Monday, June 28, 2010

S. Shamsudin Kritikal Selepas Jatuh Bilik Air

Published: Isnin Jun 28, 2010 MYT 11:38:00 AM
Updated: Isnin Jun 28, 2010 MYT 1:35:36 PM

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim bergambar kenangan bersama keluarga pelakon komedi terkenal filem Melayu S. Shamsudin (duduk, dua kiri) ketika berkunjung ke rumah pelakon komedi itu di Singapura Sabtu lalu. Turut hadir rakan seniman pelakon Datuk Mustafa Maarof dan Datuk Aziz Satar (berdiri, dua kiri). - Foto BERNAMA

PETALING JAYA: Pelawak veteran terkenal S. Shamsudin, 81, dilaporkan berada dalam keadaan kritikal di Hospital Alexandra di sini hari ini selepas terjatuh di bilik air pada malam Sabtu lalu.

Ketika mStar Online menghubungi rakan baiknya, pelawak veteran tersohor Datuk Aziz Sattar, dia berkata Shamsudin terjatuh daripada bilik air sehingga menyebabkan tulangnya retak.

“Waktu dia (Shamsudin) jatuh tulang dia dah retak. Lagipun, faktor usianya juga menyebabkan dia kritikal.

“Anaknya juga beritahu ayahnya itu akan dibawa ke Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Aziz, dia baru sahaja menziarahi sahabatnya itu bersama-sama Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim, pelakon Datuk Mustafa Maarof dan Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Mohd. Mahyidin Mustakim di rumah anak bongsunya di flat Bukit Batok, Singapura pada Sabtu lalu.

Rais menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada Shamsudin daripada dana bantuan untuk seniman yang dikendalikan oleh kementerian dan Finas.

“Saya baru sahaja melawat dia pada Sabtu lalu. Tetapi dia jatuh pada malam selepas kami datang ke rumahnya.

“Doktor ada maklumkan kepada anaknya, kalau dia tak stabil dalam satu hingga dua jam ini, pihak hospital akan minta isteri dan anak-anaknya datang ke hospital,” ujarnya lagi.

Tambahnya, dia akan memaklumkan perkembangan lanjut tentang Shamsudin selepas ini.

Shamsudin adalah pelakon komedi sepanjang zaman yang seangkatan dengan seniman agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Allahyarham A. R Tompel dan Datuk Aziz Satar. Dia telah berlakon dalam lebih 30 buah filem.

Anak kelahiran Singapura ini mula berlakon pada tahun 1948 dalam filem-filem Melayu terbitan Studio Jalan Ampas dan namanya mula memuncak setelah berlakon bersama P.Ramlee dan Aziz dalam filem Bujang Lapok.

http://www.mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2010/6/28/mstar_hiburan/20100628113637&sec=mstar_hiburan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...