Saturday, July 3, 2010

Pijak kepala isteri

Oleh Mohd Harzrul Aminuddin dan Sharifah Zulaikha Syed Amali

2010/07/02

MUAR: Seorang lelaki membelasah isterinya bagaikan dirasuk apabila wanita berkenaan meminta cerai, menyebabkan mangsa bukan saja dipijak kepala di lantai, malah wanita berkenaan juga ditumbuk dan ditendang bertalu-talu selain dimalukan apabila rambutnya digunting serta diugut bunuh.

Wanita yang berkerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta itu sudah lama makan hati dengan perangai suami yang kerap memukulnya tanpa sebarang sebab mahupun alasan yang munasabah kerana panas baran.


Namun episod malang wanita berusia 32 tahun itu sampai ke kemuncaknya pada 23 Jun lalu, apabila mangsa ditumbuk di muka beberapa kali oleh suspek yang tidak berpuas hati dengan permintaannya untuk berpisah.


Akibat ditumbuk serta takut perkara itu bakal berulang pada masa depan, mangsa melaporkan kejadian itu kepada polis menyebabkan suspek berusia 33 tahun itu melarikan diri dari rumah mereka di Jalan Daud di sini, pada hari yang sama.


Mangsa yang mulanya menyangkakan hidupnya tidak akan diganggu lelaki itu lagi selepas membuat laporan terbabit, ketakutan apabila suspek datang semula ke rumah itu keesokannya.


Difahamkan, mangsa yang baru saja pulang dari tempat kerja menyedari kehadiran individu yang menaiki motosikal di hadapan rumahnya kira-kira jam 3.30 petang, tetapi tidak menyangka orang itu adalah suaminya.


Lelaki berkenaan masuk ke dalam rumah lalu menyerang mangsa dengan memijak kepada wanita itu di lantai manakala tubuhnya disepak bertalu-talu.


Bukan itu saja, suspek yang tidak bekerja turut mengambil gunting lalu memotong rambut wanita berkenaan dan dalam masa sama turut mengugut membunuh mangsa.


“Aku bunuh kau, baru kau tahu aku siapa,” itulah kata-kata yang dikeluarkan suspek sebelum melarikan diri dan membiarkan mangsa terlantar di lantai kesakitan.


Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, mangsa diselamatkan ahli keluarga yang dihubungi selepas itu sebelum dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini, untuk rawatan lanjut.


“Mangsa cedera di beberapa bahagian badan termasuk lebam di muka akibat ditumbuk dan ditempatkan di sebuah wad di hospital itu dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

“Berikutan itu, sepasukan anggota polis diarah mengesan suspek dan hasilnya dia ditahan beberapa jam selepas itu,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Derah (IPD) Muar di sini, semalam.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pijakkepalaisteri/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...