KUALA LUMPUR: “Setiap orang Islam termasuk isteri yang bermadu perlu ingat dunia ini tidak kekal, maka mereka perlu reda dan belajar berkongsi suami kerana pasangan hidup mereka itu boleh diambil semula Allah pada bila-bila masa.
“Selagi mereka tidak sedar perkahwinan itu adalah hadiah daripada Allah, selagi itulah masih ada isteri berhasad dengki sesama madu mereka hanya kerana berebutkan kasih sayang suami,” kata Presiden Pertubuhan Wanita Muslim Antarabangsa Malaysia, Dr Robiah Kulop Hamzah, ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata, hanya mereka yang hidupnya tidak berpegang kepada keyakinan terhadap Allah, sanggup melakukan apa saja termasuk mengamalkan perbuatan syirik semata-mata memuaskan perasaan tamak dan nafsu masing-masing.
Katanya, orang yang menggunakan ilmu hitam bagi mencapai hajatnya sebenarnya tidak yakin bahawa segala keputusan berkaitan kehidupan manusia ditentukan Allah, selain menganggap diri sendiri lebih berkuasa daripada segala-galanya.
“Selain itu, suami menjadi antara punca utama jika isteri berkelakuan seumpama itu kerana ia menunjukkan suami gagal berlaku adil, selain tidak mampu membimbing isteri sehingga mereka bermusuhan.
“Ini menunjukkan suami sendiri tidak mengikut perintah Allah dan berkahwin atas dasar nafsu sehingga menzalimi diri sendiri serta isterinya,” katanya.
Dr Robiah berkata, setiap insan perlu ingat bahawa sesiapa memusnahkan hidup orang lain, mereka juga menerima nasib yang sama. Katanya, isteri perlu bersikap berdikari dari segi harapan dan jangan terlalu bergantung pada suami tetapi meletakkan harapan pada Allah kerana Tuhan menentukan segala-galanya sedangkan suami tidak kekal.
“Bagi isteri yang rasa dirinya teraniaya pula, mereka jangan cepat melatah dan membuat tuduhan melulu atau percaya kepada ramalan bomoh kerana belum sahih lagi mereka disihir madu.
“Mungkin mereka memang menghidap sejenis penyakit, jadi janganlah terlalu cepat menuding jari, sebaliknya ambil pendekatan bersihkan hati, cari rawatan sesuai dan pasrah serta tanam keyakinan yang tinggi pada Allah,” katanya.
Metro Ahad semalam melaporkan seorang isteri muda dikenali Rafidah mendakwa dia disihir madu kerana mengalami perkara ganjil seperti badannya mengeluarkan bau busuk yang memualkan setiap kali ingin menjalin hubungan intim dengan suami.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Perlureda_belajarberkongsisuami/Article
No comments:
Post a Comment