selepas selesai mengadakan beberapa konsert.
“Namun, dia (Amy) lesap begitu saja, malah panggilan telefon dan SMS yang dihantar tidak dijawab,” katanya.
Menceritakan semula bagaimana dia terjebak dalam pelaburan berkenaan, Roslan mendakwa dia diperkenalkan kepada skim terbabit oleh seorang rakan.
Roslan mendakwa, dia yakin untuk menyertai pelaburan berkenaan selepas rakannya itu menyatakan Amy adalah pengasasnya sebelum melakukan transaksi ke akaun syarikat terbabit.
“Namun, selepas tempoh matang disyaratkan selama 30 hingga 60 hari tiba, keuntungan dijanjikan tidak kunjung tiba sebelum Amy membuat satu mesyuarat menerangkan situasi sebenar,” katanya. Katanya, pada mesyuarat itu, Amy menerangkan masalah dihadapi skim pelaburan itu sebelum enam mangsa yang hadir mendapati kaedah yang diuar-uarkan tidak sama seperti diberitahu kepada mereka sebelum melabur dulu.
“Perbincangan itu berlangsung selama lebih tiga jam sebelum Amy berjanji melunaskan semua bayaran tertunggak dan memohon sedikit masa.
“Namun, Amy tidak mengotakan janjinya sehingga kini. Selepas didesak berulang kali Amy membayar RM272,000 secara berperingkat.
“Selepas itu dia terus mengelak dan memberi pelbagai alasan setiap kali soal bayaran dipersoalkan,” katanya.
Sehubungan itu, Roslan membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju, di sini, semalam untuk siasatan dan tindakan lanjut.
No comments:
Post a Comment