KUALA LUMPUR: Tindakan seorang mekanik meragut rantai emas bernilai RM700 milik seorang pembantu rumah, tiga tahun lalu, membawa padah apabila dia didapati bersalah dan dikenakan hukuman tiga tahun penjara dan denda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini semalam.
Majistret Zaki Asyraf Zubir menjatuhkan hukuman itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan tidak wujud keraguan munasabah terhadap pertuduhan terhadap Mohd Fareez Muhd Fauzi, 25.
Zaki dalam penghakimannya berkata pembelaan tertuduh bahawa dia bukanlah lelaki yang berada di tempat kejadian adalah bersifat penafian semata-mata.
Katanya, sewaktu dia ditangkap Lans Koperal Hussin Ahmad telah membuktikan Fareez berada di tempat kejadian.
Terdahulu, peguam bela tertuduh K Komagen memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan kepada anak guamnya dengan mengambil kira latar belakangnya.
“Dia hanya berpendapatan RM800 sebulan dan perlu menyara seorang isteri dan tiga anak berusia satu, dua dan enam tahun,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Hussin memohon mahkamah mengenakan hukuman berat terhadap tertuduh dengan mengambil kira kejadian ragut yang semakin meruncing kini. Mengikut pertuduhan, dia didakwa meragut rantai milik pembantu rumah warga Indonesia, Sri Munilawati, di 79A, Jalan 1/5A, Taman Melati Setapak di sini, pada jam 9 malam, 2 Mac 2007.
Dia melakukan kesalahan mengikut Akta 379 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman tujuh tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, ketika kejadian tertuduh yang menunggang motosikal cuba meragut rantai emas pengadu yang sedang berjalan kaki.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Peragutdipenjaratigatahun_dendaRM12_000/Article
No comments:
Post a Comment