Tuesday, June 29, 2010

Hanya terbayang maut ketika dijerut anak tiri

2010/06/29

KUALA TERENGGANU: “Ketika itu hanya bayangan maut menjelma dalam kotak fikiran saya apabila ditikam dan dijerut dengan seutas tali di leher oleh anak tiri yang tiba-tiba berubah sikap sebelum diselamatkan anak lelaki yang kebetulan berada di rumah,” kata Rahin Ismail, 53, dari Kampung Durian Burung, di sini.

Menurutnya, sebelum kejadian kira-kira jam 6.30 petang Khamis lalu, anak tirinya yang berusia 34 tahun, dipercayai penagih dadah meminta wang RM10 daripadanya dan selepas diberikan wang berkenaan, lelaki terbabit beredar dari kawasan dapur rumahnya.


Bagaimanapun, katanya, tidak lama kemudian anak tirinya muncul di dapur dan bertanya sama ada dia sudah siap memasak.


Rahin berkata dia menjawab ‘belum’ dan secara tiba-tiba, suspek memaut lehernya serta menikam bahagian belakang kanan badannya dengan pisau.


“Seolah-olah tidak puas dengan tindakan kejamnya itu, dia mengeluarkan seutas tali lalu menjerut leher saya tanpa belas kasihan.


“Panik dengan kejadian itu, saya menjerit meminta tolong dan kebetulan ketika itu seorang anak lelaki berada di rumah. Anak saya datang memberikan bantuan dan bergelut dengan abang tirinya sebelum berjaya melepaskan jerutan pada leher,”
katanya ketika ditemui, semalam.


Menurutnya, dia merangkak menyelamatkan diri dan anak tirinya itu melarikan diri apabila menyedari semakin ramai jiran datang ke rumah selepas terdengar kekecohan yang berlaku.


Katanya, akibat serangan itu, dia dihantar ke unit kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan menerima tiga jahitan di belakang badan sebelum membuat aduan di Balai Polis Kuala Terengganu mengenai kejadian itu.


Tambahnya, anak tirinya itu tinggal bersendirian di rumah arwah ibunya di Kampung Tok Jembal dan membantunya berniaga pasar malam sekitar daerah ini.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Hanyaterbayangmautketikadijerutanaktiri/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...