SHAH ALAM: Seorang pesakit dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam selepas didapati bersalah merogol pelajar tingkatan empat, empat tahun lalu.
Hakim Hasbi Hasan yang membuat keputusan itu terhadap tertuduh, Mohamad Ezat Ezuandi Othman, 29 dan mengarahkan hukuman penjara itu berjalan mulai semalam.
Mohamad Ezat yang bekerja di kilang membuat simen didakwa merogol remaja berusia 15 tahun di Bandar Country Homes, Rawang dekat sini, antara 1.50 tengah hari dan 2.20 petang pada 3 Mac 2006.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. Hasbi dalam penghakimannya berkata, walaupun kes itu membabitkan pasangan kekasih, hukuman berat perlu dijatuhkan supaya semua pihak sedar akan kesalahan itu.
Katanya, ia juga bagi membendung jenayah itu yang kian berleluasa dan sering dipaparkan menerusi media. “Setiap orang perlu memberi perlindungan kepada kanak-kanak dan remaja bawah umur dan bukannya mengambil kesempatan terhadap mereka,” katanya.
Bagaimanapun, Hasbi membenarkan permohonan pelaksanaan hukuman dan mengarahkan peguam mewakili tertuduh, Abdul Muiz Samsuri memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi, di sini, secepat mungkin.
Katanya, mahkamah juga menetapkan ikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan tertuduh melapor diri pada Sabtu pertama setiap bulan, sementara menanti keputusan rayuan.
Terdahulu, Abdul Muiz ketika rayuan terhadap hukuman memohon mahkamah memberi hukuman seringan-ringannya kerana anak guamnya menghidap lelah akibat persekitaran di tempat kerja.
Selain itu katanya, gaji tertuduh sebagai pekerja kilang simen juga kecil di samping perlu menyara ibu bapanya yang sudah uzur di kampung.
No comments:
Post a Comment