Tuesday, June 29, 2010

'Jangan cari Mas lagi'

Oleh Mohd Nur Asnawi Daud
asnawi@hmetro.com.my
2010/06/29

REMBAU: “Ayah ibu jangan cari Mas lagi,” itulah kata-kata seorang gadis berusia 13 tahun yang ‘ghaib’ selepas pulang dari sekolahnya di sini, sejak Khamis lalu.

Mas Juliana Padli, pelajar tingkatan satu Sekolah Datuk Lela Maharaja Chembong, dikatakan menghubungi neneknya (Pijah Suboh 50-an) sehari selepas menghilangkan diri.


Bapa mangsa, Padli Warno, 38, berkata, kehilangan itu disedari selepas dia pergi ke sekolah berkenaan untuk menjemput anaknya pulang kira-kira jam 4.30 petang.


“Selepas beberapa lama menunggu di pekarangan sekolah, saya bertanyakan rakan sekolahnya dan terkejut selepas diberitahu dia dilihat menaiki bas seorang diri menghala ke Seremban.


“Rakannya memberitahu anak saya ada menghubungi seseorang menggunakan telefon awam tidak lama sebelum itu,”
katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Rembau.


Beliau berkata, dia cuba mencari anaknya di beberapa lokasi termasuk di rumah saudara-mara, namun menemui jalan buntu menyebabkan dia membuat laporan polis.


Menurutnya, anaknya dilihat berubah sikap selepas memiliki telefon bimbit sejak tiga bulan lalu.


“Apa yang menghairankan, anak saya sering dilihat menghubungi dan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada seseorang.


“Saya tidak berpeluang menyemak telefon bimbitnya kerana ketika mandi pun dia membawa telefon bimbit bersama. Saya menegurnya beberapa kali supaya jangan terlalu menggunakan telefon bimbit berkenaan,”
katanya yang juga seorang peniaga.


Padli berkata, dia tidak mengetahui motif sebenar anak sulung daripada tiga beradik melarikan diri dan gagal dikesan hingga ke hari ini.


Katanya, apa yang lebih merisaukan, anaknya menghubungi ibu mentuanya memaklumkan supaya jangan mencarinya sehari selepas dia menghilangkan diri.

“Ahad lalu, dia sekali lagi menghubungi neneknya menggunakan telefon awam dan memberitahu balik sehari dua lagi, namun sehingga ke hari ini tidak muncul lagi.


“Melalui panggilan itu, didapati dia berada di Kuala Lumpur membuatkan saya dan keluarga bertambah risau,”
katanya.


Berikutan itu, Padli membuat laporan mengenai kehilangan anaknya di Balai Polis Chembong di sini, jam 7.30 malam hari yang sama.


Sementara itu, Ketua Pemuda Umno yang juga Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, ibu bapa perlu memantau setiap pergerakan anak mereka terutama dalam penggunaan telefon bimbit.

“Pihak sekolah memainkan peranan penting memastikan siapa menjemput murid pulang dari sekolah kerana dikhuatiri orang luar yang mempunyai niat tidak baik.


“Buat permulaan kami mengedarkan 5,000 risalah mengenai kehilangan Mas Juliana di seluruh negeri ini dan menambah jumlah itu pada masa akan datang. selain meluaskan kawasan pengedaran hingga ke Lembah Klang,”
katanya.


Mereka menemui mangsa yang mana ciri fizikalnya rambut kerinting paras bahu berwarna hitam, kulit kuning langsat dan berbadan kurus boleh menghubungi talian 012-6251977 atau balai polis berhampiran.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/JangancariMaslagi/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...